Kapurung : Hidangan Tradisi Bugis
7:51 PTG
Sewaktu bermesyuarat selama 4 hari di Tawau, Amie nyatakan keinginan untuk mencari kapurung, sejenis masakan tradisi masyarakat Bugis. Setelah bertanya sana, dan sini akhirnya kami dapat maklumat ada sebuah gerai di Jalan Bantu, Tawau yang menyediakan hidangan ini. Gerai tersebut tidaklah jauh dari hotel penginapan kami. Jadi, sebaik sahaja tamat mesyuarat pada petang tersebut, kami berlima berjalan kaki mencari gerai yang dimaksudkan. Terlebih dahulu Amie beritahu sebenarnya Amie tak pernah makan kapurung, bahkan melihatnya di depan mata pun tidak sekali. Selama ini Amie hanya dengar perkataan 'kapurung' dari teman-teman keturunan Bugis sahaja.
Amie hanya mahu mereka temankan Amie merasa kapurung di situ, dan kemudian mencari restoran lain untuk makan malam, memandangkan kesemua mereka juga tidak pernah mengenali kapurung! Kami berlima ini kesemuanya lain-lain keturunan termasuk Jawa, Melayu, Dusun Lotud, Kadazan dan Cina.
Tiba di gerai yang dikenali dengan nama IBUK SHIMA KITCHEN, akhirnya kelima-lima kami memesan semangkuk kapurung untuk setiap seorang setelah diberi penerangan oleh empunya gerai.
Sibuklah kami tanya, kapurung itu diperbuat dari apa. Macamana nak makan bla blaaa... Dengan sabar dan penuh hemah kami dilayan oleh tuan gerai.
Inilah rupa kapurung yang Amie maksudkan. Bolehlah tanya-tanya Pak Google jika ingin mengetahui dengan lebih lanjut.
Menurut cerita teman-teman Bugis, kapurung ini lebih kurang 'ambuyat' juga, cuma bezanya ambuyat lebih kental kerana diperbuat daripada tepung sagu. Ambuyat dimakan bersama lauk-pauk, tetapi kapurung dicampur sekali dengan pelbagai lauk-pauk. Menurut empunya gerai, kuah kapurung terdiri dari sayur bening yang ditambah kacang tumbuk. Ada juga kuah yang dicampur dengan cebisan isi ikan atau ikan sardin dalam tin. Barangkali lain daerah, ada sedikit perbezaan dari segi penggunaan bahan.
Dalam semangkuk kapurung, selain bebola tepung kanji atau tepung sagu, ia ditambah dengan sayur bayam. Bagaimana pun tidaklah terhad ada kepada sayur bayam sahaja. Sayur lain pun boleh dimasukkan seperti kangkung, kacang panjang, cekur manis, putik jagung dan sebagainya. Kuah kapurung kami tidak mempunyai rasa ikan atau sardin dalam tin, dan barangkali itulah dibubuh ikan bilis goreng. Tidak ketinggalan, ditambah pula hirisan mangga muda.
Bila kita selak dengan sudu, di sebalik sayur bayam itulah bebola tepung kanji atau tepung sagu yang sudah mula larut dalam kuah. Yang nampak berbiji-biji menyelimuti sebahagian bebola tepung kanji itu ialah kacang tanah tumbuk.
Kapurung dimakan bersama sambal tomato. Rasanya tidaklah begitu pedas tetapi cukup menyelerakan sehingga kami meminta tambah!
Harga semangkuk kapurung ini ialah RM6.00.
Kami menikmatinya sehinggalah menjelang senja, dan hujan renyai mula turun!
Alhamdulillah, semua mangkuk akhirnya kosong, hanya tinggal sedikit kuah. Semua kawan-kawan menikmatinya dengan penuh selera, dan itulah makan malam kami untuk hari tersebut!
1 comments
Ini menarik dan memang patut cuba..SA pernah makan ambuyat sampai tersedak dan terekit..tak pandai makan..tapi x mematahkan semangat SA untuk mencuba
BalasPadam