Cerita Dari Sana & Cerita Dari Sini
5:08 PTGAlhamdulillah, Encik Suami selesai menjalani angiogram jantung untuk melihat keadaan saluran darah serta mengesan penyempitan atau penyumbatan pada arteri koronari pada pukul tiga petang bersamaan hari Isnin 19 Oktober 2026. Fuad mengambil cuti pada hari Isnin untuk menemani Fairuz. Farid pula mengambil cuti kecemasan pada Selasa untuk mengikuti perbincangan dengan doktor.
Hasil ujian yang dijalankan, Encik Suami menghadapi masalah injap jantung tersumbat iaitu dua injap sebelah kiri dan satu injap di sebelah kanan. Bagaimanapun proses memasukkan stent atau spring jantung yang berupa tiub kecil berbentuk jejaring (mesh) tidak dapat dimasukkan ke dalam arteri koronari yang sempit atau tersumbat disebabkan salur darah yang sudah keras menyukarkan belon atau stent untuk dikembangkan dengan sempurna.
Dalam perbincangan pada hari Selasa, doktor pakar bedah beritahu akan buat scan jantung dahulu samada sesuai atau tidak untuk buat pembedahan. Kalau sesuai, pembedahan akan dibuat satu kali sahaja untuk pastikan darah boleh mengalir ke tiga-tiga ruang jantung. Doktor pakar jantung dan doktor bedah akan memutuskan tarikh pembedahan dalam tempoh dua minggu.
Pada hari Khamis 22 Oktober 2025, doktor pakar bedah menerangkan prosedur pembedahan dan risiko yang dijangkakan. Jawapan samada setuju atau sebaliknya mesti daripada pesakit dan bukannya waris. Jadi, Encik Suami menyetujuinya. Memandangkan akibat masalah jantung turut mempengaruhi fungsi buah pinggang, jadi doktor mengingatkan salah satu risikonya ialah pesakit akan menjalani dialisis seumur hidup! Allahu Akbar.... mudah-mudahan dipermudah sepanjang urusan pembedahan.
Sekarang Amie faham masalah jantung yang tersumbat kerana tidak mampu mengepam oksigen dan darah ke seluruh tubuh turut mempengaruhi fungsi ginjal sehingga tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna.
Menurut doktor pakar bedah, pihak HUKM akan menguruskan pembedahan Encik Suami tetapi bukan di HUKM. Encik Suami dijangka akan menjalani pembedahan di Hospital Serdang - Hospital Sultan Idris Shah.
![]() |
| Hamzah bersama Tok Ba. |
![]() |
| Tahniah Firdaus! |
Coretan dari tuan rumah yang semakin hari semakin rasa sepi!


0 comments