Ada seekor itik. Sudah siap dibersihkan. Sudah beberapa hari tersimpan dalam freezer. Setiap hari kalau muncul di dapur, Fuad akan tanya: Mommy panggang itikkah hari ini? Kalau kita sedang masak, ditanya lagi: Mommy masak itikkah? Kalau terbau aroma masakan di dapur, cepat-cepat dia menerpa dan bertanya: Itikkah itu?
Kita sebenarnya terfikir-fikir juga nak masak apa dengan itik nan seekor ini. Besarlah juga saiznya kalau sudah togel bersih tanpa organ dalamannya, berat mencecah 2.7kg. Apabila minta pandangan Encik Suami nak masak apa. Pangganglah sahaja jawapannya. Fuad menunggu itik panggang. Encik Suami kata pangganglah itik!
Akhirnya, siaplah Itik Panggang Sos Plum untuk hidangan malam kami.
| Itik Panggang Sos Plum |
| Hidangan malam : Peha itik panggang sos plum bertemankan kentang, bawang dan lobak merah panggang. Tambahkan sayur brokoli celur. |
Keluarga Encik Suami memang sukakan itik, tapi bukan itik panggang seperti yang Amie buat. Mereka akan rebus itik hingga empuk, kemudian lumur dengan lada putih dan bahan perasa. Selepas itu itik tadi digoreng. Antara ayam dan itik, mereka lebih menggemari itik.
Ada macam-macam cara untuk mengolah itik. Terpulanglah ikut selera dan citarasa masing-masing. Amie pun tidaklah mengikut resepi tertentu, hanya perap seketika dengan bahan-bahan yang mudah didapati di dapur seperti halia, bawang putih dan lada putih. Kemudian Amie campurkan dengan sos tiram, serbuk cili, serbuk kunyit dan Maggi Cukup Rasa. Amie tambahkan serbuk cili untuk dapatkan warna itik panggang yang cantik. Memandangkan itik panggang sedap diratah, Amie panggang juga kentang dan lobak merah. Jadi tak perlu masak nasi. Jom kita lihat resipi Itik Panggang Sos Plum di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 ekor itik bulat - lumur seluruh badan itik dengan 2 sudu besar garam halus - bilas hingga bersih - toskan
8 biji kentang - belah 2 dan rebus hingga empuk sedikit
2 batang lobak merah - buang kulit - potong dan belah 2 - rebus hingga empuk
sekuntum brokoli saiz kecil - celur hingga lembut - toskan
2 labu bawang besar - belah 2
1 cawan tomato ceri
Bahan pemerap:
5 ulas bawang putih + 4 cm halia - kisar halus
1 sudu besar serbuk lada putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar Maggi Cukup Rasa
4 sudu besar sos tiram
Campurkan kesemua bahan pemerap dan gaul sebati.
Cara memasak:
1. Panaskan oven selama 15 minit pada suhu 150'.
2. Lumur itik dengan 3/4 bahan pemerap. Letakkan di atas dulang pembakar. 1/4 bahan pemerap lumurkan pada kentang dan lobak merah rebus. Ketepikan.
3. Masukkan dulang itik ke dalam oven. Kentang dan lobak merah biarkan dahulu di luar oven.
4. Gunakan api atas bawah, dengan suhu 200'. Panggang selama 1 jam. Ketika ini lemak itik bertukar menjadi minyak. Boleh buang jika terlalu banyak minyak.
5. Keluarkan dulang itik dari oven. Susun kentang, lobak merah dan bawang besar ke dalam dulang itik.
6. Masukkan semula dulang itik ke dalam oven dan turunkan suhu ke 180'. Bakar lagi selama satu jam gunakan api atas bawah.
7. Untuk memastikan itik sudah masak sepenuhnya, cucuk bahagian itik seperti peha dan dada dengan garfu. Jika bahagian tersebut sudah lembut, bolehlah keluarkan itik dari oven.
Untuk menghasilkan sos cecahan itik panggang, Amie hanya campurkan Sos Plum jenama LIFE dengan sos cili Thai Maepranom Cap Ayam. Tambahkan sedikit air supaya sos tidak terlalu pekat dan masam masin. Kalau sukakan rasanya yang kuat, tak perlu bubuh air. Sudah bubuh sedikit air, didihkan seketika di atas api dapur. Siap!
Lobak merah menjadi pilihan anak-anak berbanding kentang. Mungkin disebabkan rasa lobak merah yang manis setelah dipanggang. Itu sebabnya Amie suka lebihkan lobak merah sebab ada raja lobak di rumah kami. Raja lobak itu merangkap raja ikan! Tak lain tak bukan Fuadlah tu. Oh ya! Raja ayam (Abang Farid) tak mahu makan itik panggang. Jadi Amie panggang ayam untuknya.
Buat peminat itik pangang, jom makan sama! Bismillah.