Bismillahirrahmanirrahim.
Malam tadi, sebaik sahaja Firdaus mendapat khabar kami sudah mendarat di Lapangan Terbang Tawau, budak kecil ini terus membawa kunci pagar dan duduk di depan pagar sekitar pukul 10:00 malam. Perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke Lahad Datu. Di pertengahan jalan, kami singgah di sebuah masjid di Kunak untuk solat jamak.
Pemandu van yang kami sewa hantar kami berenam ke rumah masing-masing. Amie sampai di rumah tepat pukul 12.00 malam. Berakhirlah sudah jalan-jalan cari penat 25 Ogos - 1 September 2023 Tawau - KL - Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta. Dari Jakarta ke Kuala Lumpur, kami menaiki Batik Air dan dari KL - Tawau, kami terbang bersama AirAsia.
| Setia menanti Mommy pulang dari jalan-jalan. |
Pagi tadi, selepas solat subuh Amie sambung tidur. Beberapa kali Encik Suami kejutkan tetapi kita tak dapat buka mata. Telinga mendengar, tetapi badan hendak berehat! Menjelang pukul 10:30 pagi, barulah kita bangun. Encik Suami tinggalkan kita di rumah bersama Firdaus. Baru teringat, malam tadi Encik Suami beritahu hari ini ada majlis kahwin di rumah Pak Ayu.
Sebelum keluar rumah, Encik Suami belikan nasi kuning. Kami sarapan berdua dengan Firdaus. Firdaus sudah pandai goreng kentang sendiri. Amie tambahkan dengan gorengan Kerupuk Keriting dan bancuh secawan Susu Jahe Sidomuncul oleh-oleh dari Palembang.
Rasanya hendak sambung rehat! Sesungguhnya di rumah sahajalah tempat istirahat paling selesa.