Tiga Kali Berturut-turut Makan Nasi Ayam!
4:25 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, urusan keluar wad berjalan lancar pada hari Jumaat lepas. Aniz, anak buah datang ke hospital dan hantar kami sampai ke rumah. Sebaik masuk rumah, Encik Suami kata hendak makan nasi ayam stim. Pada ketika itu Fairuz bekerja di luar daerah. Balik waktu petang pula. Teringat Fuad yang sentiasa berpesan kalau hendak makan apa-apa beritahu sahaja dia. Nanti Fuad akan buat pesanan dalam talian. Jadi Amie pun beritahu Fuad keinginan Encik Suami hendak makan nasi ayam stim. Fuad kata kalau bab nasi ayam, Abang Farid memang pakar untuk membuat pilihan sebab memang itulah menu kegemarannya. Jadi Fuad minta Abang Farid membuat pesanan dan Fuad tukang bayarnya.
Entah mengapa, hari itu tiga kedai nasi ayam kehabisan nasi ayam stim padahal masih tengah hari. Encik Suami kata, tak apalah kalau tak ada ayam stim, ayam goreng pun bolehlah. Jadi, Abang Farid pesanlah dua bungkus nasi ayam goreng. Kami makan berdua sahaja, sebab Firdaus bersekolah.
Amie pesan dengan Fairuz, balik kerja nanti beli ayam segar sebab Amie hendak masak nasi ayam stim. Namanya saja 'stim' tapi sebenarnya rebus saja ayamnya itu. Nak kukus @ stim terpaksa ambil masa yang agak lama untuk daging benar-benar masak.
Encik Suami nampak berselera menjamah nasi ayam. Maklumlah hampir seminggu tinggal di wad dan makan makanan yang disediakan oleh pihak hospital.
Petang itu Amie gagahkan diri ke dapur dan masak nasi ayam. Separuh ayam digoreng dan separuh lagi terus tinggal dalam periuk rebusan hingga mask. Ayam rebus oitulah yang kemudian Amie cincang, bubuh minyak bijan dan taburkan hirisan daun ketumbar jawa.
Keesokan harinya, Amie masak nasi ayam lagi. Amie masak ringkas sahaja, dengan mengurangkan perasa seperti garam dan bahan perasa lain. Sewaktu masak nasi ayam, Amie tidak tumis bahan perencah bersama marjerin atau mentega tetapi terus masukkan air rebusan ayam sahaja. Maklumlah, diet Encik Suami kena kurangkan garam dan juga minyak.
| Nasi Ayam |
Walaupun menu nasi ayam agak ringkas tetapi tetaplah sedap. Encik Suami berkali-kali ke dapur apabila terhidu aroma ayam yang sedang direbus. Bau halia bercampur bawang dan daun pandan memang menggoda selera!
0 comments