Sambal Taun @ Taon @ Tahun Kerang

9:24 PTG

Assalamualaikum.
Jumpa lagi setelah beberapa hari menyepikan diri.
Hari Sabtu lepas, selepas solat Subuh bergegas dengan Encik Suami ke Airport Tawau untuk menjemput Fuad yang terbang seawal pukul 6 dari KLIA. Tak sabar pula bujang ini menunggu hari Ahad sebab ada penerbangan terus dari Johor ke Tawau. Sangguplah pula dia berpenat naik bas dari Johor ke KLIA, padahal hari Sabtu dan Ahad bukanlah jauh tempoh masanya. 
Alang-alang 2 jam perjalanan dari Lahad Datu ke Airport Tawau, baiklah terus sambung 1/2 jam lagi untuk sampai ke bandar Tawau! Lagi pun Fuad mendarat pada pukul 9 pagi. Dan tepat pukul 8 pagi kami sampai ke Tawau, sempat membeli-belah di Pasar Tanjung. Maklumlah, sekembalinya dari Tawau kena terus masak untuk dibawa ke kampung. Keluarga Encik Suami telah merancang hari keluarga pada sebelah malamnya. Masing-masing bawa makanan untuk dinikmati bersama. Atas permintaan ramai, sekali lagi Amie masak Coto Makassar. Tapi kali ini bukan Coto Makassar yang Amie kongsikan. Amie paparkan resepi Sambal Taun.

Seingat Amie dari dahulu sebutannya ialah sambal taun (macam sebutan penyakit taun tu), atau taon. Agaknya boleh dieja begini : ta'un. Sehinggalah belajar di universiti, rakan-rakan dari daerah lain yang sama keturunan akan menyebut yang sama : ta'un @ta'on. Bila dunia di hujung jari dan tanpa batas sempadan ini, terdengarlah pula sambal tahun. Katanya, sambal tahun mendapat nama sebab sambal ini tahan lama, dihangatkan kembali dan ditambah apa yang patut untuk mengekalkan rasanya. Tahun membawa maksud tempoh yang lama (pengertian sambal tahun). Seingat Amie, kalau kami ingin menerangkan sesuatu yang memakan masa, maka disebutlah tempoh tertentu yang menunjukkan betapa lamanya waktu itu. Kalau diikutkan logik, tidaklah kekal sampai setahun lamanya Sambal Taun ini, ia sekadar membayangkan sekali masak, makanan tersebut boleh dimakan berkali-kali.
Inilah uniknya dunia masakan. Bukan sahaja bahan-bahan yang digunakan ada penambahan tetapi juga sebutannya. Seperti juga nasi ambeng, ada yang menyebutnya nasi ambang! Apa pun, masakan masyarakat Jawa tetap memiliki keunikannya yang tersendiri.

Sewaktu Amie kecil dahulu,  kami adik-beradik akan mengikut Ayahanda dan Bonda ke kebun untuk bercucuk tanam. Biasanya kami ke kebun selepas waktu sekolah atau pun pada hari cuti sekolah. Ayahanda dan Bonda menoreh getah di sebelah pagi, dan ke kebun pada sebelah petang. Banyaklah jenis tanaman di kebun. Dari pokok pisang sehinggalah ke pokok serai yang berumpun-rumpun! Tidak ketinggalan tanaman pokok lengkuas. Pernah sekali Amie terdengar Ayahanda menyuruh kakak untuk memilih tunas lengkuas yang masih merah. Kata Ayahanda, hiris nipis-nipis, tumis dengan cili padi dan ikan bilis! Sayangnya, ketika itu tekak kanak-kanak seperti Amie tidak dapat menerima menu tersebut disebabkan rasanya yang pedas ditambah pula dengan adanya lengkuas! 
Ya! Sambal Taun yang pernah Amie lihat dan 'makan' sedikit itu menggunakan lengkuas muda! Berkali-kali Ayahanda pesan dengan kakak, gunakan tunas lengkuas! 
Pagi Sabtu itu, ketika berada di Pasar Tanjung, Amie nampak lengkuas dan memang berhasrat untuk membelinya kerana akan digunakan sewaktu masak kuah Coto Makassar. Dan lebihan lengkuas yang masih banyak itulah, Amie hiris bahagiannya yang lembut untuk dijadikan sebahagian daripada Sambal Taun.

Bahan terpenting yang tidak boleh ditiadakan untuk menghasilkan Sambal Taun selain lengkuas sudah tentulah cili padi! Apa pun terpulang sekiranya anda ingin menggunakan cili padi selain cili padi kampung, sebab banyak jenis cili padi sama ada yang sangat pedas atau kurang pedas. Dan cerita tentang cili ini, pernah kakak Amie gunakan hirisan cili merah sahaja untuk masakan ini, jadi rasanya kurang pedas!
Satu lagi, cara masakannya pun mempunyai perbezaan. Ada yang tumis dahulu bahan perencah, dan ada yang masak rebus terus tanpa menumis terlebih dahulu. Ada yang rebus dahulu hirisan lengkuas, dan ada yang terus masuk dalam tumisan atau masakan yang direbus. Samalah seperti masak rendang. Ada yang lebur terus semua bahan, dan ada juga yang tumis terlebih dahulu bahan perencahnya.
Dalam hal ini, terpulanglah ikut kebiasaan cara memasak. Tidak ada yang salah kerana ia mengikut kesesuaian, kemampuan dan tradisi keluarga masing-masing. Walaupun nama resepinya sama, tetapi tidak semua daerah atau tempat masak dengan kaedah yang sama.

Jom kita mula main masak-masak...hiks! Amie tidak gunakan sukatan timbangan, tetapi hanya gunakan sukatan mangkuk sahaja. Mangkuk yang Amie gunakan ini, kalau diisi dengan cecair, kuantitinya sebanyak 400ml.
Apa agaknya bahan rahsia di bawah penutup mangkuk-mangkuk itu?
Mari kita buka....  taraaaaaa!

Ini dia antara bahan yang Amie gunakan untuk menghasilkan Sambal Taun Kerang. Sebenarnya banyak pilihan bahan lain boleh digunakan untuk memasak Sambal Taun. Kalau suka perut lembu atau peparu, bolehlah memasaknya. Kalau tak suka, bolehlah gunakan mempedal atau hati ayam. Gunakan ikan bilis pun boleh. 
Watak utamanya sudah tentulah kerang, dengan heronya lengkuas serta heroinnya cili padi. Alamak... dah tak betul pengarah filem memilih barisan pelakon nih...kihkihkihhhh! Sudah ada watak utama, ditambah hero dan heroin pulak!

Selain kerang, pembantu watak utama ialah udang. Mari kita lihat bahan-bahan Sambal Taun Kerang di bawah ini.

Bahan-bahan:
1 mangkuk isi kerang - dari 2 kg kerang yang direbus dan dikopek isinya
1 mangkuk isi udang
1 mangkuk hirisan lengkuas muda - hiris halus
1 mangkuk cili padi
1 mangkuk hirisan bawang besar (2 labu bawang besar)
1 mangkuk hirisan bawang merah + bawang putih (12 biji bawang merah + 10 ulas bawang putih)
1 mangkuk santan cair (400 ml)
2 mangkuk santan pekat (800 ml)
25 gram belacan - hancurkan
1 sudu besar pati asam jawa
garam / gula / perasa pilihan
1/2 cawan minyak

 Hirisan bawang besar.

Hirisan bawang merah dan bawang putih.

Hirisan lengkuas muda. Ikut sukalah nak  hiris cara macamana, sebab ada yang suka lebar, ada yang suka halus memanjang dan sebagainya.

Cili padi pula, tidaklah terhad hanya gunakan cili padi kampung yang kecil-kecil tu. Banyak lagi jenis cili padi lain. Boleh pilih ikut suka. Sesetengah orang nak rasa pedas segera,  mereka akan hiris separuh dan separuh lagi dibiarkan bulat-bulat saja. Sesetengahnya pula masukkan cili tu bulat-bulat. Ini yang best! Sebab tak rasa pedasnya kecuali selagi tak tergigit cili. Tapi kalau sambal ini dipanaskan kembali (kalau tak habis makan)  maka bermulalah babak pecah-memecah cili padi dengan sendirinya. Ketika ini barulah dapat rasa pedas yang sebenarnya... hiks! 

Ini sahajalah banyaknya isi kerang yang dikopek dari kerang rebus seberat 2 kg.
Kalau dahulu, zaman kanak-kanak kopek sebiji kerang masuk mangkuk, kopek sebiji lagi masuk mulut. Kali ini setiap biji yang dikopek masuk mangkuk... hiks!

Isi udang ini sebenarnya hasil dari 2 kg udang yang dibersihkan, tapi Amie hanya ambil semangkuk sahaja, lebih kurang 400 gram untuk samakan kuantiti dengan bahan lain. 

Amie gunakan dua jenis santan iaitu santan cair dan santan pekat. Dalam gambar atas bawah ini, Amie pun dah lupa mana satu yang pekat mana satu yang cair! Untuk santan cair Amie gunakan 400ml, dan santan pekat pula sebanyak 800ml.


Jangan lupa tambahkan belacan. Amie gunakan belacan Papar yang warnanya kemerahjambuan. Akibatnya, sewaktu proses menumis, kuah pun berwarna agak merah!

Amie gunakan pati asam jawa. Ada yang gunakan asam keping atau asam gelugor. Ikut sukalah ye.
Wokeyyy... dah siap semua bahan, jadi kita mulakan proses memasak.

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Goreng hirisan bawang besar dan hirisan bawang merah serta bawang putih sehingga terbit aroma dan kelihatan layu.
2. Kemudian masukkan hirisan lengkuas muda. Gaul rata.
3. Masukkan belacan dan pati asam jawa. Masak seketika.

 4. Tuangkan santan cair. Biarkan mendidih sehingga lengkuas lembut.

 Warna kuah pun menjadi kemerahan disebabkan oleh belacan!

 5. Masukkan cili padi.

 6. Gaul lagi dan kemudian masukkan isi kerang.


 7. Tambahkan lagi isi udang.

 8. Gaul rata dan biarkan mendidih.

 9. Kemudian masukkan santan pekat. 

 10. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

 Inilah hasilnya Sambal Taun Kerang.

Untuk hidangan pertama selepas dimasak, tidaklah terasa begitu pedas walaupun banyak cili padi digunakan. Anak-anak hanya ambil kuahnya sahaja! Memang hati-hati betul mereka makan,  takut tergigit cili padi! Sambal taun Kerang yang tidak habis, Amie simpan dalam peti sejuk. Esoknya boleh dikeluarkan dan dipanaskan kembali.

Ini Sambal Taun Kerang pada hari kedua. Amie tambahkan santan ketika proses memanaskan semula. Jila kurang rasa, tambahkan sedikit perasa pilihan anda.

Untuk hasil dipanaskan kali kedua ini, rasanya lebih pedas berbanding hidangan kali pertama. Cili padi mula pecah sedikit demi sedikit. Rasanya juga semakin sedap sebab semua bahan sudah mesra dan sebati!

Ini hidangan kali ketiga, dan merupakan Sambal Taun Kerang yang terakhir dari masakan yang sama dua hari lepas. Amie tambahkan lagi sedikit santan, dan perasa. 

Rasanya?
Sudah tentulah lebih pedas berbanding hidangan kali pertama dan kedua, tapi tidaklah sampai tak boleh telan.... hiks! Apabila santan bertemu dengan cili padi sebenarnya rasa lemak manis akan terhasil. Ditambah pula dengan jumlah bawang yang agak banyak sudah tentulah rasanya sungguh istimewa.
Tips untuk menikmati Sambal Taun Kerang:
Sediakan segelas air panas suam (lebihkan air panas) ketika makan nasi. Kalau rasa pedas, hirup air panas suam tadi, dan kepedasan itu akan hilang beberapa detik!
Lepas tu sambung makan lagisampai kenyang!

5 comments

  1. dana ni nama je org jawa kak tp tak pernah pun jumpa sambal taun nih, kt johor jarang sangat ada org masak sambal tahun ni, tp kwn dana yg jawa di selangor biasa masak sambal ni... tgk resepi dr akak ni... teringin lak nk cuba...

    cili api tu mmg tak payah potong ye kak, boh sebijik2 gitu je
    cumanya nk cari kerang yg bsr mcm akak tu susah la kt sini, udahla kerang skrg mahal bebeno...
    nk cuba msk ngn perut, paru atau pedal ayam si edy lak tak makan semua tu huhuhuhu...

    tp dana nk try jgk la nnti, mesti sedap

    BalasPadam
  2. 2-3 kali sy belek resepi k. Amie ni sebab nK cari su'un (suhun). Mati-mati sy ingat sambal taun/tahun ni sambal su'un sbb kami panggil su'un tu 'tahun'!

    Aduhai...

    BalasPadam
  3. Norhidana,
    di Selangor memang terkenal dengan sambal taun ni terutamanya di Tanjung Karang, Sabak Bernam, Banting dll. Ye, cili padi biar sebijik2, tapi kalau nak potong separuh bagi rasa pedasnya keluar boleh juga. Memang kerang mahal sangat sekarang ni. Terakhir beli kerang waktu balik kampung dulu sekilo RM9, walaupun ada pusat penternakan kerang di Kuala Selangor, dan memang banyak kerang di pantai Jeram & Pantai Remis.

    Puan Hazel,
    oooohh... tahun tu su'un ye, saya pun baru tahu ni heheee... sama2 baru tahu.

    BalasPadam
  4. Aku selalu buat sambal taun kerang.sedappp.ok.bye.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Slovenia ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Turkiye ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe