ADSENSE

Rabu, 20 Julai 2011

Belawis Masak Brengkes

Selamat malam semua. Dah lewat malam baru boleh berjumpa ..... petang tadi raptai penuh untuk majlis anugerah pelajar yang akan diadakan esok pagi. Menjelang petang Amie pulang ke rumah, masak tergesa-gesa, dan selepas Maghrib berkejar semula ke dewan. Alhamdulillah, segala persiapan pentas telah sempurna, hadiah dan sijil sudah disusun, kerusi meja semuanya teratur.... boss pun nampak ceria. Oleh sebab rasa mengantuk yang teramat sangat, Amie tak tunggu lama.... terus pulang. Cadangnya nak tidur awal malam ini tapi tiba-tiba teringat lauk petang tadi yang belum masuk blog. Amie masak brengkes ikan belawis. Mungkin kedengarannya agak asing, sebab di semenanjung memang Amie tak pernah dengar atau jumpa resepi ini.


Resepi ini merupakan salah satu hidangan tradisi masyarakat Melayu Cocos. Amie menuntut ilmu masak brengkes ini daripada ibu mentua. Biasanya ikan yang digunakan ialah ikan belawis. Bagaimanapun ikan-ikan lain juga boleh digunakan termasuk ikan sulik, ikan temparing dan sebagainya. Amie memang sudah beberapa kali masukkan gambar ikan belawis, tapi mungkin kali ini tak berapa jelas sebab tertutup dengan kuahnya. Bolehlah lihat di SINI. Keluarga sebelah suami memang sangat menggemari resepi warisan nenek moyang mereka ini.

Apa uniknya resepi brengkes ini? Ada rempah ketumbar  dan apa yang selalu Amie perhatikan ialah, perahan limau nipis merupakan bahan wajib untuk resepi tradisi Cocos ini. Masakan ini seringkali dihidangkan semasa kenduri-kendara. Mari kita semak bahan-bahannya:

Bahan-bahan:
1 ekor ikan belawis - 400 gram - potong 2
1 sudu makan serbuk kunyit
75ml santan pekat
1 biji limau nipis - perah jusnya
garam / serbuk pati ikan bilis
minyak

Bahan kisar:
1/3 cawan rempah ketumbar
5 biji lada merah
5 biji bawang merah
3 biji bawang putih

Cara:
1. Goreng ikan separuh masak - angkat.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk kunyit. Gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat. Perlahankan api.
5. Masak sehingga kuah pekat.
6. Masukkan garam / serbuk pati ikan bilis.
7. Perahkan air limau nipis.
8. Angkat dan hidangkan.

8 ulasan:

Ummiross berkata...

Amie, ummi datang malam2 nak tengok masakan yang tak pernah ummi dengar , bertuah ummi dapat resepi warisan keluarga suami Amie ni, tq Amie sudi berkongsi...

nuwairani ismail berkata...

belawes tu mcm ikan bawal ke rasanya kak amie? pernah makan ikan yg lebih kurang mcm ni...tp kt sandakan kami panggil belais...yela kot kan? kalau betol, ikan ni memang sedap! taktau pulak cocos pon ada masakan tradisi yg menyelerakan mcm ni..kawan2 kat cni tak pernah pon masak mcm ni...

Diana @ Melley Mey berkata...

Assalamualaikum akak...
sedapnya tgk ikan tu akak... brengkes tu perkataan baru buat diana... n kami kat labuan pun panggil belais cam kata nani tu... ikan nie mmg sedap kan akak.. masak apa jer ler.. pasti laku punya.. sedap!

Kak Rosaliza berkata...

Assalam amie, akk pun baru dgr nama n msk ikn ni, tentu sedapkn

Amie berkata...

Ummi,
pertama kali makan resepi brengkes ni.... tahun 1994...ingat lagi tau, sbb masa tu tengah tunang ngan dia....keluarganya dtg jemput makan2... memang dlm masyarakat Cocos, brengkes merupakan salah satu menu tadisi yg sangat istimewa...

Amie berkata...

Nani,
memang ada orang panggil belais, belawis, kalau di mini market memang ditulis belawis, tapi org Cocos panggil ikan menyerat.... ada belais kecil & ada yg besar, masakan brengkes biasanya gunakan ikan belais / belawis besar... cuba tanya kawan2 Cocos, mesti org tua mrk tahu pasal resepi ni...

Amie berkata...

agaknya org2 tertentu di bahagian pantai timur panggil belawis, kak amie pun biasa dgr belais juga... memang tak ramai yg tahu masakan brengkes ni.... mula2 makan brengkes ikan ini memang kakak rasa pelik sbb ada bubuh ketumbar... tapi itulah resepi tradisi yg sangat digemari masyarakat Cocos...

Amie berkata...

Kak Rosa,
memang org2 kita kaya.... sangat kaya dgn pelbagai khazanah resepi, amie pun jarang masak brengkes ni. dapat makan pun kalau masa kenduri ada orang buat, ikan ini pun amie jumpa di sini, di kg sana memang takpernah jumpa...