Ikan Tongkol Masak Lemak Cili Padi
10:45 PTG
Petang tadi riuh semula rumah setelah sunyi sepi sejak 5 hari lalu.... Fairuz ikut aktiviti pengakap di Kem Tiku di Tawau. Mulanya Fairuz tak mahu pergi sebab nak ikut latihan robotik di sekolah, tapi bila difikirkan semula markah kokurikulum lebih banyak dikumpulkan jika ikut aktiviti pengakap yang melibatkan pengakap dari Indonesia dan Brunei itu, jadi pergilah anak bujang kami tu ke sana....
Adapun pemergiannya selama 5 hari sangatlah dirindui oleh Firdaus.... aduhai anak! Bila Fuad ke gym atau ke perpustakaan, tinggallah berdua di rumah dengan Firdaus! Petang tadi kakak ipar, pengasuh Firdaus meminta supaya Firdaus dihantar ke kampung.... oh! Ingatkan cuti sekolah selama seminggu ini Amie ingin habiskan masa bersama anak-anak, bermain, bergurau, berkelahi..... Seronoknya melayan Firdaus yang tak berhenti bercakap itu dan ini, memanjat sana sini! Kalau tak buang air besar 2 kali, kalau tak menyusu 3 kali dan kalau tak makan tengahari, jangan haraplah Firdaus mahu tidur! Dan tidurnya pulak, mesti berteman... kalau kita tinggallah dia sekejap pun, dia akan jaga! Kebetulan pula sewaktu menemaninya tidur lewat pukul 3 petang tadi, Encik Suami pulang awal. Bolehlah gantikan tempat Amie di sebelah Firdaus... dan bolehlah Amie menyelinap ke dapur!
Tentu Fairuz lapar bila sampai rumah nanti. Eloklah sediakan hidangan makan malam lebih awal, jadi bolehlah Fairuz berehat. Biasanya kalau balik dari perkhemahan memanglah penat, letih... dengan muka terbakar, dengan pakaian dan kasut kotor....
Alhamdulillah, sebaik sahaja siap semua masakan, Fairuz pun sampai ke rumah bersama sepupunya Faiz. Seperti yang dijangkakan... nampak kering layu wajah anakku! Tapi.... Firdaus tak peduli itu semua... terus diterkamnya sang abang yang dirindui siang dan malam itu! Wokeeeyyy.... salah satu menu hidangan seisi keluarga petang tadi ialah Ikan Tongkol Masak Lemak Cili Padi.
Bahan-bahan:
2 ekor ikan tongkol seberat 500 gram - bersihkan dan potong 4 setiap seekor
7 biji belimbing buluh - belah tapi jangan sampai putus
400 ml santan pekat
1 batang serai - dititik
1/2 sudu teh serbuk kunyit
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
10 biji cili padi
Cara:
1. Masukkan santan bersama bahan tumbuk serta serai dan sebuk kunyit di dalam periuk. Gaul sebati.
2. Pasangkan api sederhana panas.
3. Masukkan ikan tongkol bersama belimbing buluh.
4. Kacau selalu supaya tidak pecah santan.
5. Apabila mendidih, dan ikan sudah masak, perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
Terima kasih Encik Suami sebab 3 kali puji masakan ini sedap.... siap hirup kuahnya lagi. Dalam hati tertanya-tanya... asyik memuji sampai 2-3 kali ni ada apa-apa ke? Rupanya si dia baru tahu masak lemak cili padi bubuh belimbing buluh tu rasanya sedap.... ahaks!
2 comments
ngeleh dadinei ki kak...
BalasPadamalahaiii kak Amie cayang..yana tgk ni pun dh terliur.. yana suka sgt klu masak lemak cili api letak belimbing buluh..sedappnyaa
BalasPadam