Ikan Pari Masak Kicap (Semur)
8:29 PTG
Kelmarin sempat memborong ikan di pasar Kunak. Kami redah hujan renyai yang turun dari pagi. Perjalanan dari Lahad Datu ke Kunak memakan masa selama satu jam. Pekan ini dahulu digelar sebagai pekan koboi, kecil sahaja. Arwah FIL suka singgah di sini kalau kami dalam perjalanan dari Tawau Ke Lahad Datu. Katanya, ikan di pasar Kunak segar-segar belaka. Pasar ikan pun letaknya di jeti, tempat kapal nelayan berlabuh. Tidak banyak pilihan ikan di sini, tetapi memandangkan kebanyakan ikan yang dijual nampak segar, jadi belilah mana yang berkenan!
Kami sempat bersarapan pagi dengan menghirup bakso panas serta sayap ayam panggang, kemudian jalan-jalan ke Pasar Am Kunak. Banyak sayuran segar, tetapi harga buah-buahan agak mahal. Ikan masin pun cantik-cantik, dan kami bawa pulang ikan talang masin. Entah bila hendak dimasaknya tu... ahaks! Telur masinnya juga saiz besar dan kami beli 10 biji. Melihat cili padi dan cili hijau yang cantik, kami pun beli juga. Bukan tidak ada semuanya itu di Lahad Datu, tapi saja jew jalan-jalan ke pasar di sini dan beli mana yang berkenan di hati.
Bila jejak kaki ke pasar ikan pula, penuhlah satu bekas ikan di bonet kereta dengan ikan sebelah, ikan pari, ikan putih, ikan nyok-nyok dan ketam. Ketamnya pula masih hidup, bergerak-gerak kaki tangannya!
Hari ini Amie oleh ikan pari yang dibawa dari pasar ikan Kunak sebagai lauk tengahari. Sebelum ini memang jarang sangatlah Encik Suami dan keluarganya masak atau makan ikan pari. Amie cuba masak ikan pari sesedap mungkin! Tak tahulah citarasa dan selera orang lain. Yang penting kenalah pilih ikan pari yang tidak berbau! Kalau di LD, biasanya ikan pari yang tidak berbau dipanggil pari ayam.
Seingat Amie, ada dua jenis masakan ikan pari yang selalu Bonda olah sewaktu kami di kampung dan rasanya sangat sedap. Dua jenis masakan tersebut sudah tentulah masakan semur (kicap) dan juga pecak. Orang lain sebut pecal, tapi kami sebut pecak : Ikan pari dipanggang terlebih dahulu, dan kemudian disiram dengan santan pekat bubuh kencur dan cili padi hijau. Kalau Bonda masak ikan pari (pecak) memang kami tak ingat dunia dah! Sedap sangat!
Ikan pari masak kicap pula orang kampung kami sebut masak semur, ikut dalam bahasa kami. Orang kampung kami suka masak ikan pari semur sewaktu kenduri kendara atau sewaktu sediakan lauk hidangan untuk jiran tetangga yang datang menolong dirikan tiang rumah. Bonda selalu ingatkan, kalau masak semur ikan pari kena bubuh lada hitam banyak-banyak! Jadi, ketika masak ikan pari di dapur, kita pun teringat-ingat pesanan dan rasa masakan Bonda kita!
Bahan-bahan:
1 kg ikan pari - potong ikut saiz yang digemari - cuci bersih - lumur dengan serbuk kunyit & garam
4 sudu besar kicap pekat
4 sudu besar kicap lemak manis
1 sudu besar lada hitam - tumbuk
2 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugor
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
3 kuntum bunga lawang
3/4 cawan air
minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
2 cm halia
Bahan hiasan:
4 biji cili hijau - belah jangan putus
10 biji cili padi merah
Cara memasak:
1. Goreng ikan pari hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Tinggalkan 1/2 cawan minyak bekas gorengan ikan pari.
3. Goreng kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang hingga wangi.
4. Kemudian masukkan bahan hiris serta serai. Tumis hingga bawang layu.
5. Seterusnya masukkan asam keping, gula ,air, kicap pekat dan kicap lemak manis. Biarkan mendidih.
6. Setelah kuah kicap mulai pekat, masukkan ikan pari goreng, lada hitam, garam / perasa pilihan serta cili hijau dan cili padi.
7. Gaul rata dan kemudian padamkan api dapur.
Ketika sedang mengacau kuah kicap, tiba-tiba Firdaus berlari ke dapur membawa telefon. Rupanya kakak sulung telefon Amie. Katanya Bonda ingin bercakap. Memang dah Amie sangka telefon Bonda rosak sebab beberapa kali Amie telefon, Bonda tak angkat. Hebat sungguh pertalian jiwa anak dengan ibu! Telepati yang menakjubkan! Kita teringat Bonda ketika sedang memasak, tiba-tiba Bonda datang menegur kita!
Allahu Akbar!
Dan kami pun bercerita tentang ikan pari masak semur kegemaran keluarga ketika masih bersama di kampung dahulu!
Fuad dan Fairuz kata Ikan Pari Masak Kicap sangat sedap. Begitu juga Encik Suami. Tak pernah pun kata ikan pari itu apa rasanya, tiba-tiba kata sedap pula!
Sudah tentu dalam hati kita kata : Ikan Pari Mask Semur hasil air tangan Bonda lagi sedap!
4 comments
Nampak sedap.
BalasPadamIkan pari pun dah mahal harganya sedangkan zaman dulu2 tak laku
dana tak pernah masak pari macamni kak, menarik jugak...
BalasPadamOh saya belum pernah merasa ikan masak kicap.
BalasPadamBelum pernah singgah jeti pasar ikan di Kunak moga suatu hari berkesempatan melawat bekas murid saya duduk di sana.
sedap kalau masak kicap macam ni. Bertambah selera makan panas panas lepas masak tu.
BalasPadam