Jom Makan Nasi Tomato Sama Opor Ayam!
6:16 PTG
Rakan-rakan pengunjung dapur Amie yang disayangi,
Jemput makan Nasi Tomato berlauk Opor Ayam sama acar timun.....
Selalunya Amie tambahkan sos tomato untuk warna yang lebih menyerlah, dan juga yogurt asli tapi kali ini Amie tidak gunakan. Amie masak ringkas-ringkas saja.
Bahan A:
3 cawan beras basmathi - cuci dan rendam selama 10 minit
3 sudu makan minyak sapi
200 gram puri tomato
200ml susu cair
Bahan B:
2 ulas bawang putih - hiris halus
1 labu bawang besar -hiris halus
4cm halia - hiris halus
rempah penumis - 2 kuntum bunga lawang, 1 batang kulit kayu manis, 3 biji buah pelaga & 3 kuntum bunga cengkih
Bahan C:
3 cawan air - ikut sukatan beras
3 sudu makan Stok Ayam Pekat Maggi
Bahan hiasan:
1/2 cawan kismis
1 cawan campuran kacang badam dan kacang gajus goreng
bawang goreng dan hirisan daun sup
Cara:
1. Panaskan minyak sapi. Tumis semua bahan B hingga harum dan layu.
2. Masukkan puri tomato dan susu cair.
3. Tambahkan Bahan C dan biarkan mendidih..
4. Masukkan beras. Kacau rata dan tutup periuk.
6. Apabila air sudah kering, taburkan kismis di atasnya, kemudian tutup periuk rapat-rapat.
7. Setelah nasi masak, angkat dan taburkan campuran kacang gajus dan kacang badam, bawang goreng serta hirisan daun sup sebelum dihidangkan.
Opor Ayam ini pula sangat mudah. Terima kasih buat Makcik Zanariah (kalau tak silap namanya.... ketika itu Amie bekerja di Kampung Melayu Ampang). Makcik Zanariah masak opor ayam untuk dicicah dengan lemang pada hari raya. Oleh sebab suka sangat masakannya, Amie minta resepinya, dan inilah hasilnya.... Resepi ini tidak gunakan bawang merah atau bawang besar, hanya bawang putih sahaja, dan jintannya pula jintan putih, bukannya jintan manis.
Bahan-bahan:
1 kg daging ayam - potong ikut suka
1 biji kelapa - kisar bersama 700 ml air
15 biji lada merah- kisar
7 biji bawang putih- kisar
1 sudu makan serbuk jintan putih
1 sudu makan cuka makan
garam / kiub ayam secukupnya
Cara:
1. Masukkan santan ke dalam periuk atau kuali.
2. Campurkan lada merah dan bawang putih kisar serta serbuk jintan putih.
3. Masak di atas api dan tunggu mendidih barulah masukkan ayam.
4. Masak dengan api perlahan sehingga daging ayam empuk dan kuah menjadi pekat.
5. Perasakan dengan garam / kiub ayam.
6. Masukkan cuka makan.
7. Siap dan angkat.
Walaupun hanya acar timun sahaja, tapi kombinasi Nasi Tomato dengan Opor Ayam sudah cukup membuka selera! Farid yang sedang membaca novel di biliknya di tingkat atas terus bergegas turun menuju dapur bila terbau aroma masakan ini.
Datang ke dapur untuk makan malam,
Baca Bismillah dan cuci tangan,
Nasi Tomato berlauk Opor Ayam,
Acar mentimun pelengkap hidangan.
7 comments
wah..wah..bukan main sedap dan menggoda lagi nasi tomato dan opor ayam kak amie tu..
BalasPadamwau cantik betul gambar-gambar kali ini!
BalasPadamSedapnya menu 'raya' umah kak amie nk.Terliur pulak ngn set nasi camni.TMK lama x wat ns spesel huhuuu...bz ler kate kan hihiiii...
BalasPadamSedap² suma set nasi tomato tu.Mkn ns saja pun dah enak bangetttt...
Lama dh x buat nasi tomato kak..aritu Mak suruh buatkn.x trbuat lagi be.
BalasPadamalahaii kak amie..terliur sudah.. tgu wiken br bleh mkn meriah mcm nii.. ari2 biasa msk ala kadar je ^_^
BalasPadamYa Allah akak! kecur liur saya ni tengok haihhhhhhhh. Nak try! tenkiu tau share resipi. Muahh! hehhe
BalasPadamWah! Adeh best kalau dapat masak sendiri masakan macam ni. Tak perlu keluar rumah.
BalasPadam