Siput Kima Masak Lemak Cili Padi
9:25 PTG
Jom sembang main masak -masak sebelum tidur.
Hari ini sempat ke pasar setelah hantar Fairuz dan Firdaus ke sekolah.
Ke pasar sayur, beli kelapa parut, serai, cili merah dan kemudian ke pasar ayam, beli beberapa ketul dada ayam. Terakhir, kami ke pasar ikan tapi belum banyak yang dibuka sebab bekalan ikan belum tiba. Kami beli mana yang ada sahaja. Oleh kerana teringin nak makan ikan tamban goreng, jadi belilah sekilogram. Teringat zaman kanak-kanak sewaktu duduk di kampung, memang ikan tambanlah yang sering arwah Ayahanda beli selain ikan selayang. Al-Fatihah untuk arwah Ayahanda.
Selalunya Bonda akan goreng garing ikan tamban yang banyak tulang halus itu. Bonda akan kelar-kelas ikan tamban, jadi bila dimakan, tidak terasalah tulang yang banyak, sebaliknya terasa rangup dan hancur dikunyah! Tidak ketinggalan, masakan sayur kegemaran Bonda yang selalu digandingkan dengan ikan tamban goreng sudah tentulah kerbau pucuk ubi atau masak lemak pucuk ubi!
Manisnya kenangan itu bila sesekali dikenang!
Kali ini Amie kongsikan hidangan makan tengahari kami. Nak kongsi resepi ikan tamban goreng, sudah tentulah habis ceritanya, sebab hanya gaul garam dan kunyit dan kemudian goreng hingga garing. Jadi, Amie nak kongsi resepi Siput Kima Masak Lemak Cili Padi.
Selama ini Amie hanya masak tumis sahaja kalau ada siput kima, tetapi kali ini Amie ubah masakan. Hasil sembang-sembang dengan rakan sekerja yang sememangnya berketurunan Bajau, katanya siput kima sedap dimasak lemak selain masak tumis biasa. Maklumlah, siput kima ini memang terkenal sebagai salah satu hidangan tradisi dalam kalangan masyarakat Bajau pantai timur Sabah.
Tak dapatlah Amie nak kongsikan rupa ssebenar siput kima di sini sebab kami beli isi siput kima yang sudah dikeluarkan dari cengkerangnya. Siput kima ini merupakan sejenis siput yang besar dan lebih dikenali dengan gelaran siput gergasi. Gambar isi siput kima di atas ialah isi dari dua siput kima dengan harga RM10. He heee... tak tahu apa penjodoh bilangan untuk siput kima ini. Butir atau ekor?
Bahan-bahan:
2 (ekor?) isi siput kima - bersihkan dan potong ikut citarasa
1 cawan santan pekat ditambah dengan 1 cawan santan cair
3 batang kacang panjang - hiris serong
2 keping asam gelugor
2 batang serai - diketuk
1 sudu kecil serbuk kunyit
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
10 biji cili padi - jika suka pedas boleh tambah
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk kasar bersama serai hingga wangi.
2. Kemudian masukkan asam gelugor dan serbuk kunyit diikuti dengan kima.
3. Gaul rata dan biarkan sehingga keluar air kima. Gunakan api sederhana.
4. Setelah air tumisan kima hampir mengering, masukkan santan.
5. Masak sehingga santan mendidih, dan kemudian masukkan hirisan kacang panjang.
6. Akhir sekali perasakan denga garam / gula / perasa pilihan.
7. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
Jemput makan!
Selain ikan tamban goreng, Amie sediakan lato' dan sambal pencecahnya, serta mangga.
Ini dia Siput Kima Masak Lemak Cili Padi. Suka sangat Encik Suami makan!
Mangga tua yang belum masak ini rasanya masam-masam manis. Ya Allah... sedapnya bila Amie hiris-hiris, bubuh garam gula sikit, hiriskan bawang besar, dan perahkan jus limau kasturi!
Inilah ikan tamban goreng yang diidamkan! Tak berapa cantik hasil gorengannya sebab tak dihiris / kelar halus. Lagi pun saiznya yang agak kecil, malas pulak nak hiris-hiris...hiks!
Dan tidak dilupakan, semangkuk lato' untuk diratah!
Sekian cerita Siput Kima Masak Lemak Cili Padi merangkap cerita hidangan makan tengahari. Jumpa lagi dan selamat malam.
5 comments
First time sy dengar nama siput kima. Kejap lagi nak Google cmne..
BalasPadamLato pun xpernh cuba. Hukhuk
lepas baca pasal siput kima terus dana google nk tau macamne rupa dengan kulit... oooo dah nampak patut la di panggil siput gergasi...
BalasPadamsiput tu tak liat ye kak... sedap betul nampaknya tu...
Whelk Ada Jeni's siput laut. Bila Siang Bahamian Yang Putih. Kalau garam kunyit. Goreng dengan bawang chilli.halia asam sedap. Tak pun buat sambal tumis. Rasa Sama cam sotong Kering..
BalasPadamSedap betul..SA suka makan makanan mcm ni..siput kima tu baru sekali SA makan..rasa macam oyster...x sabarnya nak pi KK lagi makan seafood sedap2
BalasPadamSaya mengidam siput ni..macam mana nak beli yer
BalasPadam