5:19 PTG
Bismillahirrahmanirrahim.
Beberapa hari sebelum Bonda masuk Hospital UiTM Puncak Alam, Wak Aton telefon kita. Katanya Bonda tanya, cuti sekolah nanti Amie balik tak? Amie kata tak dapat balik sebab terpaksa laksanakan tugas Program Perkampungan Ilmu SPM. Wak Aton kata, malam-malam Bonda tanya. Mungkin Bonda rindu.
Setahun dua kebelakangan ini memang agak sukar hendak bercakap dengan Bonda kerana masalah pendengaran beliau. Kadang-kadang sewaktu pendengarannya jelas, dapatlah kami berbual di telefon. Akan tetapi selalunya pendengaran Bonda kurang jelas.
Selepas Bonda keluar dari hospital, Wak Aton bertanya lagi. Balik tak cuti sekolah nanti? Bonda tanya lagi katanya. Amie termenung,
Amie tidak mahu meninggalkan tanggungjawab di ladang, tetapi hati terlalu ingin pulang melihat Bonda. Bukan mudah untuk mendapat pelepasan dari pihak pengurusan ladang lebih-lebih lagi untuk program SPM. Maka Amie buat apa yang termampu. Perlahan-lahan Amie sediakan modul untuk pengisian program. Amie juga sediakan segala peralatan program yang diperlukan mengikut perancangan.
Siang dan malam Amie berdoa:
Ya Allah, bukakanlah jalan untuk aku pulang walaupun sekejap.
Seminggu sebelum cuti bermula Amie beritahu pentadbir tentang hasrat untuk pulang menziarahi emak. Amie beritahu, seboleh-bolehnya Amie akan sampai ke LD sebelum tarikh Program Perkampungan Ilmu dilaksanakan. Amie juga jelaskan, semua bahan persediaan termasuki modul untuk calon SPM dan segala peralatan sudah Amie sediakan.
Tidak disangka, kerana semua persediaan sudah lengkap Amie tunjukkan ada di atas meja, Amie dibenarkan bercuti sepanjang program dengan syarat ada ahli panitia yang boleh ambil alih tempat Amie.
Siapa yang akan mengambil alih tugas Amie? Rupanya Allah hadirkan seorang sahabat yang sudi membantu iaitu Jusna yang sanggup menjalankan sepenuhya program bagi mata pelajaran di bawah panitia Amie.
Lebih menyentuh, Jusna sendiri mempunyai program panitianya pada hari sebelumnya. Maknanya dia juga mempunyai tanggungjawab dan tentu sudah penat dengan urusan sendiri. Namun dia tetap bersedia mengambil alih tugas Amie. Syukur Alhamdulillah, rakan penoreh dari sesi petang juga turut sudi membantu. Terima kasih Razimah dan Fatmah!
Itulah jenis pertolongan yang mungkin nampak kecil kepada orang lain, tetapi sangat besar nilainya kepada Amie yang sedang berhajat pulang menemui Bonda. Dengan kata lain, mereka adik-adik Amie yang membantu membuka ruang untuk Amie pulang menemui Bonda.
Jusna, terima kasih banyak-banyak sebab sudi ambil alih tugas kakak. Kakak tahu awak sendiri baru selesai menguruskan program panitia awak sehari sebelumnya, tentu penat. Tetapi awak tetap membantu kakak tanpa banyak soal. Kalau bukan kerana kesudian awak, tentu hati kakak masih berat hendak pulang. Kakak sangat bersyukur Allah hadirkan awak ketika kakak benar-benar memerlukan bantuan. Jasa awak kepada kakak akan kakak ingat selalu.
Setelah yakin dapat cuti penuh, Amie minta Abang Farid uruskan tiket kapal terbang. Kalau boleh terbang dari LD - KK - KL. Pada mulanya Abang Farid kata harga tiket pergi balik lebih RM4K!. Dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada waktu malam, paling murah sahaja mencecah RM1700+++ sehala.
Benarlah, apa yang diuar-uarkan selama ini kenaikan harga tiket mencecah 200%!
Kemudian Abang Farid cuba cari tiket dari Tawau ke Kuala Lumpur. Pada mulanya dia bandingkan harga AirAsia dengan Batik Air. AirAsia mencecah RM900+++ sehala belum termasuk bagasi dan lain-lain. Itu pun terbang pada waktu malam. Terakhir, Abang Farid dapat harga RM1700+++ melalui penerbangan Batik Air. Tak apalah, Amie kena gerak ke Tawau melalui jalan darat.
Allah ya Allah...
Tiket yang pada mulanya lebih RM4,000 berjaya Amie dapatkan dengan harga yang lebih rendah. Urusan di ladang yang Amie khuatirkan pula dipermudahkan. Satu demi satu jalan terbuka. Rupanya rezeki Amie bukan sekadar tiket kapal terbang yang lebih murah. Rezeki Amie ialah masa bersama Bonda. Masa yang Amie sendiri tidak tahu berapa lama lagi Allah akan pinjamkan kepada Amie.
Tiket yang pada mulanya lebih RM4,000 berjaya Amie dapatkan dengan harga yang lebih rendah. Urusan di ladang yang Amie khuatirkan pula dipermudahkan. Satu demi satu jalan terbuka. Rupanya rezeki Amie bukan sekadar tiket kapal terbang yang lebih murah. Rezeki Amie ialah masa bersama Bonda. Masa yang Amie sendiri tidak tahu berapa lama lagi Allah akan pinjamkan kepada Amie.
Allah tidak mengangkat semua kesulitan sekaligus. Allah membuka jalan, satu demi satu. Amie hanya mampu ucapkan Alhamdulillah, Ya Allah.
Terima kasih kerana memberi kesempatan pulang. Terima kasih kerana memberi masa bersama Bonda. Terima kasih kerana menggerakkan begitu banyak hati untuk memudahkan perjalanan Amie. Dan terima kasih kerana menyedarkan diri ini bahawa ada perjalanan yang mahal tambangnya, tetapi terlalu berharga untuk ditukar dengan apa-apa pun.
Amie pulang bukan kerana tambangnya murah.
Amie pulang kerana masa bersama Bonda tidak ternilai harganya.
0 comments