Asam Rebus Ikan
4:41 PTG
Menu sihat dan berkhasiat! Rebus-rebus saja, tapi tetap sedap dan menyelerakan. Anak-anak memang kurang berminat, jadi gorengkan saja mereka ikan. Amie dengan Encik Suami sajalah yang habiskan menu begini.
Amie sangat menyenangi sejenis masakan ikan yang sangat ringkas tapi sungguh menyelerakan, dan sudah tentunya resepi tersebut datangnya dari masyarakat Bajau. Seingat Amie, pertama kali Amie mencium bau masakan tersebut sewaktu Amie bercuti di Semporna iaitu di Pulau Bum Bum lebih 20 tahun yang lalu, di rumah teman sekerja. Mmmmmm..... nampak tu? Walaupun telah sekian lama berlalu, tapi Amie masih ingat sampai ke hari ini. Ibu teman sekerja Amie masak rebus ikan seperti yang Amie paparkan ini. Hanya serai yang diketuk, serta sedikit bawang serta garam sebagai bahan masakannya tetapi aroma yang Amie hidu ketika air rebusan ikan tersebut mendidih memang cukup membuat perut minta cepat-cepat diisi!
Ada lagi satu cerita tentang masakan rebus ikan ini. 3 tahun lepas, Amie sekeluarga bercuti di Kota Kinabalu. Entah kenapa, sehari sebelum bertolak pulang Amie rasa tak sedap badan dan hilang selera makan. Puaslah Encik Suami cadangkan tempat makanan yang sedap-sedap tapi hati Amie tak berkenan. Keesokan paginya sebelum meneruskan perjalanan pulang Encik Suami singgah di suatu tempat berhampiran pantai. Banyak gerai makanan di situ, tapi Amie masih juga tidak berselera untuk memesan apa-apa makanan. Makanlah Encik Suami bersama anak-anak. Ketika itu Amie terpandang seorang wanita yang sudah berumur sedang menghidangkan sesuatu kepada pelanggan di gerai makan bersebelahan dengan gerai tempat kami duduk. Aroma hidangan tersebut serta merta menusuk ke hidung, dan Amie tahu ia adalah ikan rebus seperti yang pernah Amie makan di Pulau Bum Bum! Dan tidak salah lagi, gerai tersebut sudah tentu pemiliknya dari kaum Bajau sebab Amie lihat tempat makanan di situ dipenuhi dengan putu, tompek dan kilau! Amie pun terus memesan hidangan ikan rebus dan rupanya ada banyak jenis ikan dimasak dalam periuk yang sama termasuk ikan putih, ikan kerapu dan tidak ketinggalan ikan belais.... ikan seperti dalam gambar!
Bahan-bahan:
4 ekor ikan belais (ikan apa pun boleh) - bersihkan
1 biji cili merah - belah 2
1 biji cili hijau - belah 2
1 kuntum bunga kantan - belah 2
1 keping asam gelugur
1/2 sudu teh serbuk kunyit
600ml air
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
1 biji cili merah
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
Cara:
1. Masukkan semua bahan kisar ke dalam periuk. Tambahkan air dan asam gelugur.
2. Didihkan bahan dalam periuk tadi, dan kemudian masukkan serbuk kunyit, ikan, cili merah, cili hijau dan bunga kantan.
3. Apabila ikan telah masak, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
4. Padamkan api dapur.
5. Hidangkan panas.
3 comments
As Salam Amie,
BalasPadamSaya pun menggemari masakan ikan rebus begini. Tak perlu lauk lain pun tapi my husband memang tak pandang la.
As salam,
BalasPadamSedap nyer nampak lauk ni. Nnt nak cuba resepi Amie
macam tau2 je...tgh cari resepi ni mcm mak punya..
BalasPadam