Pucuk Lemiding @ Midin Tumis Udang Kering
12:29 PTG
Masa kecik-kecik dulu, kenangan terindah yang tak mungkin dilupakan sudah tentunya ketika musim hujan! Ketika itulah kami tidak melepaskan peluang memetik pucuk paku terutama di kawasan semak belukar yang baru ditebas. Apa yang Amie tahu waktu itu hanya dua jenis pucuk paku pakis iaitu pucuk paku pakis udang dan paku pakis tanjung yang berwarna hijau. Antara keduanya, sudah tentulah pucuk paku pakis tanjung lebih enak!
Cerita tentang musim hujan, selain mengutip pucuk paku muda yang tumbuh subur di segenap kebun, kami juga mengutip kulat sisir. Seronok betul berebut-rebut dengan jiran tetangga untuk mendapatkan batang kayu getah yang hampir mereput yang penuh dengan kulat sisir!
Balik rumah, Bonda akan masak kedua-dua jenis sayuran ini. Paku pakis tumis dengan kulat sisir tambah dengan sedikit ikan bilis!
Itu cerita dulu! Sekarang nak makan paku pakis kenalah cari di pasar. Dulu sayuran begini percuma saja, sekarang mana ada yang percuma dalam dunia ini... ahaks!
Selalu juga kami meronda-ronda pasar tani yang diadakan pada hari Ahad di LD. Biasanya ternampak ucuk paku udang dan juga paku tanjung tapi kali ini ternampak pula pucuk paku yang agak berbeza sedikit. Penjual tu kata pakis lemiding. Terus teringat pucuk midin yang biasa orang Sarawaki masak. Amie cuba minta kepastian kawan-kawan FB. Ada yang kata pucuk midin seperti di Sarawak tu. Ada yang kata lemiding, lamiding dan juga miding. Nampaknya memang subur dan makmur betul muka bumi kita ini. Banyak spesies paku pakis boleh ditemui.
Jom kita masak pucuk midin @ lemiding @ lamiding ini. Amie tumis pedas gunakan cili kering dengan udang kering.
Bahan-bahan:
20 tangkai pucuk midin - bilas terlebih dahulu dan toskan seketika - kemudian ambil bahagian atasnya yang muda
3 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
Bahan kisar:
10 biji cili kering
2 sudu besar udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan pucuk midin dan gaul rata. Biarkan masak seketika sehingga pucuk midin berubah warna.
3. Tambahkan garam / perasa pilihan.
4. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Inilah pucuk midin @ lemiding dari Lahad Datu.
2 comments
wahhh pandang midin ni teringat zaman belajar pi sarawak. menggamit memori kejap. hehe
BalasPadamFaizah,
BalasPadambanyak jenis paku pakis rupanya... nanti ada kesempatan gi Sarawak, nak merasa pula midin di sana :)