Badak Keledek Ungu Berendam
7:30 PTG
Assalamualaikum.
Petang tadi Amie luangkan sedikit masa untuk memenuhi keinginan Encik Suami makan badak berendam. Sebelum ini Amie pernah beberapa kali membuat badak berendam tetapi versi kukus dan hasilnya kurang molek, jadi Amie tidak paparkan dalam blog. Setelah beberapa kali bertanya dengan Encik Google, rupanya badak berendam tidak semestinya dikukus. Jadi kali ini Amie tidak kukus, sebaliknya masak seperti buah melaka, dan kuahnya juga Amie didihkan dalam periuk tanpa mengukusnya. Salah satu sebab mengapa Amie tidak kukus badak berendam bersama kuahnya ialah disebabkan warna ungu keledek yang begitu kuat mempengaruhi cecair atau air di sekelilingnya. Takut nanti tak nampak rupa kuah santannya!
Biasanya kita lihat badak berendam berwarna hijau, tapi badak berendam Amie warna ungu sebab Amie tambahkan keledek ungu dalam adunan! Biasanya kalau ada pengubahsuaian, disebut sebagai suatu penderhakaan dalam resepi. Jadi, Amie namakannya sebagai Badak Keledek Ungu Berendam.
Sayang dengan keledek ungu yang entah berapa lama terbiar di sudut dapur, sampai tumbuh tunas dan daunnya! Sebiji keledek ungu yang Amie rebus dapat menghasilkan 1.5 cawan setelah dilecek halus. Kebetulannya, kelmarin Amie buat kuih ketayap dan ada banyak lebihan inti kelapanya, jadi memudahkan kerja Amie untuk menghasilkan badak berendam ini. Cuma Amie panaskan kembali inti kelapa dan tambah 1/2 cawan bancuhan air tepung jagung supaya inti kelapa melekit dan mudah untuk dibulat-bulatkan menjadi bentuk guli kecil.
Encik Suami suka makan badak berendam yang bersaiz kecil seperti guli, tapi Amie buat besar-besar macam bola ping pong supaya cepat siap! Jadi, dapatlah dalam lebih kurang 20 biji badak!
Resepi : Badak Keledek Ungu Berendam
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan kulit badak:
1.5 cawan tepung pulut
1.5 cawan keledek ungu yang telah direbus dan dilecek halus - pilihan (badak berendam asli hanya gunakan tepung pulut, air, garam & air pandan untuk warna hijau)
1 sudu teh garam
1/2 cawan air - boleh tambah jika perlu sekiranya adunan agak keras
Cara:
1. Campurkan tepung pulut, keledek ungu lecek, dan garam dalam sebuah mangkuk.
2. Masukkan sedikit demi sedikit air sepaya adunan tidak terlalu lembik dan melekit.
3. Jika adunan melekit, tambahkan tepung pulut sedikit demi sedikit dan gaul lagi sehingga adunan tidak melekat di tangan.
4. Buat kepalan sebesar atau sekecil saiz yang disukai dan bulatkan. Kemudian lubangkan di tengah-tengah dan masukkan inti kelapa sebesar guli (seperti di bawah), tutup kembali menjadi seperti bebola.
5. Didihkan air yang banyak dalam periuk.
6. Setelah air benar-benar mendidih, masukkan bebola badak tadi ke dalam periuk dan tunggu sehingga timbul.
7. Angkat bebola badak dan bolehlah dihidangkan bersama kuah santan.
Bahan inti:
2 cawan kelapa parut - buang kulit ari
1 cawan gula melaka yang telah dipecah-pecahkan - boleh campuran dengan gula merah untuk warna yang lebih gelap
1 cawan air
1 sudu tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
secubit garam
1 helai daun pandan - siat dan simpulkan
Cara:
1. Larutkan gula melaka di dalam periuk.
2. Masukkan daun pandan, garam dan kelapa parut.
3. Masak sehingga hampir kering dan kemudian masukkan air bancuhan tepung jagung.
4. Sejukkan dan kemudian buat bulatan kecil sebesar guli. Ketepikan.
Bahan kuah:
2.5 cawan santan pekat
2 sudu makan tepung beras
secubit garam
1 helai daun pandan - simpulkan
Cara:
1. Satukan santan pekat bersaa tepung beras dan secubit garam. Kacau sebati.
2. Tapiskan bahan kuah.
3. Masukkan daun pandan. Didihkan dengan api perlahan sehingga kuah pekat.
Okey.... Badak keledek ungu sudah direndam! Bolehlah kita sama-sama minum petang.
Alhamdulillah, tak jadilah tunas keledek tu menjalar keluar ikut tingkap dapur!
14 comments
Sedapnya kak....lama x mkn nie....nmpk cntik je kuih2 tu duk posing dgn kuah2nya...:)
BalasPadammcm ni ke badak berendam?
BalasPadamAmie..!!!sedapnya, rasa nak terbang ke Sabah, nak makan badak berendam ungu, sedap dan cantiknya warna ungu tu.
BalasPadamSalam Kak Amie.. aduhai menggamit selera betul lah badak berendam tu..cantik warna natural keledek purple tu kan.. hehe saya pun kenkadang sensorang kat dapur wat karipap dari memula kelim guna tangan.. trus pakai acuan je nak cepat abis punya pasal..haha yang penting sedappp ;)
BalasPadambulat cantik saja bebola keledek tu. lum pernah makan lagi badak berendam ni. mesti lemak manis ..
BalasPadamalololo akak tomeinya badak berendam warna ungu...hai semangat saya tgk akak buat ni :)..
BalasPadamdtng sini nak rasa badak berendam kaler pepel..cun abes lerrrrr...agaknya mcm makan kuih koci berkuah ya...
BalasPadamDari jauh ingatkan buah anggur yg tengah mandi manda...rupa2nya keledek ungu...hihi...sedap ni kak..
BalasPadamcomel-comelnya badak Amie tu,kat dapur saya ada juga keledek tapi warna kuning,dah nampak tunas nak tumbuh.nak kena buat juga ni..
BalasPadamKakak selalu makan buah melaka tu Amie tapi tak pernah lagi badak berendam ini. Dah baca cara Amie buat macam senang aje. Bila senang boleh kakak tiru...
BalasPadamsedapnya kak, qema suka:)
BalasPadamSalam kak amie... tun xpenah buat badak berendam nih. comel je nengok bila kaler ungu.
BalasPadamcantik..kak amie klu inti guna gula melaka blh k..tk berapa suka kelapa parut..
BalasPadamSalam Kak Amie..nampak menarik betul...macam teringin gak nak mencubanya
BalasPadam