ADSENSE

Sabtu, 19 November 2011

Ikan Talapia Goreng Berlada & Pucuk Paku Masak Lemak Dengan Taugeh

Assalamualaikum semua pengunjung yang dihargai. Jom sama-sama nikmati hidangan tradisional dari dapur Amie. Untuk makan malam keluarga Amie hidangkan Ikan Talapia Goreng Berlada dengan gandingan Pucuk Paku Masak Lemak Dengan Taugeh. Memang boleh dibilang dengan jari, dalam setahun hanya ada beberapa kali terserempak dengan ikan talapia di pasar Lahad Datu. Setiap kali bertemu dengan ikan air tawar kegemaran Amie ini, memang Amie tidak lepaskan peluang untuk membelinya. Mungkin masyarakat di sini lebih menggemari ikan laut memandangkan bekalannya yang memang melebihi dari cukup, jadi permintaan untuk ikan air tawar memang seakan-akan tiada langsung. Itulah sebabnya kalau balik ke semenanjung Amie tidak akan lepaskan peluang makan ikan talapia dan ikan keli sebab kedua-duanya memang jarang sangat ada di sini apalagi ikan sepat atau ikan haruan! Kalau ada ikan keli pun, harganya lebih 3 kali ganda harga di pasar Sungai Buluh di tempat Amie. Itu pun kalau ada.... tapi biasanya jarang ada!


Ikan Talapia Goreng Berlada memang resepi kegemaran Amie. Sebenarnya suami sebelum ini tidak makan ikan talapia, tapi Amie sendiri 'ajar' bagaimana untuk memakannya..... he he hehh ..lama-lama dia pun suka!

Resepi: Ikan Talapia Goreng Berlada
Sumber: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan talapia seberat 500 gram - bersihkan, cuci dan tos
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh garam
5 helai daun limau purut
1 kuntum bunga kantan - belah 4
1/2 cawan air bancuhan asam jawa
1 labu bawang besar - mayang
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan kisar:
7 biji lada merah
1 kuntum bunga kantan - belah 4
4 biji bawang merah
4 biji bawang putih
1.5cm belacan

Cara:
1. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng hingga garing. Angkat.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa, daun limau purut dan bunga kantan. Masak hingga kuah pekat.
4. Masukkan bawang besar, garam dan gula.
5. Tuangkan kuah ke atas ikan goreng tadi.
6. Sedia untuk dihidangkan.


Sayurnya pula Amie hidangkan sayur kampung. Amie sediakan Pucuk Paku Masak Lemak Dengan Taugeh. Memang semerbak aromanya kerana Amie bubuh ikan bilis. Teringat kampung halaman kalau makan hidangan begini. Oleh kerana sudah ada Ikan Talapia Goreng Berlada, jadi sayurnya tidaklah pedas dibubuh cili padi seperti kebiasaannya.

Resepi: Pucuk Paku Masak Lemak Dengan Taugeh
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 mangkuk pucuk paku
1 mangkuk taugeh
200ml santan - sederhana pekat
15 ekor ikan bilis - tumbuk separuh lumat
3 biji bawang merah - tumbuk
3 biji bawang putih - tumbuk
1 biji lada merah - hiris
1/2 sudu teh serbuk kunyit
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, lada merah dan juga ikan bilis hingga wangi.
2. Masukkan serbuk kunyit dan santan. Kacau kuah sehingga mula mendidih.
3. Masukkan pucuk paku dan kacau sehingga daun berubah warna.
4. Masukkan taugeh, garam dan gula dan perasa pilihan jika suka.
5. Kacau seketika dan tutup api.
6. Hidangkan.


Seronoknya kalau makan ramai-ramai ni..... jomlah! Tunggu apa lagi.... kita makan dengan tangan yok....cuci tangan dulu ye...

3 ulasan:

whitecappuccino berkata...

semuanya sedap!

Nuridah berkata...

Assalamualaikum Amie,

sedap hidangan amie nie,boleh bertambah nasi 3 pinggan...nk2 sayur pucuk paku yg bersama taugeh...ish kecur dibuatnya.

Amie berkata...

WC,
selera kampung....

Nuridah,
Waalaikumussalam....suka sayur pucuk paku dengan taugeh ye...