Catatan Kecil Buat Abang Farid
3:16 PTG
Sabtu, 8.40 pagi bersamaan 30 September 1995, rasanya baru semalam mendengar tangisan pertamanya dan menatap matanya yang bersinar terang ketika melihat dunia buat pertama kalinya! Masih terbayang, setelah dibersihkan dan diselimut rapi oleh jururawat Hospital Lahad Datu dan diserahkan ke pangkuan, matanya seolah-olah mengucapkan sesuatu walaupun pada ketika itu tiada apa yang terang pada pandangan matanya, namun anak matanya tepat memandang ke mataku yang ketika itu sangat takjub melihat tubuh kecil di atas riba! Allahyarham Atuk membisikkan kalimah suci Allahu Akbar ke telinganya, begitu juga dengan Encik Suami, yang ketika itu teragak-agak buat pertama kalinya bergelar 'bapa'.
Nenda membawa cucundanya yang entah ke berapa itu, pulang ke kampung bersama. Dan semalaman juga keajaiban masih dirasai, tidak dapat melelapkan mata sepenuhnya kerana asyik leka memandang bayi kecil yang comel itu! Selamat datang ke dunia, sayang. Alhamdulillah. Maha Suci Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Pencipta! Daripada tiada kepada ada, daripada merasakan 9 bulan bulan 10 hari di dalam rahim sehinggalah lahirlah putera kecil kami yang pertama. Subhanallah!
Encik Suami menamakannya Mohd. Farid, tetapi Atuk menambah menjadi Mohd. Faridzuan. Itulah Abang Farid, anak sulung kami, abang kepada Fuad, Fairuz dan Firdaus.
22 tahun telah berlalu. 30 September 2017, genap usia Abang Farid 22 tahun. Bulan hadapannya, 28 Oktober 2017, Abang Farid sudah bersiap sedia untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Di bawah ini Amie copy paste catatan Abang Farid di dalam Facebooknya:
Alhamdulillah.
Sesungguhnya janji Tuhan itu pasti untuk hamba-hamba-Nya yang meletakkan sepenuh pergantungan kepada Dia.
Dia Maha Tahu mana yang terbaik buat kita.
Ujian dan dugaan itu sunnah perjuangan Nabi Muhammad. Tohmahan dan sindiran itu pembakar semangat.
Dan di sini juga erti sebuah keikhlasan itu semakin dimaknai. Mengharapkan pujian dan pengesahan status daripada manusia hanya menyakitkan. Mengharap redha dan kasih sayang Allah akan menenangkan.
Ijazah ini hanya tertera pada kertas, tapi sejauh mana kita mampu menyumbangkan apa yang kita ada kepada keluarga, sahabat, masyarakat, negara dan agama?
Ijazah ini bukan untuk disyoksendirikan, tapi untuk dijadikan batu loncatan untuk terus menuntut ilmu Tuhan yang terlalu banyak dan infiniti ini.
Motivasi itu datang daripada rahmat Tuhan, dan untuk mendapatkan motivasi itu, perlu mencintai dan berdamping selalu, dengan solat di awal waktu, menghayati Al-Quran, zikrullah di bibir dan ucapan yang mengingatkan kita kepada Allah.
Maksiat akan menyebabkan wujudnya titik hitam pada hati. Ia menyukarkan ilmu untuk difahami. Istighfar dan solat sunat taubat adalah penawar yang terbaik dan peluang untuk kita membaiki keadaan sentiasa terbuka.
Ibu bapa ialah mereka yang harus dihormati dan disayangi. Merekalah yang membesarkan kita sehingga kita mampu ke tahap ini. Merekalah insan-insan yang paling banyak berdoa dan berkorban untuk kita.
Dan ijazah ini, adalah hadiah anak sulung buat Mummy dan Babah.
Guru-guru dan pensyarah ialah mereka yang menyampaikan ilmu. Mereka akan memastikan kita menjadi insan yang bukan sahaja berilmu, tetapi beradab dan sentiasa berakhlak terhadap ilmu yang dipelajari. Terima kasih cikgu. Terima kasih Dr dan Prof.
Sahabat adalah mereka yang ada di samping kita, tak kira susah mahupun senang. Sahabat itu, ucapnya akan mengingatkan kita kepada Tuhan. Sahabat itu, akan menjadi penyokong kita dan menegur tatkala kita leka dan lalai.
Terima kasih untuk mereka yang sentiasa sabar dan sudi mendengar keluh-kesah diri ini. Jazakallah abang. Jazakallah akhi.
UKM, terima kasih atas tarbiah yang membuatkan diri ini mengenal erti kematangan, kesabaran dan keikhlasan.
Dan di sini juga erti sebuah keikhlasan itu semakin dimaknai. Mengharapkan pujian dan pengesahan status daripada manusia hanya menyakitkan. Mengharap redha dan kasih sayang Allah akan menenangkan.
Ijazah ini hanya tertera pada kertas, tapi sejauh mana kita mampu menyumbangkan apa yang kita ada kepada keluarga, sahabat, masyarakat, negara dan agama?
Ijazah ini bukan untuk disyoksendirikan, tapi untuk dijadikan batu loncatan untuk terus menuntut ilmu Tuhan yang terlalu banyak dan infiniti ini.
Motivasi itu datang daripada rahmat Tuhan, dan untuk mendapatkan motivasi itu, perlu mencintai dan berdamping selalu, dengan solat di awal waktu, menghayati Al-Quran, zikrullah di bibir dan ucapan yang mengingatkan kita kepada Allah.
Maksiat akan menyebabkan wujudnya titik hitam pada hati. Ia menyukarkan ilmu untuk difahami. Istighfar dan solat sunat taubat adalah penawar yang terbaik dan peluang untuk kita membaiki keadaan sentiasa terbuka.
Ibu bapa ialah mereka yang harus dihormati dan disayangi. Merekalah yang membesarkan kita sehingga kita mampu ke tahap ini. Merekalah insan-insan yang paling banyak berdoa dan berkorban untuk kita.
Dan ijazah ini, adalah hadiah anak sulung buat Mummy dan Babah.
Guru-guru dan pensyarah ialah mereka yang menyampaikan ilmu. Mereka akan memastikan kita menjadi insan yang bukan sahaja berilmu, tetapi beradab dan sentiasa berakhlak terhadap ilmu yang dipelajari. Terima kasih cikgu. Terima kasih Dr dan Prof.
Sahabat adalah mereka yang ada di samping kita, tak kira susah mahupun senang. Sahabat itu, ucapnya akan mengingatkan kita kepada Tuhan. Sahabat itu, akan menjadi penyokong kita dan menegur tatkala kita leka dan lalai.
Terima kasih untuk mereka yang sentiasa sabar dan sudi mendengar keluh-kesah diri ini. Jazakallah abang. Jazakallah akhi.
UKM, terima kasih atas tarbiah yang membuatkan diri ini mengenal erti kematangan, kesabaran dan keikhlasan.
Walaupun hampir sebulan majlis konvokesyen berlalu, dan belum ada entri tentangnya kecuali entri INI: JALAN-JALAN CARI MAKAN DI BANGI.
Kami bertolak dari Lahad Datu pada 27 Oktober 2017 seawal pukul 5.30 pagi, ikut jalan darat ke Tawau. Dari Tawau kami terbang ke KLIA2 dan Abang Farid sudah bersedia menunggu kami dengan sebuah kereta yang disewanya selama kami berada di Bangi. Syukurlah ada kenderaan untuk kami ke sana ke mari sepanjang berada di sana, dan mudah pula untuk kami balik kampung menziarahi Bonda di sana.
Kami menginap selama 3 malam di Hotel Puri Pujangga. Lama jugalah Abang Farid menempah bilik ini, memandangkan jika di saat-saat akhir menempah, tentu bilik sudah penuh. Lagi satu, Amie memang setuju sangat menginap di sini supaya tidak kelam kabut dan bersesak keluar masuk sewaktu majlis konvokesyennya nanti. Memang dari mula-mula Abang Farid di Kolej Rahim Kajai pada tahun pertama, dia mencadangkan Hotel Puri Pujangga sebagai tempat penginapan kami sekiranya kami datang ke UKM.
Biliknya pun selesa, dan paling kami suka bilik kami terletak di tingkat bawah, dan di hujung sekali bersebelahan dengan tempat letak kereta!
Kami dikehendaki berada di dalam Dewan Canselor Tun Abdul Razak pada pukul 7:30 pagi. Seawal pukul 6.20 pagi kami sudah turun ke dewan makan hotel untuk mengalas perut. Kereta yang Abang Farid pandu terpaksa diletakkan di kawasan khas, dan kami serta semua ibu bapa serta graduan dikehendaki menaiki bas khas menuju ke dewan.
Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke - 45 berlangsung selama 4 hari bermula pada 28 -31 Oktober 2017. Alhamdulillah. Abang Farid mendapat jemputan menghadirinya pada hari pertama iaitu Sidang Canselor, Sabtu 28 Oktober 2017. Sidang ini berlangsung sehingga pukul 2 petang dan disambung semula pada keesokan pagi untuk sidang kedua dan ketiga, dan seterusnya sehinggalah tamat pada 31 Oktober 2017 bersamaan pada hari Selasa.
Majlis penyampaian ijazah sempena Konvokesyen UKM ke-45 pada pagi itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Tahniah Abang Farid!
Terima kasih sekalung budi buat semua guru yang selama ini tidak jemu
mencurahkan ilmu buat anakanda kami, guru Tadika Cang Quing Baru
(1997-2001), SJK(C) Yuk Choi (2002-2007), ustaz dan ustazah Sekolah
Agama Kg. Khamis (2002-2006), rakan-rakan guru SM St. Dominic
(2008-2012), tenaga pengajar Kolej Matrikulasi Labuan (2013/2014), dan
para pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (2014-2017). Kami memohon
agar dihalalkan segala ilmu yang dicurahkan dan maafkanlah andai
anakanda kami pernah melakukan salah silap sepanjang menuntut ilmu.
Semoga ilmu yang dicurah memberi manfaat untuk dunia dan akhirat. Hanya
Allah yang akan memberi ganjaran ke atas segala jasa kalian.
Perarakan graduan masuk ke dewan. Dimulakan dengan penerima Doktor Falsafah( semua fakulti dan institusi), para Sarjana (graduan cemerlang semua fakulti dan institusi), dan Sarjana Muda untuk graduan cemerlang semua fakulti. Jubah graduan UIKM nampaknya berwarna-warni mengikut tahap dan fakulti! Abang Farid memakai jubah warna ungu, dari Fakulti Sains dan Teknologi.
Pentas menanti ketibaan perarakan besar masuk ke dewan.
Di bahagian belakang, berhadapan dengan pentas beberapa kumpula pemuzik bakal mengalunkan muzik iringan, dan koir semasa majlis berlangsung.
Semua hadirin berdiri tegak menyanyikan lagu Negarku dan Lagu Kebesaran Negeri Sembilan.
Entah berapa puluh tahun tidak mendengar lagu ini! Sempatlah menyanyikannya sewaktu latihan mengajar selama 3 bulan di Chan Hwa High School, Jalan Temiang, Seremban, Negeri Sembilan 1992 lalu!
Pembukaan Majlis Konvokesyen UKM ke - 45, dengan pengumuman tujuan majlis oleh Naib Canselor dan Titah Perisyhtiharan Pembukaan Majlis Konvokesyen UKM ke- 45 oleh D.Y.M.M. Tuanku Canselor.
Penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dimulakan. Anak mata kami tidak terlepas mencari sesusuk tubuh kecil berjubah ungu di hujung sana! Kelihatan seorang pensyarah UKM sedang membetulkan letak jubahnya! Maklumlah, badannya kurus, barangkali saiz jubah yangdipakainya agak besar!
Di saat begini, teringat 1991 yang lalu di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya ketika menapak ke atas pentas, rasa tidak berjejak! Dengan iringan muzik lagu Kuda Hitam, itulah Amie menerima Ijazah Sarjana Muda di UM. Ayahanda dan Bonda dapat melihat dengan jelas sewaktu Amie berjalan di atas pentas, tetapi dari awal hingga akhir majlis, Amie tidak dapat melihat di mana kedudukan Ayahanda dan Bonda! Hari ini, kami dapat melihat setiap langkah anakanda kami dengan jelas!
Tibalah saatnya, anakanda Mohd. Faridzuan tampil ke hadapan untuk menerima ijazahnya.
Alhamdulillah!
Majlis diakhiri dengan ucapan wakil graduan oleh Penerima Anugerah Pelajaran Diraja serta bacaan doa dan titah penangguhan majlis oleh D.Y.M.M Tuanku Canselor. Lagu Negaraku dan Lagu Kebesaran Negeri Sembilan dinyanyikan sekali lagi sebelum perarakan D.Y.M.M Tunaku Canselor keluar dewan.
Sesungguhnya sepanjang berada di dalam dewan ini dari pukul 7:30 pagi sehingga hampir menjelang pukul 2 petang, kami sedikit pun tidak terasa lamanya waktu berjalan dek kerana lancarnya majlis tersebut, yang disusun rapi dan berakhir dengan jayanya! Sebelum majlis berakhir, Naib Canselor UKM, YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Azlan Ghazali mengarahkan semua graduan bangun dan memberi tunduk hormat kepada semua ibu bapa di setiap penjuru dewan, dan terakhir sekali tunduk hormat arah ke pentas bagi mendapatkan restu dan keberkatan ilmu dari semua pensyarah UKM.
Dengan rasminya majlis ditangguhkan.
Majlis bersurai.
Inilah wajah Naib Canselor UKM YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Azlan Ghazali yang menceriakan suasana sepanjang majlis berlangsung. Ucapannya sangat mencuit hati, dengan kiasan dan gaya bahasanya yang bersahaja tetapi amat mendalam maksudnya!
Ketika ibu bapa dan para graduan berpusu-pusu ke luar dewan, ada yang sedang menanti kami penuh sabar di bawah pokok! Terima kasih Ziah, anak buah yang sudi datang dengan sejambangan bunga untuk Abang Farid! Kami sendiri pun tidak nampak di mana gerai bunga dek kesesakan pengunjung di UKM pada hari tersebut!
Bonda datang dari jauh dengan jambangan bunga, walaupun uzur tapi sanggup menunggu di luar dewan sehingga majlis selesai.
Terima kasih Bonda!
Terima kasih sudi datang meraikan cucunda Abang Farid!
Rakan-rakan Abang Farid akan menerima ijazah masing-masing pada hari Isnin 30 Oktober 2017, Sidang 5 sebelah petang. Jadi pada hari tersebut nampaknya Abang farid hanya dapat berjumpa dengan beberapa orang rakannya sahaja.
Semoga persahabatan kekal abadi.
Kami bergambar tak pilih tempat dah! Bawah pokok sajalah, sebab tempat lain yang ada tanda konvokesyen penuh bersusun dengan orang ramai yang ingin bergambar!
Malam terakhir kami berada di UKM.
Tercapai hasrat Abang Farid untuk melihat kami menginap di Hotel Puri Pujangga.
Nampaknya, Abang Farid hanya sempat menyambung pengajiannya selama 3 tahun di sini. Memang cita-cita Abang Farid untuk belajar di UKM. Walaupun Amie pernah cadangkan memohon universiti lain, tetapi dia tetap dengan pilihannya! Katanya, dia ingin menjadi sebahagian daripada warga universiti yang terkenal dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara kita!
Pada hari kedua kami berada di UKM, Abang Farid sibuk menguruskan pelbagai perkara termasuklah berurusan di pejabat pentadbiran untuk mengambil sijil dan transkrips rasminya.
Selain mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan Kepujian (Cemerlang), Abang Farid juga mendapat Hadiah Sains dan Teknologi Ghazali Abdul Rahman dalam bentuk wang tunai sebanyak RM1000.00 dan sijil.
Pada awal tahun 2017, Abang Farid berura-ura untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Alhamdulillah. Abang Farid diterima melanjutkan pelajaran dalam bidang Kimia Organik di University of Manchester, melompat terus dari Ijazah Sarjana Muda ke peringkat Ph.D. Abang Farid dijadualkan mendaftar pada awal September 2017. Sebagai ibu bapa yang tidak mampu menyediakan dana untuk yuran dan keperluannya sepanjang 3 tahun di sana, kami hanya mampu memberi sokongan dan apa-apa perkara lain yang patut. Memandangkan visa pelajar perlu disediakan lebih awal, dan kebetulan passport antarabangsa Abang Farid sudah tamat tempoh (selepas umrah lupa nak sambung), jadi Abang Farid pulang ke LD agar proses membuat passport dapat disegerakan. Seterusnya Abang Farid berusaha mengisi borang memohon biasiswa untuk menaja pengajiannya ke sana.
Inilah coretan Abang Farid di FBnya:
Decision untuk sambung belajar rupanya tak semudah apply untuk Degree.
Saya ada dua pilihan: Sambung bidang kimia, atau tukar bidang.
Nak cari dana pun semakin susah. Persaingan terlalu tinggi.
Pernah terdetik di hati nak beri input baru dalam bidang kajian kimia.
Mencari penemuan untuk penambahbaikan fasiliti penyelidikan sedia ada.
Mungkin perlu simpan sahaja cita-cita itu. Tak ada rezeki lagi.
Yang confirm sekarang ialah saya dapat tawaran sambung belajar dalam
Organic Chemistry secara theoretical. Tinggal tunggu grade akhir dan
cari biasiswa je. Tapi biasiswa ni nak cari tersangatlah leceh haha.
Macam-macam dia nak. Dah apply sana sini tapi tak ada rezeki lagi. Saya
masih muda ke? Haha.
Tengoklah, kalau tak ada rezeki, mungkin perlu tukar bidang lain atau lupakan semua ini dan pergi cari kerja tolong keluarga.
Keputusan demi keputusan biasiswa yang dipohon menunjukkan tiada rezeki berpihak kepadanya. Keputusan yang diterima dari penajanya pula (Abang Farid menerima biasiswa untuk degree), ialah Abang Farid tidak boleh melangkau (skip) Masters dan terus ambil Ph.D kalau ingin sambung biasiswanya! Kami hanya mampu berdoa agar Abang Farid terus cekal dan tabah. Kami mengharapkan agar Abang Farid meneruskan cita-citanya untuk belajar. Pernah Amie katakan kepada Abang Farid : Belajarlah setinggi mana yang Abang Farid mahu. Janganlah difikirkan keperluan keluarga kerana semuanya sudah tersedia. Tidak seperti zaman Mommy dahulu, mahu cepat-cepat mencari kerja selepas dapat degree kerana sememangnya waktu itu tidak ada sokongan dari segi kewangan untuk sambung belajar. Tak kisahlah belajar di mana pun, di dalam atau di luar negara!
Keputusan Abang Farid yang cemerlang (Kelas Pertama) sudah cukup menggembirakan kami sekeluarga. Kami hargai segala usaha Abang Farid bertungkus lumus belajar untuk mendapatkan gred yang baik. Abang Farid banyak berkorban sewaktu menuntut ilmu di kampus UKM, sehingga waktu cuti pun tidak balik ke LD kerana tugasan akhir, untuk melengkapkan hasil kajiannya, bagi menyiapkan tesisnya.
Syukur kepadamu ya Allah! Kami memohon pada-Mu agar diberkati segala usaha anakanda kami, agar mampu mencapai cita-cita dan menjadi inspirasi untuk adik-adiknya, Fuad, Fairuz dan Firdaus.
Abang Farid pernah memberitahu kami, memohon penangguhan untuk melanjutkan pelajaran di University of Manchester sehingga tahun 2018. Namun pada suatu hari Amie terbaca statusnya di FB:
Tangan
menggeletar nak tekan butang send, tapi kugagahkan jiwa dan raga untuk
melepaskan sesuatu yang mungkin tidak akan datang buat kali kedua.
Kucuba memujuk diri ini lalu berbisik, "Mungkin rezeki aku bukan di sini."
Kita merancang dan berusaha, tapi jika rezeki bukan di situ, siapalah kita untuk menidakkan sesuatu.
Kucuba memujuk diri ini lalu berbisik, "Mungkin rezeki aku bukan di sini."
Kita merancang dan berusaha, tapi jika rezeki bukan di situ, siapalah kita untuk menidakkan sesuatu.
Itulah Abang Farid. Abang Farid sudah mulai matang dan sudah bijak membuat keputusan. Walaupun ada lagi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun pada 2018, tetapi Abang Farid sudah membuat keputusan muktamad. Selepas Latihan Industri selama 2 bulan di sebuah kilang minyak wangi Elliadore, Abang Farid pulang ke LD, bercuti selama 3 minggu dan pada 2 Oktober 2017 berangkat ke Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar melapor diri sebagai Research Assistant atau Pembantu Penyelidik dalam bidang Chemical Engeneering. Abang Farid memilih RA sebagai jambatan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. In shaa Allah, mudah-mudahan Abang Farid akan bertukar status kepada GRA - Graduate Research Assistant. Kehidupan ini Abang Farid, banyak cabangnya, banyak jalannya. Untuk mencapai sesuatu, tidak semestinya mengikut jalan yang sama dilalui oleh orang lain, tetapi Allah Maha Perancang. Segala yang hak itu hanyalah dari-Nya, dan yang bathil itu datangnya dari hamba-Nya yang lemah.
Untuk Abang Farid, Mommy dengan Babah bukanlah ibu bapa yang sempurna, yang mampu memberi segala keperluan dan pendidikan dunia dan akhirat untuk anak-anaknya. Kami hanya jambatan untuk anak-anak meneruskan kehidupannya dengan bekalan yang seadanya. Teruskan usaha menuntut ilmu selagi peluang masih ada kerana ia adalah perintah dari Allah Taala. Jadilah contoh teladan baik buat adik-adik. Orang berilmu atau ulama memiliki kedudukan mulia di sisi Allah SWT sebagaimana yang disebutkan dalam hadits Rasulullah SAW :
“Saya mendengar Rasulullah berkata: “Barangsiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan menyiapkan jalan baginya menuju surga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayapnya karena redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya orang yang berilmu itu dimintakan ampunan oleh apa saja yang ada di langit dan yang ada di bumi hingga ikan-ikan di laut yang terdalam. Kelebihan orang berilmu atas orang beribadah adalah seperti kelebihan bulan atas seluruh bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar juga tidak dirham namun mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya, sungguh ia mendapatkan keberuntungan yang besar.”
Islam juga menekankan betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan manusia diantaranya seperti yang dijelaskan dalam QS. al-Taubah ayat 122, Allah swt. berfirman:
“Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”.
Ayat tersebut menjelaskan bahwa meskipun kewajiban jihad penting dalam islam, orang yang berjihad tetaplah harus menuntut ilmu atau jika sebuah golongan akan berperang hendaknya mereka menyisakan beberapa orang untuk tetap tinggal dan tidak ikut berjihad melainkan untuk menuntut ilmu dan meneruskannya pada generasi berikutnya.
Selamat maju jaya Abang Farid.
Selamat menempuh pengalaman hidup yang Mommy dan Babah tidak mampu beri, atau belikan dengan wang ringgit.
6 comments
Tahniah abang Farid juga Amie sekeluarga..semoga Abang Farid terus berjaya
BalasPadamTahniah Abang Farid serta Amie sekeluarga... moga Allah memberi yang terbaik buat Abang Farid.. usahalah dan berserah padaNya.. inshaa Allah..
BalasPadamTahniah abang Farid dan Amie sekeluarga, moga terus berjaya dengan lebih cemerlang dan menjadi contoh kepada adik-adik yang lain. Tahniah ....
BalasPadamTahniah buat abang farid dan keluarga di atas keputusan yang cemerlang. Bertuah sungguh Amie dikurniakan anak seperti abang Farid yang begitu matang dalam membuat keputusan dan boleh dijadikan contoh buat adik adik..Semoga usaha dan perancangan Abang farid dipermudahkan dan dimakbulkan Allah.Amie, sebenarnya saya hampir menitiskan air mata membaca coretan Amis kali ni..naluri keibuan tersentuh barangkali..tahniah buat Aimi sekeluarga.
BalasPadamAcik Erna,
BalasPadamterima kasih...mudah-mudahan, aamiin.
Ros,
Terima kasih, ye...Allah sebaik-baik pergantungan.
FHA,
Terima kasih, mudah-mudahan adik-adiknya jadikan dia sebagai contoh teladan.
Sii Hajat,
Terima kasih. Itulah sahaja catatan yang mampu diluahkan, moga suatu hari nanti bila telah tiada, anak-anak dapat jadikan sebagai kenang-kenangan.
Nampaknya si comel Firdaus tak sabar2 nak konvo :)
BalasPadam