Kacang Buncis Tumis Pedas Berapi
12:28 PTG
Assalamualaikum.
Moga Jumaat nan mulia ini bertambah keberkatan segala apa yang kita lakukan sepanjang hari. In shaa Allah.
Amie kongsikan resepi sayur kacang buncis tumis tapi rasanya memang pedas berapi! Maklumlah Amie tambahkan cili padi! Dan satu lagi, dalam resepi ini Amie juga tambahkan satu sudu kecil taucu manis. Untuk meriahkan pinggan sayur, selain warna hijau kacang buncis, Amie warnakan dengan lobak merah supaya lebih menyerlah. Huurrmmm... peminat tegar lobak merah, tak lain tak bukan si bujang Fuad masih berada di Kota Kinabalu, dan petang ini dijangkakan sampai ke LD.
Jom lihat resepi Kacang Buncis Tumis Pedas Berapi di bawah ini.
Bahan-bahan:
15 batang kacang buncis - bersihkan - potong serong
1/2 batang lobak - hiris kecil seperti batang mancis
1 cawan isi udang basah
2 biji cili merah - hiris
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar
20 biji cili padi kampung
1 sudu kecil belacan
1 sudu besar taucu
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit bau.
2. Masukkan udang dan lobak merah. Gaul sebati dan biarkan seketikan sehingga udang masak dan lobak merah menjadi lembut. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
3. Kemudian masukkan kacang buncis. Kacau beberapa kali sehingga kacang buncis berubah warna.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
1 comments
Masakan yg ringkas mcmni la yg sedap..lagi² kalau pedas berapi tu ^^
BalasPadam