ADSENSE

Ahad, 13 Ogos 2017

Nasi Kuning Sabah

Minggu-minggu sebelum ini, Encik Suami rajin bawa kami bersarapan di luar. Apa lagi, Amie pun terus pilih tempat. Mesti ke satu-satunya restoran yang menyajikan nasi kuning kegemaran kami! In shaa Allah, ada kelapangan nanti Amie akan kongsikan nasi kuning di restoran tersebut. 
Kelmarin Encik Suami beli ikan tuna siap dipotong. Katanya ikan tuna nan seekor itu beratnya 1.5 kg. Amie asingkan kepalanya, nanti boleh masak singgang kepala ikan tuna. Bahagian isinya Amie khaskan untuk lauk nasi kuning.
Maka, pagi ini Amie pun masaklah nasi kuning. Amie masak lebih, dengan harapan dan tujuan biarlah sampai ke tengahari dan petang, malas nak masak dah ....hiks!


Seperti biasa, Amie masak cara kukus. Maklumlah, nak bagi nasi tahan lama, dan tak basi,  sampai ke petang kalau boleh. Nak masak cara biasa pun boleh. Gunakan sahaja rice cooker. Cuma santannya tu kenalah sukat sendiri.

Bahan-bahan:
5 cawan beras biasa + 1/2 cawan beras pulut - bersihkan dan toskan airnya
2 helai daun pandan -siat dan simpul
3 cm halia - hiris halus atau pecahkan
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil garam- nak rasamasin, lebihkan sikit
600 ml pati santan

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama daun pandan, halia, serbuk kunyit dan garam ke dalam kuali.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.


Keenakan nasi kuning terletak pada sambalnya! Walaupun pernah beberapa kali makan nasi kuning dengan ayam, udang atau sotong tapi sambal ikan juga yang menjadi pilihan nombor satu! Seingat Amie, pertama kali makan nasi kuning di LD, beli bungkus daun pisang dengan harga RM1 berlauk sambal ikan selayang atau ikan basung (panggilan tempatan). Pelbagai jenis sambal ikan Amie pernah rasa, termasuk ikan kembung, ikan lumahan, ikan tenggiri, ikan alu-alu, ikan tongkol dan ikan tuna.  Sambal yang paling menggoda sudah tentulah sambal ikan tuna! Itu sebabnya kalau ada ikan tuna, Amie tak le
paskan peluang masak sambal makan dengan nasi kuning!
 
Bahan-bahan:
1 kg ikan tuna - potong ikut saiz yang digemari - bersihkan - lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
1/2 cawan parutan gula melaka
1 sudu kecil pati asam jawa
garam / perasa pilihan secukupnya
minyak
 
Bahan kisar:
30 biji cili kering - buang biji dan rendam dengan air panas / sejuk hingga lembut
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
1 labu bawang besar
2 cm belacan
1 batang serai - ambil isinya yang putih
 
Cara:
1. Goreng ikan tuna hingga hingga masak. Ketepikan.
2. Tinggalkan 1/2 minyak dalam kuali. Tumis semua bahan kisar menggunakan api sederhana.
3. Masukkan pati asam jawa dan gula melaka.
4. Masukkan ikan tongkol yang telah digoreng.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan secukupnya.
6. Padamkan api dapur.
7. Hidangkan bersama nasi kuning.

Kalau rajin, bolehlah buat serunding kelapa sebagai pelengkap nasi kuning.

Bahan-bahan:
2 cawan kelapa parut muda dan dibuang kulit arinya
3 sudu makan udang kering - rendam dan toskan airnya kemudian ditumbuk halus
2 ulas bawang putih - tumbuk
3 biji bawang merah - tumbuk
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar cili kisar
1 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil gula
3 sudu besar minyak

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah, dan cili kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang kering dan tumis lagi hingga wangi.
3. Masukkan kelapa parut , serbuk kunyit, garam dan gula.
4. Gaul rata dan balik-balikkan sehingga serunding menjadi kering.
 
Kalau tak ada serunding pun tidak apa. Kebanyakan restoran dan kedai makan di Sabah jarang menghidangkan nasi kuning yang dilengkapi dengan serunding. Yang menjadi kebiasaan ialah, nasi kuning dihidangkan dengan diiringi semangkuk sup panas! Haaa... yang ini Amie tak sediakanlah!

Tiada ulasan: