Bonda Teringin Makan Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam
12:54 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sewaktu Bonda berada di wad, Wak Aton kata Bonda tidak ada selera makan. Tiba-tiba pada hari kedua Bonda teringin makan keladi goreng. Amie ikuti segala perkembangan Bonda melalui WhatsAap Group keluarga. Mencarilah anak dan cucu keladi goreng sampai ke Setia Alam. Tidak jumpa. Kata mereka, ketika ada orang jual keladi goreng, tidak dipandang. Apabila perlu, tidak ada pula. Akhirnya Wak Aton kata, sudah jumpa keladi goreng di kampung. Dibawanyalah ke Hospital UiTM Puncak Alam.
Hari seterusnya Bonda hendak makan Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam. Wak Aton kata, suaminya gorengkan nasi dan hantar ke hospital. Alhamdulillah, melalui video yang dikongsi nampak Bonda sedang makan Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam.
Cerita tentang hati ayam, teringat pula zaman dahulu orang tua-tua larang anak-anak makan hati, jantung, mempedal, tongkeng dan telur muda. Kata mereka hanya orang tua-tua sahaja yang boleh makan. Kalau masak untuk kenduri, memang orang tertentu sahajalah yang boleh makan seperti nenek dan mak bidan. Kita pun tidak pernah persoalkan mengapa hanya golongan tertentu sahaja yang boleh makan. Cuma dalam hati berkata: Nanti apabila sudah tua bolehlah aku makan 'jerohan @ organ dalaman ayam'.
| Nasi Goreng Cekuk @ Cekur Manis dengan Hati Ayam |
| Hati Ayam & Cekuk @ Cekur Manis |
Tengah hari kelmarin, selesai sahaja aktiviti kokurikulum, Amie singgah di pasar beli hati ayam dan cekuk @ cekur manis. Sampai rumah, Amie terus ke belakang dapur petik cili padi putih. Nanti bolehlah dijadikan perencah nasi goreng.
Di Sabah, biasanya cekur manis tidak banyak daun. Cekur manis dipetik pada bahagian atas iaitu pucuknya yang lembut. Dalam gambar di atas menunjukkan pucuk cekuk @ cekur manis yang hanya dipetik dari pucuknya yang muda.
Gambar atas : Nasi Goreng CM & HA kelmarin.
Gambar bawah : Nasi Goreng CM & HA pagi tadi.
Bahan-bahan:
- 2 cawan nasi putih sejuk
- 5 ketul hati ayam
- 1 cawan cekuk @ cekur manis
- garam / perasa/ pilihan / stock ayam / perencah nasi goreng kampung
- 1 labu bawang besar - cincang
- 3 ulas bawang putih - cincang
- 1 tangkai cili merah / cili padi - ikut kepedasan yang diingini
- 3 sudu besar minyak
Cara memasak:
- Gaul hati dengan sedikit garam. Goreng hingga masak. Angkat dan toskan. Potong saiz kecil.
- Tinggalkan 3 sudu besar minyak dalam kuali.
- Masukkan bawang besar, bawang putih dan hirisan cili merah / cili padi.
- Apabila bawang sudah kuning keemasan, masukkan nasi sejuk. Gaul rata. Biarkan sehingga keluar sedikit asap.
- Masukkan bahan perasa pilihan secukuonya.
- Taburkan cekuk @ cekur manis dan juga hati ayam goreng.
- Gaul beberapa kali sehingga cekuk @ cekur manis berubah warna.
- Padamkan api dapur.
2 comments
Semuga bonda semakin berselera makan untuk menambah kan tenaga. Betul tu memori masakan waktu dahulu kadang satu kenangan yg tidak pernah pada. Aruah mak tak bagi makan bontot ayam Dan leher ayam. Kita punya lah tak berani nak makan sekali dah tersalah makan rupanya sedap leher ayam masak sup. Yg bontot pula paling berlemak.
BalasPadamEh kita terbalik pula kak 😄. Kalau dulu saat saya kecil, justru hati ayam, rempela, jeroan, itu anak2 yg banyak makan. Mama selalu paksa kami makan hati ayam. Tp mama dan papa tak makan. Mereka bilang utk anak2 saja Krn masih muda. Kalau dah tua, tak boleh makan jeroan , hati dan rempela. Sebab kolesterol 😄.
BalasPadam