Sambal Hijau @ Sambal Ijo
4:04 PTG
Hari ini Amie cuba masak Sambal Hijau @ Sambal Ijo. Sebelum ini Amie pernah buat Sambal Ijo di sini : Ikan Goreng Sama Sambal Ijo Kjee . Kak Jee gunakan satu kilogram cili hijau dengan 1 kilogram bawang besar. Tumbuk cili hijau bersama bawang kasar-kasar, dan kemudian tumis menggunakan minyak bekas gorengan ayam. Memang sedap sangat bila makan nasi dengan ikan goreng atau ayam goreng bubuh sambal hijau!
Kali ini Amie nak cuba sambal hijau versi rumah makan Padang di sini : Resep Rahasia Sambal Ijo Khas Rumah Makan Padang.
Terima kasih Rumah Makan Sari Bundo kerana sudi kongsikan resepi Sambal Ijo ini, dan semoga Rumah makan Sari Bundo semakin banyak mendapat kunjungan para tamu. Di sini Amie minta keizinan untuk tuliskan semula resepi Resep Rahasia Sambal Ijo Khas Rumah Makan Padang dalam bahasa Melayu Malaysia.
Bahan-bahan:
250 gram cili hijau - buang tangkainya
50 gram cili padi hijau - untuk hasil yang lebih pedas
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji tomato hijau
1/2 sudu kecil jus limau nipis
3 sudu besar minyak untuk menumis
gula pasir secukupnya
garam secukupnya.
Cara memasak:
1. Potong kasar cili hijau dan cili padi
2.Kemudian kukus cili hijau dan cili padi bersama bawang merah, tomato dan bawang putih selama lebih kurang 5 minit.
3. Jika sudah layu, tumbuk bahan di atas secara kasar sehingga sebati.
4. Panaskan minyak dan tumis semua bahan sehingga layu dan terbit aroma.
5. Akhir sekali, tambahkan gula, jus limau nipis dan garam. Kacau rata dan masak sehingga pecah minyak.
6. Angkat dan hidangkan.
Amie tambahkan perencah Maggi Cukup Rasa, dan tumis sambal gunakan minyak bekas gorengan ayam. Jadi, sambal hijau olahan Amie nampak sedikit kuning disebabkan warna kunyit pada bekas minyak tersebut! Dan satu lagi, bawang merah yang Amie gunakan nampak agak kasar. Mungkin disebabkan Amie hanya belah dua dan kukus bersama bahan lain, dan bila ditumbuk, cili hijau terlebih dahulu hancur, sedangkan bawang merah masih kasar!
Apa pun, yang penting Sambal Hijau dapat dihasilkan dan dinikmati dengan penuh selera. Gambar di atas Amie paparkan untuk membandingkan hasil Sambal Hijau dari setiap rumah makan. Nampaknya memang ada versi masakan sambal hijau yang tersendiri! Sambal Hijau yang Amie hasilkan kali ini mempunyai rasanya yang tersendiri. Kalau dulu Amie buat sambal hijau tanpa tomato, tetapi kali ini Amie bubuh dua biji tomato sebagaimana dalam resepi Rumah Makan Sari Bundo, ditambah pula dengan jus limau nipis. Memang terasa masam manis cili hijau dengan tomato, dan rasa menjadi sebati apabila ditambah dengan bahan perasa lain. Dan satu lagi, pada masa akan datang Amie kena kurangkan jumlah cili padi, sebab rasanya agak pedas tapi memang sedap! Sepanjang Amie berada di Bukit Tinggi, rasa sambal hijau yang dihidangkan tidak begitu pedas!
Sambal Hijau enak dinikmati bersama nasi panas, dan dapat seekor dua ikan goreng pun sudah cukup lazat!
Boleh juga dimakan bersama ayam goreng dan sertakan sekali dengan ulam-ulaman sebagai pelengkap hidangan.
Sambal Ijo di Rumah Makan Eni. Gambar atas, Sambal Ijo Dengan Terung. Gambar bawah, Sambal Ijo dengan Ikan Goreng.
Sambal Ijo di Rumah Makan Lamun Ombak.
Sambal Ijo di Rumah Makan Aie Badarun.
Sambal Ijo di Restoran Flora di tengah sawah.
Sambal Ijo di dapur Amie!
Sekian, eksperimen Sambal Hijau @ Sambal Ijo dari Amie's Little Kitchen.
11 comments
samalah menu kita arini....SAMBAL IJO! hehee
BalasPadamtadi cuma makan dengan nasi & ikan goreng panas. Mmg berselera!
Saya buat banyak2, simpan dalam fridge.
Sedap tu kak amie . Bertambah2 la nasi nih...
BalasPadamSedap tu kak amie . Bertambah2 la nasi nih...
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamya Allah, sedapnya lihat gambar-gambar sambal ijo kak amie.. kecur liur dah ni
BalasPadamJemput singgah baca entri terbaru saya ini
Ujie,
BalasPadamkena buat lagi sambal ijo ni, semalam buat habis dah, pagi tadi anak tanya lagi.
Nita,
betul tu, boleh cecah dgn macam2 ulam juga.
Zaleha,
sambal ijo versi Padang dengan sambal ijo hasil air tangan sendiri, beza rupa sikit tapi tetap sodap!
Favorite Nina sambal Hijo ...!! Makan ngan nasi panas-panas! Wallaaa...
BalasPadamRupanya bahan di kukus patutlah lain je rasa. Tapi sambal ijo padang memang sedap lah
BalasPadamAssalamualaikum cik mcm mna nk bg sambal hijau tahan lama. Perlu letak apa ke? Atau cara masak?
BalasPadamUnknown,
BalasPadambiasanya untuk awet atau tahan lama masakan seperti sambal, masak gunakan lebih minyak, tapi tak pasti pula dengan sambal hijau ni.
Sambal ni la yang SA nak buat tapi x pandai tu,..nak cuba la buat...
BalasPadam