ADSENSE

Khamis, 28 April 2011

Ikan Pari Masak Asam Pedas

Selamat malam rakan-rakan pengunjung. Belakangan ini Amie selalu lewat masukkan resepi dalam blog. Bukan apa, agak kesuntukan masa.... minggu ini saja ibarat burung pula gaya hidup Amie. Apa tidaknya, 5.45 keluar rumah... 6 petang baru sampai semula ke rumah. Anak-anak pun asyik makan nasi bungkus... nampaknya pengurusan masa agak menyeleweng bulan April ini. Ini ha... resepi ikan pari... cerita tentang ikan pari, kalau di kampung Amie di Selangor, bonda suka masak 'semur' atau masak kicap. Siap dengan lada putih, kulit kayu manis dan bunga lawang bonda masukkan. Kuahnya mesti pekat.... masih terasa keenakan air tangan bonda. Apa lagi kalau pari masak 'pecak'... rasanya hanya bonda saja yang paling pandai masak di dunia. Malangnya, bila dah kahwin, suami pula tak suka makan ikan pari. Kalau ke pasar, tengok sajalah ikan tu.... punya banyak dan segar dan sangat murah..., apa tidaknya, sepotong harganya RM2 saja. Lama-kelamaan ikan pari di sini naik harga pula. Agaknya dah mula ramai yang menggemarinya. Di pasar besar berharga RM5, di Pasar Sri Perdana pula RM6. Tapi kalau Amie balik kampung, alamak.... harga ikan pari di Sungai Buluh mencecah RM15-16 1kg. Lama-kelamaan suami & keluarganya pun mula pandai makan ikan pari juga....



Bahan-bahan:
500 gram ikan pari (potong 10 bahagian)
3 biji tomato (cincang)
10 biji kacang bendi
4 tangkai daun kesum
1/2 sudu pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
1/2 sudu lada putih (tumbuk)
200ml air
garam & gula
minyak

Bahan-bahan kisar:
25 biji lada kering
7 biji bawang merah
7 biji bawang putih
1.5cm belacan
1.5cm halia
1.5 cm kunyit hidup

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan tomato cincang bersama air asam jawa. Masak sehingga tomato menjadi hancur.
3. Masukkan daun kesum dan biarkan layu. Tambah 200ml air ke dalam tumisan. Didihkan.
4. Masukkan ikan pari dan masak selama 15 minit dan kuah menjadi pekat.
5. Masukkan lada putih dan kacang bendi. Tunggu sehingga kacang bendi berubah warna.
6. Ikan pari masak asam pedas siap untuk dihidangkan.

4 ulasan:

Nora Shahaira berkata...

mcm2 gaya org masak asam pedas ni..kena cube ni..first time masak hari tu nora buh bahan basic je

ain nadzirah berkata...

wah, nampak menyelerakan..terus lapar nie..

Amie berkata...

nora,
kalau masukkan tomato kuahnya jadi lebih pekat... masak kari pun aie suka bubuh tomato cincang.

Amie berkata...

ain,
mmg sgt menyelerakan .... apalagi wkt perut kosong hi hi hi