Ahad, 6 Januari 2013

Durian Chiffon - Kek Chiffon Durian

Assalamualaikum.
Selamat petang semua. Jom nikmati sepotong Kek Durian Chiffon hasil air tangan Amie petang tadi. Kelmarin sempat lagi menimba ilmu dari The Baker's Shop dan hari ini cuba aplikasikan mana yang mudah. Selain Mango Konnyaku Jelly yang Amie paparkan petang tadi, Durian Chiffon merupakan salah satu lagi resepi yang kami pelajari kelmarin selain Banana Chocolate Chiffon Cake dan Red Cherry Mousse Cheese Cake.



Hasil Kek Chiffon Durian ini sangatlah lembut dan gebu! Amie tidak bubuh perasa durian atau durian essence memandangkan puri durian atau durian yang dikisar sudah cukup membekalkan aromanya yang cukup kuat! Tapi terpulanglah kepada citarasa masing-masing untuk bubuh atau sebaliknya, sebab guru masakan kami beritahu kalau sudah ada bau durian, tak perlu lagilah tambah durian essence.


Oleh kerana teksturnya yang sangat lembut, rasanya nak cubit-cubit saja terus masuk mulut, tak payah potong-potong lagi!


Bahan A:
150 gram tepung gandum
4 gram baking powder - (ayak tepung bersama baking powder & garam)
100 gram gula kastor - boleh kurangkan jika tidak suka manis
6 biji kuning telur - gred B (jika gred A atau AA gunakan 4 biji sahaja)
40 gram minyak (jagung / canola / bunga matahari / zaitun dll)
20ml susu segar
1/2 sudu teh garam

Bahan B:
6 biji putih telur
100 gram gula kastor - boleh kurangkan jika tidak suka manis
1 sudu teh krim tartar

Bahan C:
200 gram isi durian yang dihancurkan / dihaluskan / dikisar

Cara:
1. Panaskan ketuhar pada suhu 175'-180'C.
2. Pukul telur kuning bersama, gula kastor dan tepung (yang telah diayak) hingga sebati. (Boleh putar pada kelajuan minima selama 1 minit.) Kemudian masukkan minyak dan gaul seketika hingga minyak  sebati.
3. Gunakan bekas lain untuk memutar putih telur, gula kastor dan krim tartar. Putar pada kelajuan maksima dan pastikan bahan menjadi kental.
4. Masukkan Bahan B yang telah diputar tadi sebanyak 1/3 bahagian dan gaul dengan Bahan A hingga sebati. Kemudian tambahkan lagi 2/3 bahagian selebihnya  dan terus gaul hingga sekata.
5. Jangan lupa masukkan dan gaul sebati Bahan C , isi durian yang telah dihancurkan ke dalam adunan tadi.
6. Tin pembakar chiffon (chiffon cake mould) tidak perlu dilenser (ungreased) dengan minyak atau dialas dengan kertas. Tuangkan sahaja bahan adunan ke dalamnya.
7. Bakar di dalam ketuhar bersuhu 175' - 180'C selama 30-35 minit. (Tahap kepanasan sesebuah oven / ketuhar biasanya bergantung kepada jenis, penggunaan bahan api samasa gas atau elektrik)
8. Untuk mengetahui isi kek telah masak atau sebaliknya, gunakan penyucuk (oleh kerana kek chiffon naik menggebu), eloklah gunakan penyucuk yang panjang seperti penyucuk lidi sate untuk memastikan keadaan sebenar kek. Jika lidi dalam keadaan bersih bermakna kek telah masak sepenuhnya.
9. Keluarkan kek dari oven dan telungkupkan tin pembakar chiffon (bersama isinya) sehingga sejuk.
10. Gunakan spatula untuk menyisip bahagian tepi tin pembakar untuk memudahkan kek tanggal dengan sempurna.



Sebenarnya, belum pun sempat sejuk, anak-anak sudah berkerumun untuk makan kek ini. Jadi, tak sampai berapa minit ditelungkupkan, terpaksalah disisip untuk mengeluarkan isisnya yang masih hangat untuk dinikmati!

9 ulasan:

ummiross berkata...

Amie..memang nampak gebu sangat, mesti sedapkan.Untung dapat belajar buat kek chiffon ni, berbaloi2X..

Yatie berkata...

wow gebunya kek cipon derian ni..geram je tngk..kebetulan arini yatie buat kek mentega durian..meh tukar suka sama suka..pasni nak cuba plk kek cipon derian mcm ni lah...wat terliur jek...

Amie berkata...

Ummiross,
memang gebu sangat... lembut lagi Ummi!

Yatie,
yok tukar2 Tie...kita pun suka kek yang bermentega!

Nens Collection berkata...

cantik nyer kek kak ami ni..
terliur nens,nk buat xth jd ke tidak..hoho

MaDiHaA a.k.a Ratna berkata...

hmmmm... dah boleh agak keenakan chiffon durian ni amie.. memang sedap kan? madihaa pernah mencubanya sekali dulu.. tp waktu tu belum ada blog lagi.. cuma update di fotopages saja.. memang sedap! wangi durian & kelembutannya memang takde tolok banding sedap bila nikmatinya..

zila norazila berkata...

Salm kak amie..mmg mcm nk cubit jew kak..zils biasa buat yg strwbry jew kak..amik rsepi akk nie nnt boleh cuba..

Amie berkata...

Nens,
dulu kak amie pun tak berani nak buat kek takut gak jadi, bia dah cuba, menjadi rasa seronok pula nak buat seterusnya.

Madiha,
memang sedap sangat! Rasanya pun taklah manis, manis2 manja gitu, yang menambat selera tu sebab bau duriannya tu... sedap!

Zila,
silakan Zila, Kak Amie pun baru belajar buat kek ni.

Wattie berkata...

Assalamualaikum Amieeee,
Waaaa dah masuk kelas baking ya, akak pun dah lama tak p berguru, ingat satu hari nak jengah jugak mana2 kelas yg sesuai. Tp la ni, nak cilok resepi Amie dulu ya sebab geram tengok kek yang gebu gebas tu, tks ya kongsi resepi.... Jelly kat bawah tu pun, fuiyooooo kemain, kelas gitu, nak cedok pun sayang......

Amie berkata...

Wattie,
waalaikumussalam.... nak belajar dengan Wattie jauh sangat kat hujung tanjung nu.... so carilah kelas dekat2 sini hye he hehhh... silakan cedok resepi tu, bawa balik elok2 ye jangan sampai tumpat kat laut china selatan ...