Salmon Panggang Sos Lada Hitam
1:36 PTG
Lupakan buat seketika hidangan nasi untuk tengahari, kita nikmati Salmon Panggang dengan Sos Lada Hitam. Biasanya Amie buat sos lada hitam untuk dijadikan cecahan ayam panggang, tapi kali ini Amie gandingkan dengan ikan panggang pulak.
Sambil memanggang ikan salmon, Amie sediakan sos lada hitam seperti di bawah ini. Biasanya Amie gunakan mentega, tapi nampaknya tidak ada lebihan mentega, yang ada hanya minyak sapi. Amie gunakan saja minyak sapi. Aduhai! Memang tak rugi mencuba gunakan minyak sapi. Sudahlah aromanya sungguh menggoda selera, rasa sos lada hitam pun lebih enak berbanding gunakan mentega!
Bahan-bahan:
1 labu bawang besar - dicincang halus
3 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar tepung gandum
400ml susu segar
1 sudu kecil lada hitam - tumbuk
5 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
Cara memasak:
1. Panaskan minyak sapi dan goreng bawang besar hingga kekuningan.
2. Masukkan tepung gandum dan kacau rata.
3. Seterusnya tambahkan susu segar.
4. Sambil mengacau sos, masukkan sos lada hitam, lada hitam tumbuk, sos tiram dan kicap manis.
5. Setelah sos mendidih dan kelihatan likat, padamkan api dapur.
Oh! Terlupa nak cerita ikan salmon pulak. Oleh kerana kami makan bertiga (Firdaus memang tak berminat), jadi Amie panggang 3 keping ikan salmon. Setelah dibersihkan, sapukan kedua-dua belah ikan salmon dengan sedikit sos lada hitam (dari botol ye, bukannya sos lada hitam yang Amie masak di atas tu). Lepas tu panggang di dalam kuali ajaib. Sama juga ceritanya dengan sos lada hitam yang Amie masak, Amie sapukan sedikit minyak sapi ketika memanggang ikan salmon.
Selain ikan salmon panggang, Amie goreng kentang, dan tambahkan kacang dalam tin serta tomato ceri dalam hidangan.
1 comments
Amie, macam hidangan kat restoran :) Sedap!!
BalasPadam