Selasa, 11 Disember 2012

Nasi Lemak & Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan

Assalamualaikum.
Sekarang pukul 11.11 minit pagi. Tentu rakan-rakan blogger dan rakan pengunjung terutamanya yang sedang bercuti atau suri rumah sedang menyiapkn hidangan tengahari untuk keluarga tersayang. Hari ini Amie sediakan Nasi Lemak & Sambal Aroma Pandan untuk anak-anak. Amie masak lebih sedikit supaya boleh dimakan sehingga ke petang, dan tidak perlu lagi Amie menyediakan hidangan berat untuk sebelah malam. Resepi nasi lemak Amie seperti resepi biasa tetapi kali ini Amie ingin kongsikan Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan. Pertama kali Amie menikmati sambal sebegini lebih kurang 10 tahun lalu. Ketika itu Amie bertugas di sekolah lama. Seperti biasa kalau kami ingin menikmati makanan selain dari yang dijual di kantin, kami berpakat untuk membahagikan kepada beberapa orang rakan. Misalnya, jika teringin makan nasi lemak, biasanya Amie yang akan masak nasi lemak dan bawa ke tempat kerja. Rakan lain ada yang membawa telur rebus, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, hirisan timun dan lauk-pauk lain. Manakala rakan setugas lelaki akan membawa sudu garfu atau pun pinggan. Suatu ketika, sewaktu kami mengadakan acara makan-makan (nasi emak) salah seorang rakan setugas lelaki membawa satu bekas sambal ikan bilis. Amie lihat banyak helaian daun pandan di dalam bekas tersebut dan rasanya pula..... sampai ke hari ini Amie masih teringat-ingat keenakannya! Katanya, dia menempah sambal ikan bilis tersebut dengan jirannya. Walaupun Amie tidak dapat resepinya, tetapi Amie cuba untuk memasak sambal ikan bilis tersebut beberapa kali dan akhirnya, rasanya seakan-akan sama dengan sambal ikan bilis daun pandan yang dibawa oleh rakan kami tadi.


Nampaknya di dapur Amie ini sudah bertimbun dengan pelbagai resepi nasi lemak. Sebelum ini Amie telah mencuba resepi Nasi Lemak Tumis Cik Manggis,  dan  terdahulu dari itu Amie cuba hasilkan Nasi Lemak Ayam Panggang Pedas Madu.  Bila buah bidara lebat berbuah Amie pun masak Nasi Lemak Buah Bidara. Jika teringin makan ayam goreng aroma rempah-rempahan, Amie sediakan pula Nasi Lemak Pandan & Ayam Goreng Kampung. Banyaklah resepi nasi lemak yang Amie cuba termasuk Nasi Lemak Lain Macam Punya Pesen Kengkawan Pengiringnya - Shahriah Masterchef.  Ada lagi.... ini ha.... Nasi Lemak Kukus Sambal Sotong dan bila balik kampung sempat pula masak Nasi Lemak Bukit Hijau. Tidak ketinggalan Amie cuba masak Nasi Lemak Halba & Rendang Ayam Cili Padi,  dan juga Nasi Lemak Resepi Nenek Kusss. Dan banyak lagi resepi nasi lemak lain yang boleh diselongkar dalam dapur Amie jika anda ada kerajinan.
Walau apa pun sebenarnya resepi nasi lemak memang boleh dipelbagaikan. Kalau dahulu nasi lemak yang sering kita temui sudah semestinya berlaukkan sambal, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, telur rebus dan juga hirisan timun tetapi sekarang resepi nasi lemak sudah di angkat ke arena antarabangsa. Beberapa kali sewaktu Amie menaiki kapal terbang, sekiranya hidangan nasi lemak disajikan, sudah pasti ada pelbagai jenis sayuran yang dicelur disertakan termasuk kacang buncis dan juga lobak merah selain lauk sambal udang atau rendang ayam



Resepi : Nasi Lemak & Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan untuk nasi lemak:

6 cawan beras (Amie guna berasa biasa) - cuci dan toskan
600ml santan (terpulang pekat atau cair - kalau pekat hasilnya sangat lemak)
3 cm halia (dihiris atau diketuk pun boleh)
3 biji bawang putih (dihiris atau diketuk pun boleh juga)
2 kuntum bunga lawang
5 cm kulit kayu manis
5 helai daun pandan - campur 1 cawan air, kisar kasar dan tapis jusnya
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
sedikit garam

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Didihkan santan bersama halia, bawang putih, bunga lawang, kayu manis dan daun pandan dan jus pandan.
3. Masukkan beras dan sedikit garam. Kacau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan kering.
4. Masukkan beras tadi ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus 20-25 minit atau sehingga nasi benar-benar masak.


Bahan untuk Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan:
3 cawan ikan bilis - bersihkan, cuci dan tos - jika suka goreng terlebih dahulu dan ketepikan
4 helai daun pandan - siat-siat dan simpulkan
1 batang serai - dititik
1 labu bawang besar - hiris kasar
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
garam  dan gula secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
20 biji cili kering
5 biji bawang putih
10 biji bawang merah
1.5 cm belacan

Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya. Setelah benar-benar panas, masukkan daun pandan dan goreng hingga harum dan layu.
2. Masukkan semua bahan kisar dan tumis dengan api sederhana panas hingga pecah minyak. 
3. Masukkan bancuhan pati asam jawa, garam dan gula. Biarkan mendidih sebentar.
4. Masukkan ikan bilis serta bawang besar dan masak dengan api perlahan sehingga kuahnya pekat.

Bahan-bahan lain:
Telur goreng mata kerbau atau telur dadar - jika suka
7 biji telur rebus - belah 2
1 biji timun - hiris 
kacang gajus atau kacang tanah goreng



Inilah rupa Sambal Ikan Bilis Aroma Pandan yang tak mungkin Amie lupakan! Kepada sesiapa yang ingin mencuba resepi ini, dipersilakan dengan segala senang hati kerana pasti rasanya tidak akan mengecewakan!

12 ulasan:

Kak Nik Ja berkata...

aduhai amie!!tulun lah jgn tayang nasik lemak lagik,,,rase mcm nak tergolek2 nak kena makan jugak nasi lemak tuh!!hihi..
menariknyer sambal berdaun pandan tuh..nanti pasti kena terai test!

faa.rosli berkata...

sedapnya nasi lemak homemade! sambal tu memang nampak menyelerakan!

Uda berkata...

lama tak masak nasi lemak......terliur tengok nasi lemak Amie tu.....sambal mesti kaw kaw tu!!!!

Uda berkata...

lama tak masak nasi lemak......terliur tengok nasi lemak Amie tu.....sambal mesti kaw kaw tu!!!!

Norzie hany berkata...

Ya Allah Amie....sedapnya,siap ada telur mata goyang lagi.Sambal tu nampak garing....terus rasa lapar pulak.

zila norazila berkata...

nanti nk cuba salah satu resepi nasi lemak kak amie..mengancam jiwa dan raga nie:)

tun_telani berkata...

Salam kak amie.. jakun tun nengok sambal ikan bilis letak daun pandan tu.. balik kg nnti nk try la.. kt kg byk pokok pandan, sini tun masak guna pandan paste je. huhu

Amie berkata...

Kak Nik Ja,
memang sedap kak Nik... bubuh daun pandan banyak2.

Faa,
Alhamdulillah... anak-anak asyik tanya kalau lama tak masak nasi lemak.

Uda,
jemput makan Uda... memang kaw!

Amie berkata...

Norzie,
sesekali makan dengan telur mata ... goyang ye... memang berselera!

Tun Telani,
cuba Tun.. jangan tak cuba, aromanya memang menggoda selera!

xila,
silakan Zila cayanggg... banyak resepi nasi lemak pilihan di sini...

may agumo berkata...

sedapnya kak amie.. sampai sini may boleh cium aroma pandan tu.. hehe..

Sue @ Nenie berkata...

Salam Kak Amie...terliur saya tengok sambal bilis ni....Nasi lemak pun nampak menyelerakan...

Sarika Samalakrishnan berkata...

Kak amie... nasi lemak kukus I tak jadi... nasi susah nak masak... kering pula tu...