Indahnya Hasil Seni Damasquinado
8:49 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Pernah dengar seni damasquinado atau damascene? Jom Amie bawakan suasana di DAMASQUINADO DE ORO DAMASQUINADOS SUAREZ, S.L. yang terletak di Subida a la Granja, Toledo.
| Piring hiasan - salah satu daripada hasil seni damasquinado. |
Pada mulanya tidak dapat bayangkan apa yang ada di sini kerana ketika pintu dibuka, setiap ruangan seolah-olah satu galeri lukisan!
Sehinggalah kami dibawa ke sebuah ruangan kerja seni damasquinado. Sayangnya Amie sudah terpadan video proses kerja seni damasquinado di sini. Tengok gambar sahajalah di bawah ini.
Damasquinados Suarez merupakan bengkel dan kedai yang menjual produk-produk seni damasquinado dan juga pedang. Damasquinado atau damascene adalah seni menata atau menatahkan logam biasanya emas 24 karat atau perak ke dalam permukaan logam yang dioksidasi (tindak balas kimia dengan oksigen) atau dihitamkan untuk menghasilkan pola dan gambar yang rumit. Proses ini dilakukan sepenuhnya dengan tangan.
Produk yang dihasilkan meliputi:
- Perhiasan seperti loket, anting-anting, gelang, kerongsang dan cincin.
- Barang-barang dekoratif seperti piring hias, kotak, penyepit rambut, dan gantungan kunci.
- Senjata seperti pedang hias, pisau, dan alat-alat kecil.
Seni ini berasal dari Damaskus, Syria, tetapi dibawa ke Sepanyol oleh bangsa Arab pada abad ke-8 dan menjadi sangat terkenal di Toledo, menjadikannya pusat utama seni damasquinado di Eropah.
| Seorang tukang sedang menatah benang emas ke atas permukaan logam yang sudah dihitamkan. |
| Kerja-kerja sebegini memerlukan ketelitian dan kesabaran. |
Selepas menyaksikan kerja-kerja tukang, kami berpeluang melihat pelbagai hasil seni damasquinado di sini.
| Key chain. |
Pelbagai barang kemas wanita.
Seni damasquinado (damascene) memiliki kaitan yang sangat rapat dengan Tamadun Islam, terutama melalui sejarah dan perkembangannya di Sepanyol. Walaupun asal-usul seni damasquinado ini mungkin wujud sejak zaman purba (di Rom, Yunani, dan Mesir), namun ia mencapai kemuncaknya dan disebarkan ke Eropah, terutamanya ke Sepanyol, melalui Tamadun Islam.
Semasa penaklukan Islam di Semenanjung Iberia (Andalusia) pada abad ke-8, tukang-tukang Islam membawa pelbagai kemahiran seni, termasuk seni logam dan ukiran. Teknik ini menjadi sangat terkenal di kota-kota Islam seperti Toledo yang merupakan pusat penting untuk seni, ilmu, dan kraftangan. Penguasaan seni damasquinado oleh tukang-tukang Islam di Toledo ini terus berkembang maju selama berabad-abad, bahkan selepas penaklukan semula oleh Kristian.
Motif dan corak yang digunakan dalam damasquinado sering mencerminkan prinsip-prinsip seni Islam, seperti:
- Motif Geometri:
Seni Islam mengutamakan penggunaan corak geometri yang rumit, berulang, dan saling berkaitan. Hal ini kerana Islam mengelakkan penggambaran figura manusia dan haiwan. Corak geometri ini melambangkan ketertiban dan keindahan alam semesta. - Corak Flora:
Corak-corak tumbuhan dan bunga yang digayakan (arabesque) juga sangat popular dalam seni Islam dan sering digabungkan dengan motif geometri. - Kaligrafi:
Meskipun tidak sepopular corak geometri, kaligrafi Arab yang halus juga kadang-kadang disisip dalam rekaan damasquinado.
Mata terpaku melihat kehalusan hasil seni damasquinado di piring hias ini namun terus berkelip-kelip melihat harganya.... ya ampun! Memang piring hias damasquinado tidak boleh duduk sealmari bersama piring-piring hias yang Amie selalu beli dari negara lain! Ia seumpama gagak di rimba dengan merak di kayangan. Jadi hanya mampu bawa pulang gambarnya sahaja buat kenangan.
Hasil seni damasquinado yang lain termasuklah pedang hiasan.
Setelah melihat pelbagai jenis hasil kesenian damasquinado, kami berbalik semula ke tempat hiasan badan. Cantik-cantik anting-anting dan pelbagai jenis kerongsang. Ramai yang berminat membeli loket dan cincin serta gelang.
| Antara gelang yang menambat hati ramai wanita! |
Dari gambar gelang di atas, damasquinado lebih dikenali sebagai teknik menyisip atau memasukkan benang emas atau perak ke dalam permukaan logam lain yang lebih gelap, biasanya keluli, untuk mencipta corak atau imej. Teknik ini memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi. Nampak halus berseni dan indah sungguh hasil benang emas di permukaan logam hitam itu kan?
Proses ini melibatkan beberapa langkah utama yang dilakukan oleh tukang mahir:
- Menyiapkan Permukaan Asas:
Pertama, sekeping logam asas, selalunya keluli, disediakan. Permukaan ini kemudian diukir dengan teliti untuk mencipta alur-alur halus yang akan membentuk reka bentuk akhir. Alur-alur ini sangat cetek dan memerlukan tangan yang stabil. - Memasukkan Benang Emas:
Benang atau kepingan emas 24 karat yang sangat nipis diletakkan ke dalam alur yang telah diukir. Menggunakan alat khas yang sangat kecil, tukang akan mengetuk emas tersebut ke dalam alur dengan perlahan-lahan dan penuh ketelitian sehingga ia melekat. - Mengoksidasi dan Menggabungkan:
Seluruh kepingan kemudiannya dipanaskan pada suhu yang sangat tinggi (lebih kurang 800°C). Haba ini menyebabkan permukaan keluli teroksida dan bertukar menjadi hitam. Pada masa yang sama, emas yang telah disisip akan melekat dengan kuat pada permukaan keluli. - Menggilap Akhir:
Akhir sekali, kepingan itu digilap dengan teliti. Proses ini menyerlahkan kilauan emas dan kontras yang dramatik dengan latar belakang hitam yang gelap, menjadikan reka bentuknya sangat jelas dan menarik.
Amie terpikat dengan salah satu gelang di sini. Hendak beli atau tidak? Hendak beli mata wang EURO tak cukup. Tidak beli nanti teringat-ingat pula apabila sudah balik LD. Maka ketika ini terngiang-ngianlah di telinga: Biar menyesal beli, jangan menyesal tak beli!
Akhirnya Amie tukar RM ke EURO dengan Mbak Watie. Syukurlah ada 'money changer' bergerak di Sepanyol! Rasanya, tiga kali Amie dan kawan-kawan tukar RM ke EURO dengan Mbak Watie sepanjang berada di Sepanyol.
Untuk gelang yang Amie pilih, bahagian loket yang berbentuk kunci dan corak bintang yang rumit itu adalah contoh sempurna seni damasquinado Toledo. Bagi Amie, gabungan kehalusan seni lama ini dengan reka bentuk moden menghasilkan perhiasan yang unik dan bernilai seni tinggi.
| Amie ambil gambar gelang di dalam bas, letak di atas botol air mineral. |
Oleh itu, gelang damasquinado yang Amie beli di Toledo bukan sekadar perhiasan, tetapi juga merupakan warisan seni yang kaya dan bukti kesinambungan sejarah Tamadun Islam di Sepanyol. Ia adalah seni kuno yang menggabungkan dua logam berbeza untuk menghasilkan reka bentuk yang rumit dan indah.
Walaupun jadi beli, tetapi tidak menyesal!
2 comments
Galeri yang sangat menarik ..
BalasPadamCantiknya piring hiasan tu.
BalasPadam