Menjamu Selera Cara Palestin
11:58 PGBismillahirrahmanirrahim.
Catatan 28 Disember 2025 - Jericho - Palestin.
Di hari pertama jejak kaki di bumi Palestin, kami mengutip pengalaman makan tengah hari yang terasa sedikit berbeza daripada kebiasaannya. Di atas meja tidak dihidangkan satu hidangan besar, tetapi beberapa mangkuk kecil yang tersusun rapi. Setiap satunya mempunyai warna dan rasa yang berbeza seperti hummus yang lembut, falafel yang rangup, salad timun yogurt yang segar, serta aneka salad sayur yang penuh warna.
Walaupun kelihatan sederhana, hidangan ini terasa sangat istimewa. Kami menikmati makanan dengan mencicah roti pita ke dalam hummus dan mengambil sedikit demi sedikit mezze dari setiap mangkuk. Cara makan sebegini membuatkan suasana terasa lebih santai dan mesra, seolah-olah mengajak semua orang berkongsi rezeki bersama.
Apa yang paling menyentuh hati ialah kesederhanaan hidangan tersebut. Kebanyakannya hanya menggunakan sayur-sayuran segar, kacang kuda, yogurt dan minyak zaitun. Namun rasanya cukup menyelerakan. Setiap suapan seakan membawa cerita tentang budaya dan kehidupan masyarakat Palestin yang sederhana tetapi penuh kehangatan.
| Firdaus sedang mencicipi hidangan Palestin dengan penuh berselera! |
| Pintu masuk ke Al-Rawdah Restaurant & Park. |
| Ruang makan di bahagian luar. |
| Roti Arab @ Pita @ Khubz |
Roti Arab @ Roti Pita @ Khubz Arab ini lembut dan nipis. Biasanya dimakan bersama hummus, salad, atau dibalut dengan daging.
| Mezze @ Hidangan Pembuka Selera |
Mari berkenalan dengan hidangan sampingan @Mezze @ pembuka selera. Dalam gambar di atas dan di bawah terdapat beberapa jenis mezze termasuk salad Arab atau fattoush atau salad segar. Ada salad lobak merah pedas, salad yogurt timun, hummus dan falafel.
| Mezze @ Hidangan Pembuka Selera |
![]() |
| Roti Arab @ Pita @ Khubz |
Roti pita @ khubz digunakan untuk mencedok hummus, mengambil salad yogurt dan membungkus daging atau falafel. Caranya ialah dengan mengoyak kecil roti dan gunakan roti untuk cedok makanan. Jangan celup roti yang sudah digigit ke dalam hidangan bersama.
| Falafel |
Falafel ialah sejenis bebola goreng yang diperbuat daripada kacang kuda atau kacang fava, bawang, bawang putih, parsley dan rempah. Rasa falafel rangup di luar tetapi lembut di dalam.
| Falafel, rangup di luar lembut di dalam. |
| Fattoush @ Salad Daun Hijau |
Salad Daun Hijau atau nama Arabnya Fattoush ini mengandungi lettuce, tomato, timun, parsley dan sumac.
| Salad Yogurt Timun @ Tzatziki @ Khiyar bil Laban |
Salad Yogurt Timun atau Tzatziki ini nama Arabnya Khiyar bil Laban. Salad ini terdiri dari campuran yogurt, timun, bawang putih dan herba. Rasanya segar, sejuk dan sedikit masam. Biasanya dimakan dengan falafel atau roti.
| Salad Yogurt Timun yang nampak menyegarkan. |
| Hummus |
Hummus adalah hidangan paling terkenal di Timur Tengah. Kita pun biasa jumpa di restoran Arab di negara kita. Hummus diolah dengan menggunakan kacang kuda, tahini (pes bijan), jus lemon, bawang putih dan minyak zaitun. Cara makan cicah dengan roti pita. Rasanya lemak, berkrim dan sedikit masam.
| Hummus, hidangan terkenal di Timur Tengah. |
| Salad Lobak Merah |
Salad lobak merah diolah dengan bawang putih, minyak zaitun, lemon dan parsley. Kadang-kadang ditambah cili. Rasanya masam, sedikit manis dan beraroma bawang putih.
| Salad Arab @ Salata Arabiya - Salad Tomato & Timun |
Salad Tomato & Timun @ Salad Arab @ Salata Arabiya ini menggunakan bahan tomato, timun, bawang, parsley, minyak zaitun dan lemon. Rasanya segar dan ringan.
| Salata Arabiya |
| Salad Kobis Ungu |
Salad Kobis Ungu dari kobis ungu yang dihiris halus, biasanya dicampur lemon, minyak zaitun dan sedikit garam. Rasanya rangup dan segar.
![]() |
| Nasi Arab @ Nasi Timur Tengah |
Nasi berlauk inilah rupanya hidangan utama kami! Jom lihat apa yang ada dalam pinggan ini. Nasi berlauk ini merupakan Nasi Arab @ Nasi Timur Tengah menggunakan beras panjang seperti basmati. Ada aroma rempah yang lembut seperti kayu manis, buah pelaga dan daun bay.
Lauknya terdiri daripada ayam panggang yang berempah seperti chicken tikka atau grilled chicken. Ada kofta atau bebola daging dan kentang goreng. Biasanya kentang goreng ini selalu dijadikan side dish dalam hidangan Arab moden.
| Dessert - Kurma |
Pertama kali makan berhidang di Jericho, barulah kami faham cara menikmati hidangan Timur Tengah atau cara Palestin. Dalam hidangan Arab, biasanya makan ikut susunan atau turutan. Mula-mula ambil roti pita, kemudian cedok hummus atau salad dulu diikuti dengan pembuka selera yang lain. Kemudian makan nasi bersama ayam atau kofta. Akhir sekali minum teh Arab atau kopi Arab.
| Teh Arab |


1 comments
Sederhana tetapi sedap tema makanan di Palestin ini ye. Cara Amie ambil gambar semua makanan membuatkan KSarie langsung kelaparan ini. Udah la baru 12.30 tengahari ini hehhehee
BalasPadam