Ayam Masak Sate, Sambal Kacang & Nasi Himpit
7:45 PG
Selamat pagi dan selamat berhujung minggu bersama yang tersayang.
Pagi-pagi begini, enak sungguh dapat menikmati sarapan pagi dengan nasi himpit, kuah kacang dan makan bersama ayam masak sate. Aromanya....mmmmmm sudah tentulah sungguh menggamit selera!
Bahan-bahan:
1 kg isi ayam bahagian dada - potong dadu
1 sudu besar serbuk kunyit
1 batang serai - diketuk
2 sudu kecil garam
4 sudu besar gula pasir
1/2 cawan minyak
Bahan kisar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
3 cm halia
3 cm lengkuas
2 batang serai - ambil isinya yang putih dan hiris
Cara memasak:
1. Campurkan kesemua bahan di atas dan perap sekurang-kurangnya 2 jam. Lebih lama masa memerap lebih baik.
2. Panaskan kuali dan masukkan kesemua bahan perap.
3. Masak di antara 7 hingga 10 minit sambil sesekali membalik- balikan bahan masakan.
4. Apabila daging ayam empuk atau masak, dan kelihatan sedikit warna keperangan, padamkan api dapur.
Untuk kuah kacang pula, di bawah ini Amie tuliskan resipinya. Memang terdapat pelbagai cara penyediaan kuah kacang, tapi janganlah gaduh tentang cara yang betul atau salah....hiks! Masing-masing ada resepi turun-temurun dalam keluarga, maklumlah kuah kacang memang salah satu hidangan wajib terutama ketika menjelang hari raya. Ada yang masak bubuh santan, dan ada yang tidak. Dua-dua cara itu Amie suka, yang penting menjadi dan sedap. Ada yang sangan atau sangai kacang, dan ada pula yang goreng. Ada yang rajin buang kulit, ada pula yang terus tumbuk. Ada yang suka halus dikisar, ada yang suka tumbuk kasar-kasar. Ada yang suka rasa lebih manis, ada yang suka rasa lebih pedas! Macam-macam selerakan?
Bahan-bahan:
500 gram kacang tanah - goreng dan tumbuk separuh halus, dan separuh lagi kasar-kasar
1 sudu kecil pati asam jawa
2 batang serai - diketuk
1/2 cawan minyak
1/2 cawan gula melaka parut
1 sudu besar gula pasir
3 cawan air
garam secukup rasa
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 labu bawang besar
10 tangkai cili kering
2 cm halia
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
2. Masukkan serai dan pati asam jawa dan kemudian kacang tanah tumbuk serta air.
3. Masak sehingga mendidih menggunakan api sederhana.
4. Apabila kuah mulai pekat, sentiasa kacau dan masukkan garam, gula melaka serta gula pasir.
5. Padamkan api dapur setelah terbit minyak di permukaan kuah kacang.
Jemput!
0 comments