Udang & Cendawan Shiitake Masak Tom Yam
1:55 PTGKalau nak cuba resepi ini, dipersilakan.... sebab Amie jamin rasa dan aromanya sangat sedap. Bukan apa, ini hasil kreativiti memasak dengan menggunakan bahan seadanya yang terdapat di dapur. Amie tak pasti sama ada resepi tom yam bersama cendawan shiitake ini pernah dibuat orang atau tidak. Oleh sebab Amie suka aroma cendawan kering shiitake yang harum itu, jadi Amie bilas cendawan dan kemudian rendam dengan 400ml air selama 1 jam. Apabila cendawan kembang, airnya Amie tidak buang, sebaliknya Amie jadikan kuah tom yam. Tidak banyak bahan yang Amie gunakan, hanya udang kertas, babycorn, lobak merah dan cendawan shiitake sahaja.... dan terlupa nak masukkan tomato (sudah dibelah). Amie masukkan lada hitam sedikit....
Bahan-bahan:
15 ekor udang kertas
1 biji lobak merah (hiris nipis)
7 kuntum cendawan shiitake (rendam)
7 batang babycorn (belah 2)
5 helai daun limau purut
1 kuntum bunga kantan (belah 4)
2 batang serai (diketuk)
1.5 cm lengkuas (diketuk)
10 biji cili padi (pecahkan)
1 labu bawang besar (potong menjadi 4)
1 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
400ml air rendaman cendawan shiitake
minyak
garam & gula
Bahan kisar:
7 biji lada kering
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan serai, lengkuas, cili padi, daun limau purut, bunga kantan dan bancuhan pati asam jawa.
3. Masukkan lobak merah dan cendawan bersama 400ml air rendaman cendawan shiitake. Biarkan mendidih.
4. Masukkan udang dan biarkan selama 3-5 minit.
5. Masukkan babycorn dan bawang besar.
6. Bubuh garam & gula secukup rasa.
7. Angkat dan hidangkan panas.
~jika suka, perahkan air limau nipis~
0 comments