Singgang Tumis Ikan Tong San
8:48 PTG
Setiap kali buka folder, terpandang gambar kepingan ikan tongsan yang tidak dipedulikan! Hari ini tergerak pula hati untuk kongsikan resipi Singgang Tumis Ikan Tong San yang telah berbulan menunggu giliran....hiks!
Sebenarnya Singgang Tumis Ikan Tong San ini Amie masak di rumah Bonda. Lama dah... ketika kami bercuti sempena Aidil Adha pada Ogos lepas.
Masakan singgang tumis ikan memang tidak asing dalam keluarga kami. Dari kecil lagi kami sudah menikmatinya! Teringat waktu kanak-kanak dahulu, herba wajib yang Bonda gunakan setiap kali masak singgang sudah tentunya serai, halia, kunyit dan lengkuas! Bonda kata, serai bercampur dengan bawang putih dan bawang merah akan menghasilkan aroma yang menyegarkan!Bonda suka sebut 'segar' yang membawa maksud membangkitkan selera. Orang kampung memang tidak dapat dipisahkan dengan tumbuhan herba tiga serangkai ini. Boleh dikatakan, di sekitar rumah sama ada di belakang, di depan atau di tepi dapur pasti ada sekurang-kurangnya rumpun serai!
Untuk masakan Singgang Tumis Ikan Tong San, Amie tidak masukkan cili padi untuk rasa pedas, sebaliknya hanya gunakan cili merah yang dipotong dua. Kebetulannya, ada sambal belacan dan telur dadar dalam hidangan. Jadi, untuk mencari pedas, bolehlah tambah sambal belacan pula....hiks! Lagi satu, Bonda suka hirup kuah singgang, jadi tidaklah terganggu hirupannya kalau tidak dibubuh cili padi.
Mari kita lihat resepi Singgang Tumis Ikan Tong San. Ikan tong san ini memang sudah siap dibersihkan dan dipotong sewaktu kami beli di Kuala Selangor.
Bahan-bahan:
1 kg ikan tong san - ada 5 kepingan ikan tong san
2 keping asam gelugor
2 batang serai - diketuk
2 cm kunyit hidup - tumbuk halus
10 biji kacang bendi - buang ekor dan tampuk - potong 2
2 biji tomato - belah 4
2 biji cili merah - potong 2
6 cawan air
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 cm halia
2 cm lengkuas
Cara memasak:
1. Panaskan minyak di dalam kuali / periuk.
2. Tumis bahan hiris bersama serai, kunyit hidup hingga terbit bau.
3. Tuangkan air, dan masukkan asam gelugor. Biarkan mendidih.
4. Masukkan ikan, tomato dan juga kacang bendi.
5. Biarkan sehingga ikan masak.
6. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
7. Keluarkan asam gelugor dari kuali / periuk.
8. Hidangkan panas bersama nasi putih, sambal belacan dan telur dadar.
Bilalah nak balik kampung lagi. Nak masak ikan tong san lagi!
2 comments
Assalamualaikum,
BalasPadamAlamak, sedap pulak nampak gayanya. Lama sungguh tak makan singgang.
mesti sedap ni kak, dana suka ikan yang isi dia tebal macamtu, masak apa pun sedap...
BalasPadam