ADSENSE

Jumaat, 8 Mac 2019

Sotong Sumbat Percik

Entah mengapa, malam ini jari-jemari merayap membuka folder lama. Rasa-rasanya terdapat gambar masakan yang masih tersimpan dan belum diterbitkan. Dan, tiba-tiba rasa rindu pula DSLR Nikon yang dicuri itu.... huhuhuuuuu! Walaupun kini ada pengganti baru jenama lain, namun ia masih tak sama dengan yang lama. Mudah-mudahan ada rezeki untuk memiliki DSLR Nikon pada masa akan datang.
Untuk mengubat rindu pada DSLR kesayangan, Amie kongsikan Sotong Sumbat Percik yang sememangnya sangat sedap. Teringin nak makan, tapi tak punya cukup waktu untuk menyediakan, buat masa ini....hiks! Sekarang, kalau masak pun, ambil gambar togel begitu saja tanpa aksesori dan penyeri, janji ada rupa masakan dan boleh kongsi. 

Bahan-bahan:
4 ekor sotong - bersihkan dan toskan
2 biji ubi kentang - buang kulit dan potong dadu
1/2 batang lobak merah - buang kulit dan potong bulat
1 batang leek - belah dua dan hiris halus
2 ulas bawang putih - tumbuk
10 biji lada putih - tumbuk
2 cawan santan - dikisar daripada 400 gram kelapa parut
2 batang serai - dititik 
garam / gula / perasa pilihan
lidi penyemat secukupnya

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm kunyit hidup
1 cm halia
1 cm belacan


Cara:
1. Rebus ubi kentang bersama lobak merah hingga empuk.
2. Kemudian masukkan leek dan biarkan selama 2 minit. Angkat dan toskan.
3. Lenyek kentang bersama lobak dan leek tadi. Masukkan sekali bawang putih, lada putih, serta garam / perasa pilihan. 
4. Masukkan bahan di atas ke dalam badan sotong hingga penuh. Tutup sotong dengan bahagian kepalanya. Sematkan lidi supaya nampak kemas. 
4. Untuk kuah percik pula, masukkan bahan kisar ke dalam periuk dan tambahkan santan.
5. Didihkan dengan api sederhana sehingga terbit minyak.
6. Setelah pecah minyak, masukkan serai dan juga sotong sumbat.
7. Kacau rata sehingga sotong disaluti kuah. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Masak selama 5 minit, dan angkat sotong tadi untuk dipindahkan ke dalam oven yang sudah dipanaskan - suhu 180'C (kalau panggang / bakar atas bara lagi lebih baik).
9. Bakar /panggang sotong selama 7 minit dan sesekali lumurkan dengan lebihan kuah di dalam periuk tadi.

Terliurlah pulak bila renung gambar lama ini....huhuhuuuu!

2 ulasan:

Maqnie berkata...

Sedapnya lahai.. ^^

Amie berkata...

Maqnie,
jemput ye...