Kudapan Pagi : Dodol Pandan Yang Gurih, Cukup Rasa Lemak Manis
12:32 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Masih ada kuih raya? Kuih raya paling sedap sudah tentulah saki baki yang masih tinggal dalam balang. Waktu itulah baru terasa nikmatnya makan kuih raya yang tinggal serdak-serdaknya. Ada yang rajin, lepas raya pun masih buat kuih raya. Itu mungkin untuk habiskan lebihan bahan yang masih ada.
Beberapa hari lepas Amie dapat rezeki terima sebungkus dodol pandan daripada rakan ladang. Amie simpan dalam peti sejuk untuk memudahkan proses memotongnya. Setiap tahun rakan Amie kongsi dodol yang dipesan dari Malaya. Dodolnya pula memang sedap, tak cukup makan sepotong dua. Kata Encik Suami, rasanya gurih. Amie tambah, sudahlah gurih cukup rasa lemak manisnya pula.
Dodol Pandan |
Selain disebut dodol, manisan ini disebut juga dengan nama gelamai. Bahan untuk membuatnya tidaklah banyak tetapi proses memasaknya itulah yang sangat menguji kesabaran. Seingat Amie, waktu kecil dahulu selalu melihat jiran tetangga berkumpul di rumah mengacau dodol dalam kawah. Mereka memasak dengan menggunakan kayu api. Kemudian hasil gotong-royong mengacau dodol akan dibahagi-bahagikan bersama. Samalah juga sewaktu membuat kuih bahulu. Jiran tetangga akan kumpul telur itik dan datang ke rumah memukul telur dalam pasu sehingga kembang. Nostalgia sungguh! Itulah kenangan bulan puasa ketika kami orang kampung menyediakan pelbagai kuih-muih tradisional sebagai juadah hari raya.
Bukan setakat gotong-royong mengacau dodol dan membuat kuih bahulu, tetapi juga wajik! Bab wajik memang sampai sekarang masih terhidu aroma wajik durian!
Dahulu, hanya jumpa dodol warna perang kecoklatan tetapi sekarang sudah berubah. Rasanya pula bertambah enak. Dodol bukan sahaja berwarna perang coklat tetapi ada yang warna hijau dan kuning. Rasanya pun sudah pelbagai. Ada penambahan rasa durian, pisang, nangka, aroma pandan dan sebagainya.
Dodol @ Gelamai |
Dodol bukan sahaja terkenal di negara kita, tetapi juga di negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina juga sehingga ke Sri Lanka dan India! Pernah sekali Amie ke Bandung dan kami singgah di sebuah kedai dodol. Ya ampun! Banyaknya jenis dodol dengan pelbagai rupa dan rasa. Bentuknya pun cantik dibungkus rapi. Rasanya hendak beli kesemuanya!
Entah bila ada kesempatan untuk jalan-jalan ke Bandung. Teringat pula makan roti pisang bolen yang sangat sedap yang kami beli di Kartika Sari.
Semoga kuih-muih warisan tradisi turun-temurun ini terus dikekalkan walaupun hanya ditemui pada hari perayaan sahaja. Namun begitu, sekarang kalau hendak makan dodol memang boleh dinikmati pada bila-bila masa kerana banyak produk makanan tradisional berada di pasaran.
11 comments
Tak pernah makan dodol pandan.
BalasPadamadohaiii lama dah tak makan dodol. sini susah cari. last mkn dodol yg kwn bawa dari thailand. sedap, pelbagai perisa
BalasPadamKebetulan, sy baru hendak menikmati dodol sambil baca entry Kak Amie ni.
BalasPadamPernak makan dodol pandan sedap jugak tapi lebih suka dodol asli.
BalasPadamBetullah tu kak Amie, kuih sedap habis dah. Ooo baru tahu dodol ada nama lain, gelamai. Sekarang pun dah bermacam-macam jenis perisa dodol. Tapi tetaplah yang asli juga sedap. Suka jenis yang cair sikit. Raya tahun ni dapat makan dodol yang macam bungkusan gula-gula bentuk 3 segi tu dari Melaka. Sedap! Itupun macam makan sebungkus je lah buat rasa-rasa.
BalasPadammula2 tengok kan kak sy ingat kuih kaswi pandan
BalasPadamhehehe...
selalu tengok dodol pandan yang dah dibungkus tiga segi tu...
alamak.. dodol perisa nangka 🫣
BalasPadamsaya pernah juga tolong pukul telur untuk buat bahulu dulu... seronok bila tengok adunan dah fluffy... tapi lamalah nak mukulnya huhu...
Dahulu raya memang aruah bapak yang ngacau dodol. Dari pagi sampai nak berbuka baru masak. Masa tu kalau dah masak sedap makan panas-panas lembek2 gitu, letak dalam daun pisang. Suka yang baru masak tapi bila dah keras sedap aje makan.
BalasPadamFirst time tngok dodol pandan..biasa dodol gula merah
BalasPadamSaya pernah lihat cara buat dodol di YouTube, memang lah tak akan kuat kalo sendiri 🤣🤣🤣🤣. Membayangkan mengaduk nya saja dah buat lengan berotot 😅.
BalasPadamSaya suka dodol, tp memang tak semua. Ada juga rasa dodol yg saya tak suka. Apalagi di Jawa sini, dodol banyak sangat jenisnya. Ada yg saya suka, ada yg tak.
Tp pastinya kalo baru selesai dibuat, pakai perisa durian, beuugh mantap lah itu 😄👍
Betul, sekarang dah susah nak jumpa dodol. Mungkin kerana cara buatnya yg lama, orang tak sanggup.
BalasPadamUniknya ada dodol pandan ye