Telur Padi @ Century Egg
7:29 PTG
Assalamualaikum.
Hari ini Amie ingin kongsikan menu telur padi atau biasanya kami panggil telur hitam. Ada nama lain bagi telur padi ini misalnya telur seratus tahun bahkan ada yang memanggilnya telur seribu tahun! Telur itik awet ini juga dikenali sebagai telur pindang Cina kerana katanya asal-usulnya dari Hunan semasa Dinasti Ming.
Encik Suami suka kalau telur padi ini disediakan dalam bentuk acar atau ada perahan jus limau kasturi atau limau nipis, tambahkan hirisan cili padi dan bawang. Amie pula lebih suka cecah sambal kicap atau apa-apa pencecah. Kalau rajin, Amie akan hiris telur padi, taburkan di atasnya dengan lobak jeruk, hirisan cili dan bawang dan bubuh sedikit sos ikan dan perahkan kus limau.
Kali ini Amie cuba penuhi selera Encik Suami. Tak susah pun nak menyediakannya.
Ini dia rupa telur padi atau telur seratus @ seribu tahun! Telur itik ini diperam bersama campuran tanah liat, abu, garam, kapur dan sekam padi. Untuk menikmatinya, telur padi hanya perlu dibersihkan dan dikupas sahaja kulitnya. Bagaimanapun kadang-kadang Amie suka rebus dahulu sebelum memakannya!
Telur padi setelah dibersihkan.
Teringat pertama kali sewaktu makan telur padi, Amie sangka kami beli telur buruk! Waktu itu Amie (masih bujang) bersama rakan sekerja, baru turun dari mendaki Gunung Kinabalu. Oleh kerana tak larat untuk berjalan kerana sakit segala betis dan peha, jadi kami berehat beberapa hari di rumah kawan kami di Kota Kinabalu. Walaupun sakit kaki tapi sempat meronda ke bandar dan kawan Amie beli telur padi yang disangkanya telur masin. Kebetulan pula kawan tempat kami tinggal itu biasa makan telur padi dan katanya itu bukan telur buruk tapi telur herba! Telur herba pula dipanggilnya!
Siapalah tak kata telur buruk, bila direbus (sepatutnya tak perlu rebus) dikupas, hitam pulak isi telurnya! Dan satu lagi, kami sangka isi telur itu memang betul-betul buruk sebab sudah nampak cendawan warna putih mula tumbuh! Hahaaa... memang terasa lucu bila dikenang semula. Cendawan @ kulat yang kami katakan itu sebenarnya corak hablur pelbagai garam setelah melalui proses pengawetan.
Bila diperhatikan betul-betul, nampak unik pula telur padi ini. Corak yang terbentuk di bahagian luar isi telur yang seakan jeli ini berbentuk emping salji! Cantik!
Kalau telur masin, kuning telurnya kelihatan cantik berwarna kuning atau jingga tetapi telur padi ini sebaliknya pula. Kuning telur kelihatan berwarna hijau kehitaman! Manakala bahagian luarnya yang putih bertukar warna kepada coklat gelap dan rasanya kenyal-kenyal lembut seperti agar-agar.
Untuk perkongsian telur padi kali ini, Amie hanya sediakan menu yang ringkas sahaja dan jika suka, boleh dipelbagaikan cara penyediaannya.
Bahan-bahan:
4 biji telur padi - bersihkan - kupas kulit - bilas dengan air panas - toskan
15 biji isi petai
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan - tumbuk kasar
1 sudu kecil sos ikan
2 biji limau kasturi
3 sudu besar minyak
Bahan hiris:
3 biji cili merah - nak pedas boleh gunakan cili padi
3 biji cili hijau
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 cm halia
1. Telur padi dibelah 4. Ketepaikan.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan goreng bahan hiris hingga layu.
3. Kemudian masukkan udang kering tumbuk, tumis hingga naik bau.
4. Seterusnya masukkan petai dan juga sos ikan. Kacau beberapa kali sehingga petai berubah warna.
5. Padamkan api dapur.
6. Ambil separuh bahan tumisan dan bubuh atas bekas / pinggan / mangkuk.
7. Susun telur padi di atasnya.
8. Kemudian ambil bahan tumisan selebihnya dan bubuh atas telur padi.
9. Jika suka, perahkan jus limau kasturi di atasnya.
Tak bubuh jus limau kasturi pun masih sedap untuk dinikmati!
Jemput!
Sekian.
Cerita kali ini tentang telur padi @ century egg.
7 comments
dana tak pernah mkn telur ni kak, tak dpt nk bayangkan rasa nya telur yg hitam gini...
BalasPadampertama kali dengar telur ni, hahaha
BalasPadamAcik tak permah tengok ni Amie.pertama kali tengok gambar ni
BalasPadamDah tersalah beli...tq utk resipi ni leh try masak😅😅😅
BalasPadamSama ar kita. Den pun tersalah beli. Nasib Rasa cam telur
PadamHuhuu,my husband pun salah beli.sangkanye telur asin.jiran cina xde nk bgi.emm..dok fikir lagi nk mkn ke x.x trbayang rasenye mcmmane.
BalasPadamDkt mana nak beli telur padi ni? Confirm halal kan?
BalasPadam