Lagi Shepherd's Pie Sedap!
8:42 PG
Minggu lepas dah buat Shepherd's Pie buat pertama kalinya DI SINI.Alhamdulillah menjadi dan diterima baik oleh seisi keluarga. Atas permintaan anak-anak, sekali lagi Amie mengulanginya.... kali ini dengan beberapa penambahan bahan mengikut selera kami. Kalau sebelum ini Amie buat Shepherd's Pie untuk makan malam, yang ini untuk sarapan pagi pada hari cuti Deepavali Rabu lalu.
Nampaknya selepas ini kenalah memborong kentang banyak-banyak dari pasaraya. Kebetulan pula sewaktu membeli belah di pasaraya tempohari nampak berlonggok-longgok kentang saiz besar, katanya kentang Holland... entah jenis Holland atau datang dari Holland. Kalau rajin buat pie kentang, taklah sampai melihat kentang tumbuh bertunas dalam bakul sebab tak dimasak... ha ha hahaha.... Fuad & Fairuz ni kalau dah suka satu-satu makanan, nampak sekali dua Amie buat lepas tu pandai-pandai pulak buat sendiri! Biarlah... sekurang-kurangnya tahu juga gunakan dapur!
Amie sangka pie ini akan berbaki hingga ke tengahari, tapi jangka hayatnya tak panjang.... habis anak-anak makan! Taklah membazir... Alhamdulillah.
Shepherd's Pie dalam bekas merah dan coklat di hdapan dan di belakang tu Fuad & Fairuz punya! Penuh konsentrasi Amie tengok anak-anak makan!
Sama seperti sebelum ini, SHEPHERD'S PIE yang Amie hasilkan sebagaimana yang Amie terangkan di awal tadi, walaupun terdapat beberapa penambahan bahan, rasanya tetap lazat! Amie tambahkan cendawan shiitake segar, kacang peas dan daging kisar bang Ramly menggantikan daging cincang. Dan satu lagi Amie tambahkan puree tomato.
Jom terus semak resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan inti pie:
600 gram daging kisar
3 ulas bawang putig cincang
1 labu bawang besar cincang
1 cawan cendawan shiitake segar- hiris kasar
1 cawan jagung tin
1 cawan kacang peas
1 cawan lobak merah cincang
1 cawan puree tomato
50 gram keju parmesan
150 gram cream cheese
1 sudu makan serbuk oregano
1 sudu makan lada hitam - tumbuk
1/2 cawan minyak zaiton
2 ketul stok / kiub daging
Cara:
1. Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih serta bawang besar hingga layu.
2. Masukkan daging kisar dan masak sehingga daging berubah warna.
3. Tambahkan lobak merah, jagung, cendawan shiitake, dan kacang peas. Gaul sebati.
4. Seterusnya masukkan puree tomato, cream cheese dan keju parmesa.
5. Untuk melengkap rasa masukkan serbuk oregano, lada hitam serta kiub daging.
Setelah masak bahan inti, pindahkannya ke dalam bekas tahan panas untuk dibakar dalam oven. Seterusnya kita sediakan bahan untuk mashaed potato pula.
Bahan mashed potato:
1 kg kentang Holland - buang kulit dan potong - potong
2 batang leek - hiris nipis
80 gram mentega
200 ml susu segar - dipanaskan seketika
satu sudu teh lada hitam tumbuk
1 kiub daging
Cara:
1. Rebus kentang hingga hampir empuk. Masukkan hirisan leek dan masak lagi hingga kentang empuk. Toskan airnya.
2. Tambahkan mentega dan susu segar, kiub daging & lada hitam ke dalam kentang.
3. Lenyek kentang hingga hingga hancur.
Seterusnya letakkan kentang tadi di atas inti pie.
Shepherd's Pie sudah bersedia untuk masuk oven
Wokeeeeyyyy... jom masuk oven!
Biarkanlah selama 30-40 minit atau sehingga kuning keemasan di bahagian atasnya. Kemudian bolehlah keluarkan dan hidangkan untuk keluarga tersayang.
Untuk Abang Farid, jangan sedih-sedih ye sayang.... Mummy cuba buat pie berkali-kali supaya dapat hasil yang terbaik dan tersedap. Nanti kalau Abang balik bercuti Mummy buatkan khas untuk abang ye...
5 comments
T/Kasih sudi berkongsi K.Amie. Kena cuba ni. Nampak mengiurkan sungguh. :)
BalasPadamLama juga saya tak buat pie ini. Tiba tiba teringin pulak....
BalasPadamtak dpt tolak ni kalau ada pie gini2 Mie
BalasPadamWah, menyelerakan!
BalasPadamSy tak pernah buat, tapi pernah beli beberapa kali. Nanti nak buatla, lama tak makan. Haiiii.. mambang rajin, terbanglah kau ke siniiiiiii...
BalasPadam