Ayam Pencen Masak Lemak Kuning
1:30 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Masih lagi cerita di kampung laman. Kali ini coretan petang 4 Syawal.
Balik dari beraya, rasa letih pula. Bonda pesan supaya masak ayam untuk lauk makan malam. Katanya ada dua ekor ayam bulat dalam peti sejuk bahagian beku. Keluarkanlah, dan masaklah katanya. Amie minta Encik Suami keluarkan ayam yang Bonda kata itu dan Amie sendiri keluarkan seekor ikan jelawat yang masih dalam bungkusan plastik. Amie Lihat dua ekor ayam yang Encik Suami keluarkan nampak kurus, tetapi Amie rendam saja. Ikan jelawat pun Amie rendam juga.
Sebelum masuk bilik untuk berehat dan tidur, Amie beritahu Bonda bahawa dua ekor ayam yang dikeluarkan dari peti sejuk itu macam ayam pencen. Bonda kata, bukan ayam pencen tapi ayam daging. Bonda sendiri yang suruh anak buah beli, dengan duit RM50.00. Huurrmmm... entahlah. Disebabkan penat, Amie pun tak fikir panjang lagi. Biarlah ayam nyahbeku dan selepas berehat Amie akan masak.
Apabila Amie bangun tidur, terus ke dapur dan ayam sudah nyahbeku. Betullah ayam pencen, sebab ada beberapa biji telur muda di dalamnya. Amie tunjuk kepada Bonda, dan Bonda hairan sebab yang disuruh beli ayam daging kenapa jadi ayam pencen. Masak sajalah, kata Bonda.
Amie tak tahu hendak masak apa. Dalam pada terfikir-fikir itu Amie potong seekor saja ayam pencen dan kemudian rebus. Seekor lagi Amie simpan semula dalam peti sejuk.
Encik Suami masuk dapur. Amie tunjukkan ayam pencen yang sedang direbus. Mahal juga ayam pencen, Amie membebel. Dua ekor harga RM50.00, mengalahkan harga ayam daging pula! Lepas itu melintas pula sangkaan jahat di kepala, jangan-jangan anak buah ambil 'cukai' dari RM50.00 yang Bonda (Nenda) berikan. Tercongak-congak pula berapa harga ayam pencen di sini. Kalau di LD seekor ayam pencen biasanya berharga RM16.00 seekor.
Ayam pencen yang direbus sudah empuk dan hampir kering airnya. Hendak masak kicap, dari hari terakhir puasa lagi kami makan ayam kicap punjungan. Raya pertama Wak Kanang kirim ayam masak kicap, dan hari raya kedua pun datang lagi menu yang sama dari rumah Wak Kanang. Akhirnya Amie tambahkan bawang putih bawang merah serta halia tumbuk, masukkan kentang, serai, serbuk kunyit, asam keping dan santan kotak serta tambahkan sedikit air lagi.
Hidangan makan malam kami pada petang Khamis, 4 Syawal:
- Nasi Putih
- Ayam Pencen Masak Lemak Kuning
- Ikan Lampam Jawa Goreng
- Ikan Patin Masak asam Pedas
- Peria Katak Tumis
Lauk makan malam. |
Asam Pedas Ikan Patin |
Ikan Patin Masak Asam Pedas ini pun ada kisahnya yang tersendiri. Sebenarnya Amie hendak masak ikan jelawat. Amie keluarkan seekor dalam bungkusan plastik. Ada tertera namanya Ikan Jelawat. Amie masih ingat ikan jelawat itu Amie yang beli dua hari lepas di Puncak Alam. Apabila sudah nyahbeku, jadi ikan patin pula! Eh, tersalah ambil ikan kot? Atau ada tangan yang masukkan ikan patin dalam plastik ikan jelawat?Jadi, ke mana perginya ikan jelawat? Isskk...iissskkk ada-ada saja ceritanya pada petang itu!
Sudah terlanjur ikan patin yang dikeluarkan, masak sajalah. Malaslah hendak cari ikan jelawat dalam peti sejuk dan tunggu untuk nyahbeku lagi. Datang Fuad ke dapur, si raja ikan ini minta Amie goreng dahulu ikan patin sebelum dijadikan asam pedas. Katanya lebih sedap. Amie ikutkan sajalah seleranya.
Ikan Lampam Jawa Goreng |
Ayam Pencen Masak Lemak Kuning |
Walaupun pertama kali masak ayam pencen cara koboi begini, tapi sedaplah pula rasanya. Kalau ada ayam pencen di LD, Amie hendak masak lagi cara begini. Mungkin akan tambahkan lengkuas supaya lebih berasa.
Oh, ya!
Sewaktu kami sedang makan, datanglah Adik Chah ke rumah Bonda. Bonda beritahu, macamana boleh ada dua ekor ayam pencen di dalam peti sejuk sedangkan Bonda suruh Rahim, anak buah kami beli ayam daging dua ekor!
Adik Chah kata, itu ayam pencen dia! Dia tumpang peti sejuk di rumah Bonda sebab peti sejuknya penuh! Allahu Akbar!
Maknanya Encik Suami yang tersalah ambil bungkusan ayam! Ayam daging Bonda yang dua ekor itu terletak di bawah ayam pencen dua ekor kepunyaan Adik Chah.
Yo wes, ayam pencen wes melebu weteng!
Ada-ada saja ceritanya. Ayam daging bertukar jadi ayam pencen. Ikan jelawat bertukar jadi ikan patin. Hurrmmmm... ahaks!
25 comments
Wes wareg mangan ayam pencen Adik Chah 🤣
BalasPadamLucu ceritanya kak. Dahlah siap bebel pasal harga ayam pencen mahal 😂
Hahaaa... Adik Chah pun redo aje hahahaaa. Ada lagi seekor belum dimasak.
PadamOh, tersalah ambil ayam orang rupanya. Hihi... dah jadi lauk dah, sedap pulak nampaknya, ayam pencen masak lemak.
BalasPadamAdik Chah pun tak bagi tahu Bonda dia tumpang letak ayam pencen dalam freezer.
PadamFav saya ayam lemak kuning
BalasPadamSedap kan Syaz. Tapi saya main hentam saja masaknya.
PadamSedapnya lauk Kak Amie ada masak lemak dan ikan lampam goreng dll semua sedap sangat. Hehe tersilap owner ayam nya ya.
BalasPadamHendak jadi cerita, ayam daging jadi ayam pencen, ikan jelawat jadi ikan patin hihihii.
PadamLaaaa...tersalah empunya ayam rupanya...arh sudah...baru nakmcakap kat seremban ayam pencen baru RM10 seekor..hahahaha...aduhai...PZ kalau dapat ikan pampan dibuat masak lemak cili api campur limau kasturi ( ambil jusnya) atau campur daun kunyit..kalau xde rasa hanyir SA boleh la makan..kalau hanyir..PZ sorang je makan
BalasPadamSedaplah ayam pencen. Bila direbus lama, lembut juga. Patutlah Adik Chah beli dua ekor tu nak buat rendang katanya.
Padamlama dah tak makan lauk2 mcm ni... asik beli jer
BalasPadamTak apa Afeez.
PadamAda masa lapang nanti bolehlah masak sendiri.
Alamak, salah ayam daaaaa 😂
BalasPadamSy pun tertunggu² menu ikan melawat, rupanya ikan patin ye...macam² pulak ceritanya hehe
Hahaa... saya pun dah berangan nak masak singgang ikan jelawat. Akhirnya sampai saya balik Sabah, tak sempat masak ikan tu.
PadamAdoi la tak memasal anak buah kena tuduh. Hihi. Nampak menyelerakan semua lauk pauk tu.
BalasPadamAda-ada saja kalau nak jadi cerita kan Cie.
PadamMulanya nak sangka baik, kot memang beli ayam pencen sebab ayam daging dah habis. Raya raya ni serba serbi barang habis. Jadi, dia beli juga ayam pencen daripada tak ada kan. Sekali meleset sangkaan saya. Tak pasal-pasal ayam pencen dia dah siap dimasak. Ikan jelawat boleh pula bertukar jadi ikan patin. Macam-macam hal kan...Penghibur di kala penat. Hihi...
BalasPadamSambil tulis entri ini saya gelak sendiri.
PadamBaca komen-komen lagi gelak besar hahahaaa!
Hahahahahahaha.. kelakar betul la pulak entry Kak Amie hari ni. Sy dah agak, mesti ada plot twist, hahahahaha.
BalasPadamPlot tu bergerak sendiri kan SK hihihiii.
PadamHahahahagahahahah ternyata punya orang pula ya kak 🤣🤣🤣🤣🤣. Tp saya masih bingung ayam pencen ini maksudnya apa 😅. Ayam telur kah? Krn kakak ada sebut telur muda. Atau ayam tua?
BalasPadamPatin digoreng bisa ya? Soalnya daging dia lembuuut sangat kan. Takut hancur. selama ini kalo patin saya cuma pernah rasa di masak dalam bambu dan di pindang, macam masakan khas Palembang.
Ayam pencen di tempat kami maksudnya ayam telur yang sudah tidak produktif bertelur. Dijual dengan harga lebih murah berbanding ayam daging. Ramai yang menyukainya kerana dagingnya tidak selembut ayam daging, dan biasanya dimasak lama serta tidak cepat hancur. Selalunya dimasak rendang atau gulai. Yang pastinya, rasa enak dimakan kerana lebih kenyal.
Padamberapa lama kak amie rebus ayam pencen tu?
BalasPadamweee laam betul tak makan ayam pencen ni...
sedapnyaaa kalau dapat rendang ayam pencen...
Klimaks cerita ayam pencen kat ujung²... adehhh... tak pasal² Rahim terima tuduhan 😅
BalasPadamwaduh wes warek tu rupanya orang punya. Rezeki orang di rumah bonda. hehehehe ayam pencen mahal tapi bila buat rendang sedap.
BalasPadam