Amie sering keliru dengan istilah roast yang selalu disebut-sebut oleh orang kampung Encik Suami. Yang Amie faham roast bermaksud panggang. Selalulah Amie dengar orang kampung Encik Suami berkata : Masak daging roast. Masak ayam roast. Masak bebek roast. Masak sotong roast. Kesemua bahan yang Amie sebutkan itu sama ada direbus, kemudian digoreng atau dipanggang tetap dipanggil masak roast!
Sewaktu kenduri-kendara di kampung, sebuku daging direbus sehingga empuk. Kemudian dihiris nipis lalu dihidangkan atau diletak di atas nasi berkat. Mereka panggil daging masak roast. Seekor itik direbus hingga empuk, kemudian dilumur dengan lada putih tumbuk serta bahan perasa dan seterusnya digoreng. Itu pun mereka panggil roast. Sotong saiz besar, direbus bersama lada putih hingga kering airnya, itu juga dinamakan sotong masak roast!
Roast?
Orang-orang Cocos suka menamakan sesuatu makanan menggunakan nama orang yang menggemarinya. Misalnya kuih rempeyek di gemari oleh Nek Katek. Jadi nama kuih itu kuih Nek Katek. Seseorang yang bernama Nek Daim suka makan ikan temparing. Ikan temparing hilang digantikan dengan nama ikan Nek Daim.
Apa cerita dengan masak roast?
Menurut MIL dan FIL, tuan tanah Kepulauan Cocos-Keeling yang terdiri daripada keluarga John Clunies-Ross yang berasal dari Scotland sukakan makanan berasaskan daging yang direbus terlebih dahulu sebelum menikmatinya. Cara merebusnya pula dengan menggunakan api yang sederhana sahaja. Selain itu, selepas direbus empuk adakalanya bahan yang terdiri daripada daging, itik atau ayam akan digoreng atau dipanggang. Lebihan air rebusan yang pekat dan berminyak dijadikan sos.
Oh, rupanya masak Ross! Bukanya roast!
Ross bukannya roast!
Bebek Masak Ross |
Bahan-bahan:
- setengah ekor bebek @ itik yang sudah dibersihkan
- 2 liter air
- 3 ulas bawang putih - belah 2
- 1 labu bawang besar - belah 6
- 1 sudu kecil lada putih - tumbuk - boleh tambah jika suka lebih pedas
- 2 sudu besar sos tiram
- garam / perasa pilihan secukupnya
- Rebus itik @ bebek menggunakan api besar sehingga mendidih.
- Masukkan bawang putih, bawang besar dan lada putih.
- Perlahankan api dapur dan biarkan itik masak empuk serta bawang menjadi hancur.
- Kemudian tuangkan sos tiram, garam / perasa pilihan secukupnya.
- Setelah kuah hampir kering (pekat) padamkan api dapur.
- Keluarkan itik @ bebek dan hiris ikut citarasa.
- Tapi minyak, dan ambil kuah untuk dijadikan sos dan tuangkan ke atas hirisan itik @ bebek.
Cerita tentang Bebek @ Itik Masak Ross.