Menu Jaga Orang Sakit
3:25 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Akhirnya kita pun tidak tahu hendak masak apa dan hendak makan apa untuk isi perut sendiri. Tadi sudah keluarkan ikan tilapia merah untuk dinyahbeku. Tengoklah petang ini, hendak diapakan ikan itu. Kalau tak jadi masak, masukkan semulalah ikan dalam freezer. Bonda kata, tak mahu makan ikan.
Nampak secekak kangkung yang sudah mula kuning daunnya dalam peti sejuk. Kita keluarkan. Hendak dibuat apa? Rasanya Bonda tidak mahu makan lagi sebab sudah makan Nasi Goreng Hati dengan Cekok Manis kali kedua. Itulah makanan tengah harinya.
Teringat baki sotong kembang yang Amie celur kelmarin. Amie keluarkan dari peti sejuk. Sedap agaknya kalau diolah jadi sotong kangkung. Tapi tidak ada sosnya pula. Eh, beberapa hari lepas Wak Kanang bawa keropok dan sambal pecal yang hanya perlu dibancuh. Agaknya boleh juga dijadikan kuah sotong kangkung!
Sedap pula Sotong Kangkung Sambal Pecal. Tak perlu tambah apa-apa bahan. Hanya tambahkan air panas dan gaul sebati sambal pecal itu. Cukup rasa! Kalau hendak lebih rasa masam, bolehlah perahkan jus limau kasturi. Macam hendak cari pula sambal pecal yang Wak Kanang bawa dari Surabaya ini! Lain pula sedapnya berbanding sambal pecal lain yang pernah Amie beli.
| Sotong Kangkung Sambal Pecal |
| Ikan Bilis Goreng |
Amie sediakan lauk yang ringkas-ringkas sahaja untuk dimakan dengan nasi putih. Amie goreng ikan bilis dengan halia dan bawang merah. Setelah diangkat dari kuali Amie renjiskan kicap lemak manis dan renjiskan sedikit cuka. Walaupun tidak ada lauk lain, memang menambah nasi dalam pinggan! Apalagi kalau ada saudara ikan bilis di bawah ini, telur goreng mata!
| Telur Goreng Mata |
Dan cukup sempurnalah dengan kehadiran sambal yang Wak Aton hantar di bawah ini. Alhamdulillah.
| Sambal Wak Aton |
Sotong Kangkung Sambal Pecal masih berbaki di bawah tudung saji. Kalau Adik Wi atau sesiapa datang, bolehlah pelawa makan. Kuah pecal itu yang mahal...sebab sedap sangat!
| Sotong Kangkung Sambal Pecal |
Ketika menjaga Bonda, kadang-kadang kita lupa waktu Bonda makan ubat! Selalu juga Bonda yang ingatkan kita untuk ambilkan air dan ubat. Satu lagi, kita pun terlajak masa waktu hendak bancuhkan susu. Issshhh.... apalah yang mengganggu fikiran ya! Kadang-kadang Amie terfikir, bagaimana keadaan Amie di saat tua dan uzur nanti?
Apabila Bonda banyak minum air, basahlah lampin pakai buangnya sebab penuh hingga terkeluar meresap ke lapik atas tilam. Jadinya Bonda kenalah mandi untuk bersihkan diri. Wak Aton kata kalau Bonda mampu berjalan ke bilik air, ikutkan saja dari belakang. Kita sediakan tuala dan kain ganti. Nanti pakaikan lampin pakai buang yang baharu.
Begitulah ceritanya.
Banyak pengalaman yang Amie kutip sepanjang menjaga Bonda.
Ya Allah, aku tidak tahu bagaimana akhir perjalanan hidupku. Tetapi aku mohon, apabila aku semakin tua, jangan Kau jadikan hatiku sunyi daripada-Mu. Jika tubuhku lemah, kuatkan jiwaku. Jika aku memerlukan bantuan, kurniakan aku orang-orang yang ikhlas. Dan jika aku keseorangan, jadikan Engkau sebaik-baik teman.
8 comments
Sedap tengok menu yang kak Amie masak. Saya sudah lama tak makan sotong kangkung. Ada ikan bilis goreng dan telur goreng saja pun, sudah rasa selera nak makan nasi. Semoga kak Amie terus kuat menjaga Bonda. 🤲
BalasPadamuniknya sotong kangkung sambal pecal ni. rasa terliur pulak tengok, dah lama tak makan pecal. semoga dipermudahkan urusan akak menjaga bonda
BalasPadamKak Amie masak telur mata je pun nampak menarik sangat, pandai letak hiasan.
BalasPadamSayu baca doa di hujung entri tu.
Terliur tengok sotong kangkung tu Kak Amie...
BalasPadamHarapnya kebaikan yg kita beri, kebaikan juga akan kembali.
Menjadi je olahan menu kak Amie. Ada beli juga sambal pecah bancuh sendiri di TT pun sedap juga. Senang bancuh je dengan air dan masakkan atau campur air panas.
BalasPadamIkan bilis goreng tu makan dengan bubur sedapnya. Makan dengan nasi panas pun sedap. saudara ikan bilis tu wajib ada bersama, tak boleh berpisah. lagilah berselera makan kak Kak Amie.
Menjaga orang sakit ni secara tidak lansung membuatkan kita berfikir bagaimana kita akan datang. Tapi kita serahkan semuanya pada Allah. Semoga kebaikan yang kita lakukan harini, Allah akan membalas dengan segala kebaikan juga buat kita. InsyaAllah. Aamminn...
Waaah penasaran apa merk sambal pecel Surabaya nya kak? Nak cari di siniii. Tp memang bumbu pecal dark Surabaya atau kota2 Jawa timur lain memang sedaaaap semua. Pecal Madiun, pecal Kediri, saya sukaaa.
BalasPadamBelum pernah buat kangkung sotong begini. Jadi teringin juga 😍
Memang kompom bertambah nasi la jika menu ringkas tapi sedap macam ni. Untung skrg dah siap kuah pecal, tinggal tambah air, sediakan sahaja bahan utama ya, senang pulak tu bahan pun dah ada.
BalasPadamKak Amie ambil giliran jaga bonda, dapatlah masing² melepasi rindu.
Alhamdulillah, dapat juga amie pulang untuk menjaga Bonda..
BalasPadamlinda aminkan doa di penghujung entry.. semoga yang baik2 untuk linda juga..aamin