Stor Yang Lapang, Hati Yang Sayu
12:24 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sebenarnya agak lama juga mengambil masa untuk menulis entri bertajuk Stor Yang Lapang, Hati Yang Sayu. Mudah-mudahan luahan rasa di hari Jumaat ini dapat meredakan perasaan yang masih belum dapat menerima sepenuhnya hal yang telah berlaku.
Aduhai! Setiap helaian dari kulit ke kulit bukan sekadar kertas. Ia pernah menjadi teman waktu sunyi. Pernah menjadi rujukan ketika mula belajar menghias rumah pertama. Pernah menjadi panduan ketika Amie mahu mencuba resipi baharu untuk keluarga. Antara majalah dekorasi dan majalah resipi, ada halaman yang bertanda. Ada resipi yang pernah ulang baca berkali-kali. Ada gambar ruang tamu yang pernah Amie jadikan impian.
Namun bagi Encik Suami, itu semua hanyalah timbunan lama yang memakan ruang. Katanya, stor sudah terlalu semak. Dunia sekarang di hujung jari. Segalanya boleh dicari dalam telefon. Ada benarnya kata-kata itu. Rumah memang terasa lebih lapang selepas majalah-majalah itu pergi. Tetapi entah mengapa, hati terasa sedikit kosong.
Apabila Encik Suami mengambil keputusan menjual majalah-majalah lama itu kerana stor rumah sudah penuh dan katanya lagi majalah itu sudah lama dan tidak lagi digunakan. Amie cuba memahami alasannya, tetapi jauh di sudut hati tetap terasa sedih. Bagi Amie, majalah itu bukan sekadar kertas lama. Ia adalah bukti usaha, minat memasak dan kenangan perjalanan kecil Amie dalam dunia resipi.
Akhirnya Amie akur, buanglah atau juallah majalah-majalah lama itu tetapi pastikan asingkan majalah yang terkandung resipi Amie's Little Kitchen di dalamnya. Resipi yang pernah diterbitkan tetap menjadi sebahagian daripada cerita hidup Amie. Ia mengingatkan bahawa suatu ketika dahulu, hasil masakan dari dapur kecil Amie pernah mendapat tempat di halaman majalah terkenal di tanah air.
Oh, sudah tentulah perasaan sedih itu wajar, berhari-hari juga masih rasa terkilan. Sebelum lori datang mengambil kotak-kotak berisi majalah, Encik Suami berjaya mengasingkan 16 buah majalah masakan yang menyiarkan resipi Amie. Hal ini kerana ada kenangan peribadi di situ, setiap terbitan mengingatkan detik ketika menyiapkan resipi, mengedit gambar, menulis resipi, menghantar hasil untuk diterbitkan dan keterujaan seperti terbang ke bintang apabila resipi terbit dalam majalah!
Bagi Amie 16 kali tersiar bukan perkara kecil, tapi itu tanda pengiktirafan bakat memasak kita dihargai. Ia juga sebagai bukti perjalanan hidup bahawa majalah itu seperti arkib perjalanan diri ini sebagai penulis resipi. Setiap kali 10 resipi disiarkan dalam majalah, Amie akan terima bayaran sebanyak RM400.00. Seronoknya waktu itu bukan semata-mata dapat bayaran, tapi disebabkan resipi yang tersiar!
Barangkali Encik Suami melihatnya dari sudut yang berbeza seperti merasakan stor semakin sempit dan majalah lama nampak menimbun, menganggap majalah lama tidak lagi digunakan dan tidak menyedari nilai sentimental yang besar kepada Amie. Ya, Encik Suami melihatnya sebagai barang, tetapi Amie melihatnya sebagai kenangan hidup.
| Gambar Firdaus dalam majalah sewaktu kecil. |
6 comments
Majalah SAJI & RASA dulu pun Cie selalu beli. Dah selamat terjual juga ke kedai recycle. Kalau ada kenangan resipi kita dalam tu memang kena simpan sebagai kenangan kita.
BalasPadamDah lama tak beli majalah. Dulu rajin juga seperti Jelita Wanita. Rasa dan Impiana pun ada juga. Amie lagi lah ada resepi yang disiarkan yang menjadi kenangan. Kita ni orang perempuan suka mengenang masa lalu tapi orang lelaki kadang macam takde perasaan je kan. Saya pun kadang barang yang di sayang bila kena buang huhu. Tapi akhirnya kena redho lah juga bila anai-anai mula menjahanamkan.
BalasPadamSama le dulu suka baca Enid Byton. Lepas tu macam berangan kalau dapat pi obersea bestnya. Sebab tu bila ada rezeki pi UK Ya Allah macam Allah makbulkan doa saya walaupun tak dapat panjat pokok epal tapi memetik buah dia pun jadi kenangan. Pokok epal tu besor tinggi.
BalasPadamKoleksi novel tu pun banyak juga. Macam nak kena sisih dan sedekah kat orang je. emm tapi mana yang suka kadang sayang je padahal nak baca sekarang godaan HP tak boleh tahan.
BalasPadamDana pun dulu rajin beli majalah rasa tau amie... mesti ada juga hasil resepi amie dalam tu kan. Sedih lak baca, yang ada gambar n cerita pasal masakan amie sorok la janganla buang... atau keluarkan helaian tu pastu jadikan buku lain. Sayang tu.
BalasPadamSedih juga rasanya tapi bila sudah terlalu banyak terpaksalah dilepaskan.
BalasPadam