Khamis, 23 Mei 2013

Terkenang-kenang....

Assalamualaikum.
Selamat pagi rakan-rakan pengunjung budiman. Pagi ini Amie tidak dapat kongsi resepi... he he ehhh rupanya gas habis! Firdaus pula tidur lena. Bila suasana sunyi sepi mencengkam, banyaklah yang dikenang, mengenang dan terkenang-kenang.... Malam tadi Encik Suami bercerita:
Baba nampak mama Farah menyapu air matanya sewaktu bertelefon dengan Farah. (Ini merujuk kisah pada malam kami pulang menaiki feri dari Labuan ke Menumbok) Kebetulan mama Farah duduk berhampiran kami.
Sedih sangat Baba nampak mama Farah... tak sampai sehari tinggalkan anak, sudah menangis.
Oh! Sepanjang perjalanan pulang ke Lahad Datu, banyak kali airmataku berderai, tapi Encik Suami tidak nampak kerana Amie meriba Firdaus, dan Encik Suami menumpukan perhatian semasa memandu. Dia hanya nampak Mama Farah (Farahain yang menangis), tapi tak perasan Mummy Farid (Faridzuan) banjir di sebelahnya!

Jom cerita lain pulak...


Ini gambar perpustakaan mini yang baru Amie ambil sebentar tadi. Nampak masih serabut dan belum siap sepenuhnya. Sebenarnya tugas mengemaskini perpustakaan ini dilakukan oleh Farid. Kami ubahsuai ruang dapur lama memandangkan bilangan buku yang semakin bertambah. Sebelum ini perpustakaan mini terletak di tingkat atas bersebelahan dengan bilik tidur anak-anak. Setiap hari Farid akan membawa turun buku-buku dari tingkat atas untuk disusun di perpustakaan mini yang baru ini. Bagaimana pun hanya sebahagian sahaja yang mampu Farid kemas.


Amie pun tidak sempat memantau setiap susunan buku dan majalah memandangkan sibuk dengan si kecil Firdaus. Bakul-bakul bunga dan sebagainya masih lagi bersepah-sepah.



Sesekali bila lapang Encik Suami sempat juga membantu melekat-lekatkan hiasan dinding.



Encik Suami cadangkan supaya buang sahaja buku-buku yang lama... tapi Amie sayang nak buang! Memang nampak masih serabut, tapi kalau dikemas sedikit demi sedikit tentu sedap mata memandang dan tidak seperti keadaan sekarang.



Farid sangat menyayangi koleksi novelnya. Ini antara koleksi novel-novelnya.



Walaupun Farid tahu adik-adiknya tidak membaca novelnya kerana memang kurang minat membaca bahan bacaan, tapi Farid  (sehari sebelum berangkat ke Labuan) pesan supaya novel-novelnya tidak dirosakkan.



Sebelum kami meninggalkannya di asrama 4 hari lepas, sekali lagi Farid meminta supaya adik-adiknya tidak merosakkan novel-novelnya.



Selain menjaga novelnya, Farid juga meminta supaya adik-adiknya terutama Fuad tidak membuat sepah di dalam biliknya. Ini kerana walaupun masing-masing ada bilik sendiri tetapi kalau malam Fuad dan Fairuz suka tidur di bilik Farid. Tadi, Amie sempat jenguk bilik Farid. Memang agak bersepah kerana terdapat tuala mandi yang lembap terletak di kaki katil! Memang tak lain tak bukan kerja Fuad sebelum ke sekolah pagi tadi!



Ada lagi sebahagian koleksi novel Farid yang terletak di atas meja belajar dalam biliknya.



Sempat ambil gambar koleksi piala yang diterimanya sejak dari sekolah tadika. Farid menghabiskan pembelajarannya sewal usia 2 tahun di Tadika Chang Quing (Tadika Evergreen), bersekolah di SJK (C) Yuk Choi sebelah pagi sehingga tamat UPSR, dan  juga belajar di Sekolah Rendah Agama sebelah petangnya.


Anugerah Cemerlang SPM 2012 merupakan hadiah terakhir Farid terima dari sekolahnya pada April 2013 yang lepas sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar.



Farid juga menyusun atur buku-buku resepi Amie di rak bahagian dapur kering. 

Ada satu lagi pesanan Farid untuk adik-adiknya (baru teringat).... Jangan curi duit tabungnya!  He he ehhh....  entah di mana tabungnya, Amie tak sempat nak ambil gambar!

Rabu, 22 Mei 2013

Ikan Tenggiri Masak Asam Rebus

Assalamualaikum. 
Jom nikmati hidangan tengahari  (paparan terlajak ke petang!) dengan lauk Ikan Tenggiri Masak Asam Rebus. Walaupun ringkas tapi dijamin menyelerakan. 


Resepi : Ikan Tenggiri Masak Asam Rebus
Olahan  : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
3 keping ikan tenggiri
600ml air
1 batang serai - dititik
2 keping asam gelugur
2 biji tomato - belah 2
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
5 biji cili merah - buang biji
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
sedikit belacan

Cara:
1. Masukkan air di  dalam periuk. Maukkan semua bahan kisar, serai dan asam gelugur.

2. Biarkan  masak hingga mendidih.
3. Masukkan ikan tenggiri dan masak lagi selama 5 minit. Kemudian masukkan tomato.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.




Selasa, 21 Mei 2013

Nasi Bario, Sayur Campur & Serunding Tuhau : MALAYSIAN FOOD FESTIVAL (SABAH MONTH)

Assalamualaikum.
Bertemu kembali di malam nan dingin dan sepi (sebab semua sedang ngorok kepenatan hihihiii.....). Paparan resepi Amie kali ini merupakan menu yang sempat Amie perolehi petang kelmarin dari Kundasang. Walaupun cuaca mendung, dan suasana kegelapan mula menyelubungi kaki Gunung Kinabalu, tapi Amie tidak mahu berganjak dari terus bercerita dengan peniaga sayur-sayuran di pinggir jalan di Kundasang. Ceritanya sudah tentulah tidak lain dan tidak bukan tentang menu masyarakat Kadazan-Dusun di daerah tersebut. Hasilnya.... Amie hidangkan Nasi Bario, Sayur Campur dan Serunding Tuhau seperti di bawah ini.


Apabila disebut tentang beras bario, tentu kita akan mengatakan beras bario dari Sarawak! Sebenarnya di Sabah pun ada beras bario! Bukan didatangkan dari Sarawak tetapi ditanam sendiri oleh petani. Memang banyak jenis beras kampung yang dijual di Kundasang, tetapi Amie meminta pandangan peniaga di situ, mana satukah beras yang enak. Mereka kata, beras bario paling sedap, dan mempunyai aroma yang wangi. Amie pun ambil sebungkus, dan memang sudah sedia dibungkus seberat 2kg dengan harga RM20. 


Inilah rupa beras bario dari Kundasang. Sempat lagi peniaga tersebut berpesan supaya jangan bubuh air lebih, sebab beras ini berkanji dan takut terlalu lembik! Kata mereka lagi, kalau suka boleh tambah segenggam beras biasa untuk dimasak bersama beras bario ini. Amie sebenarnya sudah agak biasa dengan hidangan nasi beras kampung atau beras padi bukit sebab sebelum ini seorang rakan dari Ranau selalu memberikan Amie beras kampung percuma! Dia sendiri menanam padi tersebut. Bagaimanapun, untuk beras bario pula, inilah kali pertama Amie masak dan makan! Terlanjur bercerita tentang masak nasi, Amie pun bertanya lagi... lauk apa yang sesuai dimakan bersama nasi bario? Mereka mencadangkan Amie masak Sayur Campur, ditambah dengan ikan masin serta lada putih. Cerita begitu dan begini tiba-tiba Amie bertanya:
Lada putih tu yang biji-biji kecil tu ke?
Oh ..bukan yang itu. Ada dijual di sini.
Nak tengok lada putih yang dimaksudkan? Jom tengok gambar di bawah ini.



Ini dia lada putihnya.



Nasi beras bario yang sudah ditanak. Amie masak di atas dapur gas. Sukatan air yang digunakan sama dengan sukatan beras.



Resepi : Sayur Campur
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
10 batang pokok bawang - potong sepanjang 4cm
1 kuntum bunga kantan yang telah kembang - leraikan kelopaknya
15 biji lada putih - belah 2
1 ekor ikan masin - potong kecil-kecil
3 ulas bawang putih - hiris
1 labu bawang besar - hiris
garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Masukkan bawang putih dan bawang merah. Goreng hingga wangi.
2. Masukkan ikan masin dan lada putih. Kacau sebati.
3. Masukkan batang bawang dan kelopak bunga kantan.
4. Tambahkan garam / perasa pilihan.
5. Apabila daun bawang telah berubah warna, tutup api dapur.



Serunding Tuhau ini Amie beli siap dalam pek. Terdapat campuran ikan bilis dan kacang tanah goreng di dalamnya.



Alahai Nasi Bario... rupanya rasamu memang sangat sedap! Ikutkan hati memang nak menambah-nambah nasi dalam pinggan!


"I am submitting this post to MFF Sabah Month