Ikan Bilis Goreng
4:25 PTG
Hari ini sampai rumah lewat. Sampai depan pagar, bunyikan hon, Fuad keluar buka kunci pagar. Baru buka pintu kereta, Fuad dah tanya....
Kenapa Mummy lambat pulang?
Kan Mummy ada mesyuarat.
Saya lapaaarrr!
Dah! Amie pun tak banyak soal jawab dengan bujang satu ini. Kalau bab lapar, memang tak ada tolak ansur punya! Ada bahan makanan di dapur pun, kalau moodnya tak berapa cantik, dia tak mahu usik. Bukan tidak ada asam pedas ikan lebihan malam tadi yang disimpan dalam peti sejuk, nasi sejuk pun ada semangkuk bersebelahan asam pedas tadi. Boleh dia goreng kalau dia mahu. Asam pedas pun boleh dia panaskan. Roti dan biskut pun ada, tapi itulah... kalau dah kata gaya budak ni lain dari yang lain, memang betullah tu! Kalau nak makan segera, pergi sajalah menyeberang jalan, boleh terus ke KFC atau beli saja nasi bungkus atau mee goreng mamak kegemarannya. Tetap juga tak mahu! Mahu tak mahu, kita yang kena meluru terus ke dapur, singsing lengan baju dan mula bersilat! Apa pun silat yang Amie persembahkan jenis yang simple saja. Tak payah angkat segala periuk belanga. Sementara menunggu nasi masak dalam rice cooker, Amie panaskan lebihan asam pedas ikan. Amie tambahkan lauk dengan Ikan Bilis Goreng. Nak masak lauk lain nampaknya terpaksalah bujangku menahan lapar sampai ke petang.
Resepi Ikan Bilis Goreng ini Amie dapat sewaktu zaman remaja, ketika itu sedang menunggu panggilan nak masuk universiti. Jadi, sementara tiba hari yang dinanti banyaklah juga Amie belajar resepi masak-masak ni. Dengar namanya saja, tentu kita kata alahai... ikan bilis goreng je. Tapi tengoklah dulu apa bahan kita di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 cawan ikan bilis- bilas dan toskan
1 cawan hirisan ubi kentang
3 biji cili hijau - hiris nipis
5 biji bawang merah - hiris nipis
7 ulas bawang putih - hiris nipis
1 labu bawang besar - hiris nipis
2 cm halia - hiris halus
2 sudu makan kicap manis
1 sudu makan cuka
minyak
kacang tanah goreng - optional
Cara:
1. Goreng ikan bilis hingga garing (masak). Angkat dan ketepikan.
2. Goreng ubi kentang hingga garing (masak). Angkat dan ketepikan.
3. Ambil sedikit minyak bekas gorengan bahan di atas tadi, dan tumiskan halia, bawang putih, bawang merah, bawang besar serta lada hijau.
4. Apabila bahan gorengan kelihatan layu, angkat dan campurkan bersama ikan bilis serta kentang goreng tadi.
5. Gaul kesemua bahan dan hidangkan.
6. Renjiskan dengan kicap dan cuka di atasnya.
Wokeeyyy... Ikan Bilis Goreng dah siap! Fuad oooh! Fuad! Mari makan. Tak menyahut pulak! Rupanya tengah tidur. Amie pun cepat-cepat ambil gambar. Kebetulan atas meja ada kacang tanah goreng, ambil sajalah untuk tambah aksesori!
Mana Fuad tak bangun lagi ni....
Amie sempat kongsikan paparan Ikan Bilis Goreng ini sebelum meneruskan aktiviti seterusnya, tapi Fuad masih belum bangun.
Oh! Terdengar dia masuk dapur! Makanlah tu... opppps! Salah lagi! Dia goreng telur pulak!
3 comments
salam kak amie..
BalasPadammenu ni simple kan tapi boleh buat menambah nasi..heheh..
Nak semangkuk... meratah
BalasPadampembuka selera ni Amie..
BalasPadam