Cara Masak Asam Rebus Tempoyak Ikan Susu yang Sedap!
6:58 PTG
Selalunya masak tempoyak dengan ikan patin tapi kali ini nak masak tempoyak dengan ikan susu. Encik Suami suka kuah tempoyak yang cair, jadi tak payah bubuh santan. Kira masak asam rebus bubuh tempoyaklah ceritanya ni... ahaks! Masak sajalah dengan apa sahaja bahan yang ada. Pandai-pandailah olah untuk hidangan keluarga.
Ketika kuah Asam Rebus Tempoyak Ikan Susu sedang mendidih di atas dapur, Fairuz muncul dengan beg sekolahnya di depan pintu dapur!
Mommy masak ikan patinkah?
Tidak dik. Tak ada ikan patin. Mommy masak ikan susu saja.
Anak bujang yang tak banyak cerewet tentang makanan ini pun keluar dari dapur, simpan beg sekolah dan solat Zohor.
Kemudian Amie panggil semula ke dapur, minta tolong kemaskan meja makan, sediakan pinggan makan, keluarkan nasi dari periuk dan hidangkan.
Kami pun menikmati hidangan tengahari yang lewat, makan nasi berlaukkan Asam Rebus Tempoyak Ikan Susu. Agak lama juga rasanya tak makan ikan, jadi kali ini makan ikan susu puas-puas..... hiks!
1 ekor ikan susu seberat 800 gram - bersihkan - potong 6
3 sudu besar tempoyak
1 biji tomato saiz besar - belah 6
7 biji kacang bendi - potong bahagian ekor dan tampuk
1 keping asam gelugor - pilihan / boleh tambah kalau ingin lebih rasa masam
1 labu bawang besar - hiris
1 helai daun kunyit - siat-siat
garam / gula / perasa pilihan
1 liter air
Bahan tumbuk halus / kisar:
30 biji cili padi - Amie gunakan cili padi hijau
3 cm kunyit hidup
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara memasak:
1. Masukkan air ke dalam periuk.
2. Kemudian masukkan bahan tumbuk / kisar , asam gelugor, dan tempoyak. Biarkan hingga mendidih.
3. Masukkan ikan, tomato dan kacang bendi. Masak sekitar 5 minit.
4. Setelah ikan masak, masukkan daun kunyit, garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali, dan padamkan api dapur.
Sedapnya ya ampuuuunnn!
Ketika menikmati Asam Rebus Tempoyak Ikan Susu, terlupalah pada si ikan patin!
Sesungguhnya walaupun olahan masakan itu sangat ringkas, tapi tidak dapat dinafikan kelazatannya mampu mengatasi menu berbintang-bintang kihkihkihhhhh!
5 comments
Acik pun sama tak de patin ikan kembung pun boleh buat masak tempoyak Amie
BalasPadamNampak kesedapannya.
BalasPadamterliur tengok asam rebus ni.. sedapnya
BalasPadamSedapnya ikan masak asam rebus Amie... Terus jadi lapar.
BalasPadamGandingkan pulak dengan ikan masin garing2 kan...huiiii.....rosak kalau sesiapa berdiet..SA blog lagi dapat ikan susu yang betul2 segar..dapat nanti nak masak macam ni la
BalasPadam