Serabai Pisang Kuah Santan Gula Melaka
8:05 PTGBismillahirrahamanirrahim.
Petang tadi Amie cuba buat serabai pisang. Sudah lama juga teringin hendak menikmati kuih tradisional ini, tetapi kali ini Amie cuba sedikit kelainan dengan memasukkan nasi, pisang dan kelapa parut ke dalam adunan. Daun pandan pula Amie kisar bersama nasi dan santan supaya aromanya lebih harum.
Alhamdulillah, serabai menjadi seperti yang diharapkan. Lembut di dalam, sedikit garing di bahagian bawah dan penuh dengan lubang-lubang kecil. Harum pandan dan pisang bercampur dengan rasa lemak kelapa.
Untuk menikmatinya, Amie sediakan kuah santan gula Melaka yang lemak, manis dan sedikit masin. Kelapa parut sebenarnya Amie cadang hendak sangai dahulu, tetapi tangan ligat di dapur sampai tidak sempat. Akhirnya Amie letakkan sahaja kelapa parut putih di atas serabai sebagai hiasan, bersama hirisan pisang. Untuk rasa lebih lemak, Amie gaul kelapa parut dengan secubit garam.
Yang paling menggembirakan Amie petang tadi bukanlah rupa serabai, tetapi melihat Encik Suami makan dengan begitu berselera. Amie hanya mengambil sekeping untuk makan bersama kuah. Biarlah Encik Suami makan lebih banyak. Sewaktu memasak serabai, Amie sudah sempat makan dua keping, kononnya hendak merasa hasil masakan, tetapi sebenarnya susah juga hendak menahan diri apabila serabai masih panas-panas keluar dari kuali.
Amie tidak mempunyai acuan serabai, jadi gunakan sahajalah kuali yang ada. Jadinya, serabai nampak besar gedabak! Bagus jugalah, jimat masa di dapur dan cepat siap walaupun serabai bersaiz gajah... ahaks!
Amie hanya gunakan tiga biji pisang sahaja untuk ditambah dalam adunan. Letak lebih takut adunan menjadi berat pula. Silap-silap jadi lempeng.... ahaks!
| Pisang Berangan |
Jangan tak tahu, Amie kalau di dapur memang sembarangan saja. Kalau masakan menjadi, Amie kongsikan. Kalau sebaliknya, Amie diam-diam saja. Biasanya dalam adunan serabai tidak bubuh tepung gandum, tapi Amie bubuh pula. Tak banyak, 1/4 cawan saja. Saja hendak melihat apa hasil kejadiannya. Sukatannya pun ikut cara kampung-kampung saja. Jangan marah ye kalau cara penyediaannya tidak sama seperti orang lain buat. Daun pandan pun main sumbat saja, kisar dengan nasi dan santan. Kalau rajin buatlah jus pandan. Kalau tak berapa rajin, bubuh sajalah pewarna hijau pandan.
Jika inginkan aroma pisang lebih menyerlah, bolehlah tambahkan esen pisang. Amie tak bubuh. Biarlah serabai pisang betul-betul bau pisang original.
Bahan adunan:
- 1 cawan nasi putih sejuk
- 1½ cawan tepung beras
- ¼ cawan tepung gandum
- 3 biji pisang berangan
- ½ cawan kelapa parut putih, sebaiknya kelapa muda
- 1½ cawan santan cair
- ½ cawan air suam
- 2 sudu besar gula
- ½ sudu kecil garam
- 1 sudu kecil yis mauripan
- 1 helai daun pandan
- Kisar nasi bersama santan, air suam, pisang dan daun pandan sehingga benar-benar halus.
- Tuangkan ke dalam bekas. Masukkan tepung beras, tepung gandum, gula, garam dan yis.
- Kacau hingga sebati.
- Akhir sekali masukkan kelapa parut dan gaul.
- Tutup adunan dan peram 1½–2 jam di tempat yang suam. Adunan sepatutnya kelihatan sedikit berbuih.
- Selepas diperam, kacau perlahan. Jika adunan terlalu pekat, tambah 1–3 sudu besar air atau santan. Jangan terlalu cair.
- Panaskan acuan serabai/kuali kecil dan sapu sedikit minyak.
- Tuangkan adunan, tutup dan masak dengan api kecil hingga sederhana. Apabila permukaan berlubang dan bahagian bawah keemasan, angkat.
Untuk adunan ini, Amie dapat 10 keping serabai saiz besar.
| Serabai Pisang Kuah Santan Gula Melaka |
Kuah Santan Gula Melaka
Bahan-bahan:
- 1 cawan santan sederhana pekat
- 150 g gula melaka, dihiris kecil
- 1- 2 sudu besar gula pasir - ikut tahap kemanisan yang disukai
- 1 cawan air
- 1 helai daun pandan - disimpul
- ¼ sudu kecil garam
- 1 sudu besar tepung jagung + 2 sudu besar air - untuk memekatkan kuah
Cara memasak:
- Masukkan gula Melaka, gula pasir, air dan daun pandan ke dalam periuk.
- Masak sehingga gula melaka larut. Tapis untuk membuang kekotoran gula melaka.
- Masukkan semula air gula ke dalam periuk.
- Tuangkan santan dan masukkan garam.
- Masak dengan api kecil, sambil dikacau perlahan. Jangan biarkan mendidih kuat supaya santan tidak pecah.
- Bancuh tepung jagung dengan 2 sudu besar air.
- Tuangkan sedikit demi sedikit ke dalam kuah sambil dikacau.
- Masak sehingga kuah sedikit pekat dan berkilat. Tutup api.
| Bismillah |
| Serabai Pisang |
Jemput makan Serabai Pisang Kuah Santan Gula Melaka.
1 comments
Kecur air liur tengok kuih serabai Kak Amie ni.. Sedapnya..
BalasPadam