Solat Jamak Takdim di Masjid Hassan II
9:47 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Pada hari pertama di Morocco, kami berlegar-legar di sekitar Casablanca sehingga menjelang petang. Nama asal Casablanca dalam bahasa Berber ialah Anfa yang bermaksud bukit. Nama Anfa ini digunakan oleh orang tempatan, dan penutur Berber, penduduk bandar sehingga tentera penjajahan Perancis memasuki bandar tersebut pada tahun 1907 dan menggunapakai nama Sepanyol : Casablanca.
Hari ini, alah satu mercu tanda yang dapat dilihat di Casablanca ialah dengan adanya Masjid Hassan II. Masjid yang indah ini memiliki menara tertinggi di dunia dengan ukuran 210 meter. Namun begitu, ketinggian menara Masjid Hassan II bakal dikalahkan oleh dua buah masjid yang sedang dalam pembinaan di Teheran, Iran, dengan ketinggian 230 meter.
Sumber : Hassan II Mosque |
Sumber : The Hassan II Mosque in Casablanca |
Sumber : The Hassan II Mosque in Casablanca |
Masjid Hassan II (Grande Mosquée Hassan II) merupakan masjid kedua terbesar di Afrika dan dikatakan ke-14 terbesar di dunia. Masjid ini mula dibina pada tahun 1986 dan disiapkan pada tahun 1993 melalui rekaan Michel Pinseau di bawah bimbingan Raja Hassan II dan dibina oleh tukang-tukang Maghribi dari seluruh kerajaan. Menara setinggi 60 tingkat di atasnya mempunyai laser, cahayanya diarahkan ke Makkah. Masjid Hassan II berdiri di atas tanjung yang menghadap ke Lautan Atlantik. Dindingnya disempurnakan dengan menggunakan marmar buatan tangan dan bumbung boleh ditarik balik. Maksimum 105,000 jemaah boleh berkumpul untuk solat iaitu 25,000 di dalam dewan masjid dan 80,000 lagi di luar masjid.
Sumber: Masjid Hassan II
Selain melawat Masjid Hassn II, kami berkesempatan untuk menunaikan solat jamak taqdim. Waktu zohor pada pukul 1:40 petang tetapi jangkamasa berada di dalam masjid perlu dipatuhi iaitu hanya berada selama 30 minit sahaja di dalam masjid selepas masuk waktu solat. Biasanya masjid terbuka sepanjang waktu untuk para pengunjung, tetapi di sini tidak! Setiap kali hendak masuk waktu solat, masjid dibuka tetapi selepas 30 minit masjid ditutup kembali.
Oleh kerana tidak sempat mengambil gambar masjid dari sudut yang bersesuaian, Amie kongsikan sahaja gambar masjid dari koleksi Pak Google. Kebetulan pula ketika itu hujan turun renyai-renyai. Nampak latar belakang Masjid Hassan II kelam oleh mendung, awan kelabu menutupi langit biru.
Gambar masjid di atas dan di bawah ini merupakan rakaman yang sempat Amie ambil. Oleh kerana kami hanya diberikan masa selama 30 minit, tidak sempatlah meninjau segala sudut kerana terlalu luas. Masa yang diberikan itu kami gunakan untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu. Tandas dan tempat wudhu pula jauh ke bawah dan terpaksa menuruni beberapa tingkat anak tangga.
Sejak dari Airport Casablanca sehingga ke restoran, kami terpaksa isi air dalam botol mineral ke dalam tandas kerana tandas di sini tidak ada air untuk beristinjak kecuali disediakan tisu sahaja. Syukurlah boleh isi air dalam botol melalui paip air di sinki. Tertanya-tanya pula bagaimana sebuah negara yang mempunyai 98% penduduk beragama Islam beristinjak!
Di Masjid Hassan II, selain tempat wudhu, disediakan banyak tandas tetapi perlu ambil air menggunakan baldi kecil dari tempat wudhu untuk dibawa ke dalam tandas! Dalam suhu yang sangat sejuk, air paip dalam keadaan panas pula!
Selepas wudhu kami menaiki anak tangga ke atas semula, dan ditambah lagi beberapa tingkat tangga berpusing ke bahagian atas, tempat solat jemaah wanita. Dan sampai ke pintu ruangan solat, kami perlu masukkan kasut ke dalam beg plastik yang disediakan kemudian bawa kasut bersama ke tempat solat. Eh, keadaannya sama seperti waktu solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram! Mungkin untuk mengelak kejadian hilang kasut atau tertukar kasut.
Tak puas rasanya melihat keindahan seni bina Masjid Hassan II ini. Faktor hujan dan masa yang suntuk menyebabkan kami perlu bersegera menuju ke Majorel Voyage.
Namun begitu dapatlah abadikan sekeping dua gambar sudut-sudut masjid yang sempat dirakam.
Boleh saksikan keindahan Masjid Hassan II di sini: https://youtube.com/shorts/WtL_zE17ehM?si=G7sHTC_Bzjl7vpgv
Wajah nampak berseri-seri kerana dapat beristinjak dengan sempurna di tandas Masjid Hassan II... ahaks! |
Bergambar di pintu keluar masjid selepas solat.
Dapatlah juga simpan gambar kenangan di Masjid Hassan II walaupun dengan separuh dari ketinggian menaranya!
Petang itu, Majorel Voyage meluncur laju membawa kami meninggalkan Casablanca yang tenang menuju ke Marrakech yang memakan masa tiga hingga lima jam termasuklah waktu berhenti di RNR.
Tidak banyak gambar pemandangan yang dapat dirakam sewaktu menuju ke Marrakech kerana waktu itu hujan turun dengan lebatnya!
8 comments
Uncle pernah solat jumaat kat sini... Mula2 petugas tak bagi uncle masuk sebab dia sangka uncle pelancong bukan muslim...
BalasPadamCantik sunggu gambar ketiga tu
BalasPadamSusah jugak tu kalau tak sediakan pili air dalam tandas. Dah macam negara omputeh pulak ya. Kalau sakit lutut jenuh jugak nak manjat banyak anak tangga.
BalasPadamCantiknya Masjid Hassan II ni. Moga dapat ke sana nanti.
BalasPadamKalo negara yg bukan mayoritas muslim dalam toilet tak ada bidet, saya masih mengerti. Tp tak habis pikir kalo negara muslim yg toiletnya tanpa bidet. Memang penasaran bagaimana cara mereka membersihkan diri.
BalasPadamBaguuuus sangat bentuk mesjidnya.. megah dan ukiran pun cantik ❤️❤️. Benar2 teringin sangat nak kesana
Cantiknya masjid ni. Masa saya bersolat di masjid di Beijing, masa tu musim sejuk. Air pun sejuk. Lepas berwuduk, mereka akan lap tangan dan kaki supaya tidak kesejukan. Air dia boleh buat menggigil....Kat sini airnya panas pula ya...
BalasPadamGambar real dari camera lagi cantik kak amie..indahnya ukiran dan seni pada dinding masjid...penggunaan warna pun x keterlaluan..
BalasPadamGambar real dari camera lagi cantik kak amie..indahnya ukiran dan seni pada dinding masjid...penggunaan warna pun x keterlaluan..
BalasPadam