Nasi Goreng Daging Rusa
9:52 PG
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Agak lama juga tidak kongsi menu sarapan pagi.
Alhamdulillah, pagi ini sempat sediakan Nasi Goreng Daging Rusa untuk alas perut seisi keluarga. Biasanya Amie akan gunakan lobak merah, jagung tin dan hirisan kacang panjang sebagai bahan peneman dalam nasi goreng. Kali ini Amie masih gunakan juga lobak merah segar, tetapi tidak gunakan jagung tin sebaliknya Amie gunakan setongkol jagung segar. Kacang panjang adalah sayur pilihan istimewa kalau Amie masak nasi goreng, sebab akan timbul aroma yang segar dan enak ketika kacang panjang digaul bersama bahan lain dalam kuali. Sayangnya, tiada simpanan kacang panjang pula, dan yang ada hanya kacang buncis sahaja. Jadi, untuk pelbagaikan warna nasi goreng, Amie gunakan kacang buncis sahaja. Amie tambahkan sedikit belacan untuk timbulkan aroma, dan ketika menumis bahan kisar sebagai perencah memang terbersin sekali....hihihiiii! Hebat betul penangan belacan di pagi hari!
Mari kita lihat resepi Nasi Goreng Daging Rusa di bawah ini.
4 cawan nasi putih
1 cawan hirisan daging rusa
1 cawan hirisan dadu lobak merah
1 cawan jagung manis segar
1 cawan hirisan kacang buncis
1 labu bawang besar - cincang
4 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1/2 sudu kecil belacan
Daging rusa.
Kacang buncis.
Lobak merah.
Jagung manis dan di bawah ini bahan kisar.
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar menggunakan api sederhana panas sehingga pecah minyak.
2. Besarkan api dapur, dan masukkan daging rusa, lobak merah serta jagung manis. Kacau dan kemudian biarkan sehingga daging rusa masak.
3. Masukkan nasi putih bersama kacang buncis. Gaul sebati.
4. Taburkan garam / perasa pilihan dan kemudian kacau beberapa kali.
5. Padamkan api dapur.
Jemput sarapan pagi dengan Nasi Goreng Daging Rusa.
0 comments