ADSENSE

Jumaat, 3 Julai 2020

Ikan Layar Goreng Berlado

Jumpa lagi.
Jom sembang tentang ikan layar, ikan kegemaran MIL & FIL.
Sekarang sangat jarang ikan ini ada di pasaran. 
Dua minggu lepas, kami jumpa tiga peniaga ikan menjual ikan layar. 
Teringat Fuad yang suka makan ikan, apalagi kalau ikan layar jadi kami borong hampir 9 kilogram ikan layar, siap dipotong. Sampai dapur, hanya dibahagi-bahagikan di dalam bekas untuk disimpan dalam freezer. 
Biasanya ikan layar ini Amie masak ikut resepi MIL, iaitu masak dengan lada putih, halia, dan asam jawa. Oleh kerana anak-anak sangat suka ikan layar ini, jadi Amie pun beri peluang Fuad dan Fairuz masak ikut gaya arwah nenek mereka.
Terfikir pula untuk masak  guna resepi yang berbeza.

Ikan Layar Goreng Berlado
Minggu lepas, Amie masak Ikan Layar Goreng Berlado. Fuad dan Fairuz kata, kenapa Mommy bubuh lada sikit sanga? Tak puas kami makan. Oh! Mereka suka lada rupanya. Masakan ini tidaklah begitu pedas sebab Amie hanya gunakan cili hijau dan cili merah tanpa menggunakan cili padi. Amie tambahkan dua biji tomato. Untuk tambah aroma, Amie masukkan serai dan juga daun limau purut. Amie tidak gunakan asam keping atau asam jawa, sebaliknya Amie perahkan jus limau nipis di akhir masakan.

Ikan Layar Goreng Berlado
Jom kita lihat resepi Ikan Layar Goreng Berlado di bawah ini.
Bahan-bahan:
800 gram ikan layar - bersihkan dan cuci - toskan - perap dengan 1 sudu kecil garam dan 1 sudu kecil kunyit
2 biji tomato - cincang
5 helai daun limau purut - buang urat belakang
2 batang serai - diketuk
2 papan isi petai
1 biji limau nipis - ambil jusnya
1 sudu besar gula melaka
garam /  perasa pilihan secukupnya
minyak untuk menggoreng

Bahan kisar kasar:
5 biji cili merah
5 biji cili hijau
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1 sudu kecil belacan

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng ikan layar hingga masak. Angkat dan toskan.
2. Tinggalkan 4 sudu besar minyak bekas gorengan ikan layar di dalam kuali.
3. Goreng tomato sehingga hancur, dan kemudian masukkan serai dan  bahan kisar kasar serta gula melaka.
4. Tumis dengan api sederhana.Setelah terbit minyak, masukkan petai, daun limau purut dan ikan layar yang sudah digoreng tadi.
5. Taburkan garam / perasa pilihan secukupnya.
5. Gaul rata, dan tuangkan jus limau nipis.
6. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.

Ikan Layar Goreng Berlado
Ikan Layar Goreng Berlado!
Bila anak-anak berebut sambal, Encik Suami kata : Baba dapat petai pun cukuplah... ahaks!

Hari ini masak lagi ikan goreng berlado tapi Amie gunakan ikan siakap. Celur kacang bendi dan goreng terung. Kiranya masak sekali harunglah sebab kacang bendi dan terung goreng boleh cecah dengan sambal!

3 ulasan:

Warisan Petani berkata...

Alhamdulllah
Selamat menjamu selera

Fadzillah berkata...

Sedapnya Amie... nak tahu jugak kalau kat semenanjung ikan layar tu dipanggil ikan apa?

Azhafizah MN berkata...

Tak pernah tahu ikan layar. Makan pun memang tak pernah lah kan. Ikan masak goreng berlada sedap tambah petai.