ADSENSE

Ahad, 22 Julai 2012

Iftar Hari Ke 2 : Pecal Bukit Hijau

Assalamualaikum.


Mengimbau kenangan lalu waktu bersama keluarga di Kampung Bukit Hijau! Hidangan pecal ini Amie sediakan mengikut resepi yang biasa digunakan oleh bonda dan orang kampung. Pecal ini bukan bernama Pecal Bukit Hijau tetapi Amie menamakannya sedemikian kerana dari kecil Amie sering menemui menu ini sehinggalah ke hari ini di kampung Amie. Dahulu, sekiranya ada pertunjukan wayang kulit di majlis berkhatan atau majlis kahwin, orang kampung akan datang berduyun-duyun untuk menyaksikan persembahan tersebut. Oleh kerana persembahan ini berlangsung hingga ke pagi, ada penjaja kecil berjualan berhampiran tempat tersebut dan salah satu makanan yang dijual sudah semestinya pecal! Dan, ketika temasya sukan di adakan di sekolah, pecal tetap ada dijual! Apa yang tidak dapat Amie lupakan dalam menu pecal tentulah kuah sambalnya yang manis-manis pedas dengan bau kencur, daun ubi celur, nangka muda dan taugeh. Itulah sayuran utama yang mesti ada dalam pecal. Taugehnya pula bukanlah taugeh yang panjang-panjang yang kita gunakan sekarang tetapi kacang hijau yang baru mengeluarkan ekor tunas. Orang kampung kami buat sendiri taugeh tersebut! Rasanya enak, rangup dan lemak! 


Pecal memang sinonim dengan hidangan tradisional masyarakat Jawa. Menurut Wikipedia Ensiklopedia Bebas, makanan ini sudah wujud sejak zaman penjajahan Belanda. Ini dapat dibuktikan dengan adanya menu ini di Suriname, iaitu satu wilayah bekas jajahan Belanda. Sebenarnya, pebagai ulaman boleh dipelbagaikan selain yang Amie sebutkan di atas. Ia bergantung kepada kemampuan dan citarasa masing-masing kerana ada juga yang menambah sayur pucuk paku, sayur kangkung, betik muda, nasi himpit dan juga tauhu serta tempe. Biar sayur apa pun yang digunakan, pecal merupakan hidangan yang menyihatkan! Untuk membezakan pecal yang benar-benar asli, sudah tentulah berdasarkan cara penyediaan kuahnya. 


Kuah pecal terdiri daripada kacang tanah, bawang merah, bawang putih, ubi cekur atau kencur, cili kering, belacan dan asam jawa. Jika inginkan rasa yang lebih pedas, bolehlah tambah beberapa biji cili padi. Kesemua bahan tadi hendaklah digoreng terlebih dahulu dan kemudian ditumbuk. Kacang tanahnya pula ditumbuk hancur tetapi tidak terlalu lumat. Hasilnya, kuah pecal ini berbau wangi! Jom kita lihat resepi Pecal Bukit Hijau di bawah ini:

Resepi : Pecal Bukit Hijau
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cekak pucuk ubi - dicelur
1 cekak kangkung - dicelur
7 batang kacang panjang - potong 4cm dan dicelur
1 mangkuk taugeh - dicelur
1/4 biji nangka muda saiz kecil - dicelur
2 biji tauhu - potong 2 dan digoreng, kemudian dipotong ikut saiz yang dihendaki
1 keping tempe - potong  12 dan digoreng
1 biji timun - hiris

Bahan-bahan untuk kuah pecal:
400 gram kacang tanah - goreng dan toskan minyaknya
12 biji bawang merah - goreng
7 ulas bawang putih - goreng
4 ketul ubi cekur / kencur - goreng
15 tangkai cili kering (jika suka pedas boleh tambah cili padi) - goreng
asam jawa sebesar ibu jari - bancuh dengan sedikit air masak dan tapis
belacan sebesar ibu jari - goreng
garam dan gula secukup rasa
air suam secukupnya

Cara:
1. Tumbuk kacang tanah hingga hancur tetapi jangan sampai lumat. Ketepikan.
2. Tumbuk cili merah, bawang putih, bawang merah, belacan dan ubi cekur hingga lumat. (Amie kisar sebab tak larat nak tumbuk).
3. Campurkan kacang tanah tumbuk bersama bahan kisar tadi ke dalam satu mangkuk.
4. Masukkan bancuhan air asam jawa, garam dan gula secukupnya. Gaul sebati.
5. Masukkan air suam dan gaul lagi mengikut kepekatan yang dikehendaki.
6. Hidangkan bersama bahan ulam-ulaman yang disediakan.


Terima kasih bonda! Terima kasih kerana selalu menyediakan hidangan yang menyihatkan ini sewaktu kami kecil dulu! Sehingga ke hari ini anakanda masih terasa betapa enaknya hasil air tangan bonda ketika menyediakan pecal! Hari ini kami berbuka puasa dengan Pecal Bukit Hijau. Walaupun hanya Amie dan Encik Suami sahaja yang meratah pecal ini, namun anak-anak turut membantu melicinkan kuahnya!


13 ulasan:

Temuk berkata...

Waduuuh! Juadah PBH itu, Ayah pasti enak banget-banget. Memang PBH tu makanan sihat. Lagi terasa kencurnya, lagi hebatlah 'kick'nya. Gaya persembahan juadah Amie sentiasa kelimis bener!

FnF Simple Life berkata...

Sedapnye pecal... memang best lah dapat berbuka ngn pecal. As usual juadah kak Amie sentiasa memikat selera saya... bw sekali juadah2 kak Amie yang saya tertinggal keretapi sebelum ni... hmmmm... semua sedap2...

ibundo berkata...

Selamat menjalani ibdah puas amie.
Bibik bundo orang jawa. Dia selalu buat pecal. Taugenya juga ditanam sendiri. Pendek-pendek dan rangup.

sury_masury berkata...

Salam cikgu...rajin mengupdate...laju je dia....:-)
Kite jarang2 buat n makan pecal ni...nnti blh lh try resepi cikgu ni..:-)

Azie berkata...

I suka ni. Tapi dulu, maid selalu buatkan. Skrg kurang rajin nak membuatnya sebab byk bahan digunakan. Kat mana boleh beli made kuah pecal ya. Nak order lah

Rohah berkata...

waduh enak ei, kalau makan ni tunduk khusyuk je tau...laju jr ngunyahnye kan...siap ngan kuah buat sendiri tu..

Anum Shukri berkata...

sedap nampak menu tu..tp tak pernah makan lah..

quinnie berkata...

alamak aiii....sedapnya tengok kuah pecal akak ni...ingatkan beli kuahnya..rupanya buat sendiri..rajin betul..:)

akak..kacang2 tu semua akak goreng tanpa minyak ke apa ye? saya dulu pernah cuba buat sendiri...tapi tak berapa nak jadik...heheheh

Delima Zamrud berkata...

wahhhh pebret D5 nie sedap tul nampak nyer :D

Amie berkata...

Ayah Temuk,
Sekarang pecal sudah dipelbagaikan, betul tak Ayah. Ada yang kurang menyenangi bau kencur, jadi bahan ini ditiadakan dalam penyediaan kuahnya. Apa pun pecal memang menu menyihatkan.

FnF Simple,
alhamdulillah.... tercapai juga objektif untuk kongsi resepi & memeriahkan dunia masakan tanahair kita.

Ibundo,
Bonda Amie pandai buat taugeh kenit tu, tapi kalau Amie buat, banyak kali tak menjadi!

Amie berkata...

Sury,
kalau berdekatan dengan orang yang jual pecal, boleh beli ye Sury, tapi di tempat kami tak ada orang jual pecal, kalau gado-gado ada dijual, tapi kuah dan bahannya berbeza sedikit dengan pecal.

Azie,
kalau di tempat Azie, mungkin ada dijual di pasar malam, sebab di kampung Amie memang di jual di situ.

Rohah,
kuah buatan sendiri memang sedap Rohah... maklumlah kuah original, siap goreng semua benda, harum lagi tu...

Amie berkata...

Anum Shukri,
ada yang tak makan disebabkan tidak biasa dengan kuahnya yang mengandungi ubi kecur.

Quinnie,
kacang tanah digoreng gunakan minyak, tak payah buang kulit, tumbuk saja tapi jangan sampai lumat, supaya rangupnya kacang dapat dinikmati semasa makan dengan ulam-ulaman itu.

Delima Zamrud,
alhamdulillah... pilihan menu yang menyihatkan!

myda_ahmad berkata...

pecal mmg sedap lg2 kalau ada cekur,mmg baulah aroma cekur tu.....thn lepas beli kt bazar ramadhan je...tp x de cekur tu yg x best tu.....