Planète des Épices (Planet of Spices) Marrakech
11:15 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Hari 3 (Isnin) : 03 Februari 2025
MARRAKECH - RABAT
- Sarapan pagi dan daftar keluar hotel.
- Lawatan di Menara Gardens & Bahia Palace.
- Makan tengah hari & solat jamak di Masjid Koutoubia.
- Lawatan di Jemaa el-Fnaa Square dan sekitar.
- Bertolak ke Rabat (4 - 5 jam).
- Bertolak ke hotel dan makan malam.
Demikianlah susun atur program yang telah ditetapkan pada hari tersebut. Namun begitu, aktiviti pertama kami pada pagi itu menghala ke Planète des Épices (Planet of Spices) Marrakech pula.
Di bawah suhu 8'C, kami redah lorong demi lorong menuju ke destinasi. Tidaklah memakan masa yang lama tetapi dapatlah menghangat badan kerana telah membakar tenaga.
Bermulalah satu pengalaman menjelajah lorong-lorong kecil di Marrakech. Dengan cara begini dapatlah mengenali dan mendekati budaya serta cara hidup penduduk Maghribi yang mungkin berbeza dengan cara hidup kita dari segi petempatan penduduk dan kegiatan ekonomi mereka.
Banyak kali terjumpa kucing di sekitar bandar. Kali ini sempat rakam gambar sebab si bulus duduk diam-diam di tepi jalan.
Sekarang kami berada di Planète des Épices (Planet of Spices). Di luar pintu sudah terbau pelbagai aroma herba dan pelbagai rempahan yang semerbak lembut menerpa hidung.
Jom kita lihat apa yang ada di dalam tong-tong di luar Planète des Épices ini.
Potporri berisi pelbagai bungaan yang harum. |
Campuran pelbagai jenis rempah yang harum. |
Pada mulanya kami sangka bahan-bahan di dalam tong ini hanya sekadar hiasan sahaja tetapi ia merupakan herba beraroma dari kayu, batu dan sebagainya.
Maghribi memang kaya dengan pelbagai sumber semula jadi dan nampak unik. Sangkaan kami semua meleset. Apabila nampak batu kami sangka kemenyan! Rupanya bukan. Batu tersebut ( dalam gambar) mempunyai aroma yang tersendiri.
Kayu ini pun beraroma wangi. Kami panggil kayu gaharu, padahal tak pernah pun cium kayu gaharu! Pandai-pandai jew bagi nama.... ahaks!
Dan gambar di atas bukannya lengkuas kering! Nampak macam rupa lengkuas kan. Sayang pula, sudah bertanya kepada pekerja di situ tapi Amie tidak catat apa namanya.
Jom masuk ke dalam. Kita bergambar berhampiran gambar pokok yang dinaiki kambing!
Menurut ceritanya kambing-kambing ini memanjat pokok argan dan memakan buahnya yang kemudian dicernakan. Selepas itu dibersihkan dan digunakan untuk tujuan kosmetik. Nampaknya kisahnya sama seperti proses kopi musang atau kopi luwak! Namun begitu sebenarnya khasiat minyak argan ini turut diperoleh melalui cara memanggang kekacang argan dan mengisarnya sehingga halus untuk mengeluarkan minyak.
Sebaik sahaja kami melangkah masuk Planète des Épices, di balik pintu kelihatan seorang wanita Maghribi, keturunan Berber sedang memproses minyak argan secara tradisional.
Video wanita Berber sedang mengisar kacang argan.
Amie cuba juga mengisar kacang tapi pemegangnya asyik tercabut! Tak sampai satu pusingan, dua tiga kali tercabut! Berat pun iya juga. Wanita Berber bantu Amie habiskan satu pusingan menggunakan tangan kirinya! Terbayang tenaga wanita zaman dahulu mengisar gandum hingga menjadi tepung untuk dijadikan roti.
Biji argan yang sudah dikisar akan mengeluarkan minyak. Sebenarnya Amie rasa takjub mendengar penerangan tentang penghasilan minyak argan ini. Pokok argan hanya mengeluarkan buah dalam tempoh 30 hingga 50 tahun setelah ditanam. Pokok argan hanya ditemui di kawasan separa gurun yang sempit antara pantai Atlantik di Maghribi dengan Pergunungan Atlas. Minyak argan banyak digunakan untuk menghasilkan kosmetik mewah dan bahan masakan di Maghribi.
Lebih menarik, kacang argan diperlukan di antara 20 hingga 40 kilogram untuk mendapatkan satu liter minyak! Dan satu liter minyak argan inj boleh mencecah harga RM1,200.00 sehingga dikatakan sebagai minyak termahal di dunia.
Boleh baca lanjut di sini : KHASIAT MINYAK ARGAN
Dalam sibuk-sibuk melihat itu ini di Planète des Épices, terlupa pula hendak rakam gambar biji argan di sebelah wanita Berber itu tadi! Amie sempat ambil gambar di dinding sewaktu masuk ke ruang pameran untuk mendengar penerangan tentang minyak argan.
Antara herba dan rempah-rempah yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk di sini.
Sekarang tiba masanya kaki melangkah masuk ke bilik pameran produk minyak argan. Mata terpaku melihat keindahan sentuhan seni bina Maghribi dari lantai, dinding sehinggalah siling di atas kepala! Sewaktu tiba di pintu luar tadi seakan-akan tidak ada apa-apa memandangkan gambaran berdasarkan warna dan dinding bangunan!
Samalah seperti waktu makan di restoran. Dari luar nampak biasa-biasa sahaja tetapi sebaik tiba di ruang makan nampak luar biasa pula.
Oleh kerana ruangannya bertingkat-tingkat, dan kami dibawa ke tingkat bawah jadi tangkap gambar mana yang sempat. Sebenarnya kalau berlama-lama takut tersesat jalan sebab tertinggal kawan dan ahli rombongan.
Ada sesuatu yang agak aneh dan asing ketika berada di Maghribi. Di kebanyakan tempat kami bukan berada di ruang atau tingkat atas apabila memasuki satu-satu bangunan, tetapi turun ke bawah iaitu ruangan bawah tanah. Sama seperti ketika berada di Masjid Hassan II, kena turun tangga berpusing-pusing kemudian naik semula, dan naik tangga lagi untuk menunaikan solat di tingkat atas.
Kalau diikutkan logik, kiranya sekarang kami dibawa ke bawah tanah Planète des Épices!
Lantai cantik, dinding cantik, pintu cantik... semuanya cantik!
Pintu-pintu kelihatan klasik dan tradisional kerana masih menggunakan selak besi. |
Nampaknya Amie orang terakhir sampai ke sini, memasuki pintu yang membawa kami ke ruang pameran produk minyak argan.
Memang betul kan?
Nampak perbezaan yang sangat ketara ketika berada di luar dan ketika berada di dalam Planète des Épices.
Nampak perbezaan yang sangat ketara ketika berada di luar dan ketika berada di dalam Planète des Épices.
Nanti kita sambung cerita tentang Planète des Épices.
0 comments