Kari Ikan Pari Sedap!
7:55 PTG
Hari ini Amie masak kari ikan tanpa disengajakan.... ahaks!
Pulang dari kerja, Fairuz sudah menunggu untuk buka pagar. Sebaik kita buka pintu kereta, Fairuz terus berkata : Mommy masak ye!
Kita pun tarik nafas panjang.
Sama-sama letih.
Sama-sama lapar.
Masuk dapur, sudah terbau wap nasi, tanda hampir tanak.
Menjeling ke sinki, terpandang sebungkus ikan pari yang sedang direndam, dan hampir hilang aisnya. Alhamdulillah, ikan pari yang dibeli memang jenis yang tidak berbau! Cantik isinya.
Nak masak apa ikan pari ini?
Minggu lepas sudah masak semur ikan pari yang dibeli dari pasar Kunak.
Hari ini, ikan pari dari pasar Sandakan pula akan diolah. Ikan pari seberat 1.3 kg ini sudah siap dipotong oleh peniaga ikan.
Teringat permintaan Fuad beberapa minggu lepas. Katanya, teringin makan kari ikan atau kari ayam hasil air tangan Mommy. Katanya lagi, selalu tercari-cari masakan kari yang sama seperti di rumah, tetapi tidak ditemui. Rasanya tidak pernah sama. Memanglah anak sayang! Masakan di rumah agak berbeza dengan masakan yang diniagakan. Masing-masing ada resepi tersendiri. Peniaga ada rahsia masakan mereka, di rumah pula biasanya masakan yang diolah mengikut kebiasaan atau tradisi keluarga.
Inilah kari yang saya cari! Memang lain dari kari yang saya makan di kedai!
Itu kata Fuad.
Benarlah kata orang : Masakan ibu sentiasa menjadi ingatan anak-anak walau di mana mereka berada. Maklumlah, dari lahir mereka membesar dengan suapan dan hasil air tangan ibu.
Buat anak-anak Mommy, sebenarnya Mommy olah masakan kari melalui gandingan resepi keluarga sebelah Malaya dan Borneo. Di awal masakan, ada sentuhan masakan Nenda sebelah Malaya, dan diakhir masakan, ditutup dengan sentuhan resepi sebelah Nenda di Borneo.
Tidak susah, dan tidak rumit resepinya.
Ikut sebelah Nenda di Malaya, ikan digoreng setengah masak sebelum dimasak dengan kari.
Ikut sebelah Nenda di Borneo, di akhir masakan, sebelum tutup api dapur renjiskan masakan dengan jus limau nipis.
Untuk masakan kari ikan pari ini, Amie gunakan jus dari sebiji limau nipis saiz besar. Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Lain orang lain cara masakannya. Ikut selera masing-masinglah ye.
1.3 kg ikan pari siap dipotong - cuci bersih - gaul dengan 1 sudu kecil garam dan 1 sudu kecil serbuk kunyit - goreng 1/2 masak - angkat
5 biji tomato - buang kulit dan potong-potong
1 labu bawang besar - hiris
5 sudu besar serbuk kari ikan
2 tangkai daun kari - lurutkan daunnya
2 batang serai - diketuk2 cawan air
1 cawan santan pekat
1 biji limau nipis - ambil jus (boleh gunakan asam keping atau asam jawa)3/4 cawan minyak
garam / gula melaka / perasa pilihan
Bahan kisar:
10 tangkai cili kering - rebus
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
2 cm halia
Rempah penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
1 sudu besar halba campur
Bahan tambahan:
4 biji tomato - belah 2
6 biji cili hijau
Kalau ada kacang bendi, bolehlah masukkan sekali. Amie tidak ada stok kacang bendi pada hari ini.
Halba campuran : Halba, jintan putih, jintan manis dan biji sawi.
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar dan serai sehingga layu.
2. Kemudian masukkan halba campuran, diikuti dengan rempah penumis dan daun kari. Tumis hingga terbit aroma.
3. Seterusnya masukkan tomato, masak dengan api perlahan hingga tomato hancur.
4. Masukkan bahan kisar dan masak lagi hingga terbit minyak.
5. Masukkan serbuk rempah kari. Gaul rata.
6. Tambahkan air, dan masukkan gula melaka. Biarkan mendidih sehingga pecah minyak sekali lagi.
8. Tuangkan santan pekat. Masak seketika sehingga minyak bergenang dipermukaan kuah.
9. Masukkan garam / perasa pilihan, tomato dan juga cili hijau.
10. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis. Kacau beberapa kali, dan padamkan api dapur. Kulit limau nipis tu jangan digaul sekali dalam masakan kari.... ahaks! Saja jew bubuh situ sebagai aksesori ketika ambil gambar.
Kari Ikan Pari dah siap!
Inilah rupa masakan Kari Ikan Pari sentuhan Nenda Malaya & Nenda Borneo!
Sebelum hidang, buangkan minyak yang berlebihan di atas kuah kari.
Masakan kari ikan ini bukan sahaja menjadi lauk hidangan makan dengan nasi tetapi dijadikan pencecah roti paratha untuk minum petang kami!
6 comments
Sedapnya kari ikan pari.
BalasPadamIkan pari pun sekarang mahalnya boleh tahan
Zaman dulu tak laku
Masakan ibu adalah yang terbaik bagi anak-anak.
BalasPadamNampak sedap betul kari ikan pari tu... Nyummy
dana tak pernah masak ikan pari kari kak... tengok resepi akak ni boleh cuba lah nanti kalau jumpa ikan pari yang best...kene pilih sendiri, kalau edy yg pilihkan kadang dah berbau atau jenis yang bau pun dia beli jugak...
BalasPadamtengok kari akak tu pekat likat mesti sedap tu kak oi
Sedap masak kari pekat macam ni. Walaupun tak suka kari dan tak makan ikan pari tapi akan jadi suka kalau makan masakan yang kari dia pekat. sedap betul.
BalasPadamSelalu ikan pari masak asam pedas atau bakar je cecah air asam. Ni buat kari pekat likat macam tu emmm sedapnya.
BalasPadamammi belum pernah masak kari lagi ikan pari ni. beli pun jarang2 tapi kalau beli buat masak asam pedas or bakar je
BalasPadam