Ikan Merah Kukus Asam Boi
10:35 PG
Selamat berhujung minggu buat semua.
Apa agaknya hidangan tengahari untuk keluarga tersayang pada hari ini? Jom cuba resipi Ikan Merah Kukus Asam Boi pula. (Minta maaf, tertulis 'siakap' dalam water mark). Sudah tentu mampu menggoda selera seisi keluarga, apalagi kalau dihidangkan panas di atas meja.
Selain ikan siakap, boleh gunakan ikan merah, ikan bawal, ikan putih, atau ikan kerapu, atau juga ikan-ikan lain yang sesuai untuk dikukus.
Kalau tidak ada asam boi merah, boleh gunakan asam boi putih. Nak gunakan kedua-duanya sekali pun boleh. Amie pernah masak ikan siakap kukus asam boi sebelum ini ikut resipi HANAMEMORIES di sini : Ikan Siakap Kukus Asam Boi.
Kali ini Amie cuba resipi versi sendiri pula.
1 ekor ikan merah / siakap / kerapu
1 labu bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 tangkai cili merah - hiris
7 biji asam boi merah / putih - rendam dalam 1/2 cawan air hingga kembang, kemudian kikis sedikit
2 cm halia - hiris halus
1/2 batang lobak merah - hiris halus
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan 1/2 cawan air
Cara memasak:
1. Bersihkan ikan dan kelar-kelas sedikit.
2. Didihkan air dalam periuk pengukus.
3. Letakkan ikan di atas dulang pengukus. Taburkan halia, bawang besar, bawang putih dan lobak merah di atasnya dan kukus selama 3 minit.
4. Satukan cili merah, asam boi, sos ikan, sos tiram, kicap manis dan air bancuhan tepung jagung di dalam periuk.
5. Masak sehingga mendidih dan kuah mulai sedikit pekat.
6. Buka penutup periuk pengukus dan keluarkan dulang ikan. Buang air ikan yang dikukus.
7. Kemudian tuangkan bahan yang dimasak tadi di atas ikan.
8. Letakkan kembali dulang ikan di dalam periuk dan kukus lagi selama 7 minit atau sehingga ikan masak.
9. Angkat dan hidangkan bersama taburan daun ketumbar.
Resipi Ikan Kukus Asam Boi ini pernah tersiar dalam Majalah Saji Edisi Ogos 2017. Boleh klik gambar di bawah atau di sini : Resepi Amie's Little Kitchen Di Majalah SAJI Edisi Ogos 2017
0 comments