Mee Hoon Goreng Singapura
6:50 PTG
Kami sekeluarga suka makan Mee Hoon Goreng Singapura.
Tak kira waktu, sarapan, tengahari, petang atau malam, kalau Amie masak Mee Hoon Goreng Singapura memang tak tinggal sisa! Alhamdulillah. Dulu sewaktu mula-mula berumahtangga, Encik Suami memang susah sikit nak makan mee hoon goreng tanpa kicap, tapi lama-kelamaan mee hoon beginilah yang sering disebut kalau Amie ingin olah mee hoon goreng!
Memang nampak meriah Mee Hoon Goreng Singapura ini kalau sudah dihias dengan pelbagai aksesori! Sewaktu rakan-rakan Farid dan Fuad berkunjung di hari raya, anak-anak minta Amie masakkan mee hoon ini sebagai salah satu hidangan untuk menjamu rakan mereka. Begitu juga ketika majlis berbuka puasa di kampung, Amie pun masak mee hoon cara begini. Dan baru-baru ini, Amie masak 4 bungkus mee hoon lagi untuk dibawa ke sekolah, jamu anak-anak murid selain sate ayam dan juga kek.
Mee Hoon Goreng Singapura ini kalau tak dilengkapi dengan aksesori itu dan ini pun masih terasa enaknya!
Ini antara bahan yang Amie biasa gunakan untuk mengolah Mee Hoon Goreng Singapura.
Kalau sukakan kemeriahan boleh hiriskan cili merah dan juga cili hijau.
Encik Suami mewajibkan kehadiran sayur sawi dalam Mee Hoon Goreng Singapura. Amie pisahkan antara batang dan daun sawi., dan dimasukkan dalam kuali pada waktu yang berlainan.
Bahan seterusnya sudah tentulah hirisan lobak merah. Selain udang kering tumbuk bersama bawang putih dan bawang merah, Amie tambahkan lagi udang basah.
Jika suka bolehlah tambahkan bebola ikan dan juga hirisan cendawan shiitake.
Kalau ingin menambah ayam sebagai bahan perencah, eloklah ambil bahagian dadanya yang tidak bertulang dan hiris kecil-kecil. Amie gunakan bahagian sukuan peha ayam.
Wokey....
Semua bahan sudah tersedia dan mee hoon pun sudah lembut. Jadi, mari kita mulakan aktiviti memasak.
Bahan-bahan:
2 bungkus mee hoon - rendam hingga lembut - toskan
3 pokok sawi - potong ikut citarasa - pisahkan antara batang dengan daun
1/2 batang lobak merah - potong halus
3 kuntum cendawan shiitake - rendam hingga lembut - hiris halus
15 biji bebola ikan - belah dua
1 cawan isi udang
1 cawan cincangan ayam
1 labu bawang besar - cincang
1 biji cili merah - hiris
1 biji cili hijau - hiris
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk kasar:
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 sudu besar udang kering
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar cincang serta bahan tumbuk hingga layu kekuningan.
2. Masukkan ayam cincang dan masak sehingga ayam empuk.
3. Kemudian masukkan udang bawah, bebola ikan, cendawan shiitake serta lobak merah. Gaul rata.
4. Setelah udang berubah warna, masukkan batang sawi dan gaul lagi.
5. Masukkan daun sawi diikuti dengan mee hoon.
6. Gaul rata.
7. Taburkan lada putih tumbuk, garam / gula / bahan perasa secukupnya.
8. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
Kalau nak cantik, hiaslah dengan hirisan telur dadar, daun bawang atau daun sup, bawang goreng dan hirisan cili merah serta limau kasturi.
0 comments